Paroi: Peluang seimbang, pengundi terbesar Negeri Sembilan

Paroi: Peluang seimbang, jumlah pengundi terbesar Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi adalah kerusi yang mempunyai jumlah pengundi terbesar di Negeri Sembilan dalam pilihan raya negeri (PRN) Ke-15 kali ini iaitu 60,704 orang.

Daripada keseluruhan 36 kawasan yang dipertandingkan dalam PRN Ke-15 di Negeri Sembilan, DUN Paroi boleh disifatkan sebagai antara kerusi yang akan menyaksikan persaingan sengit dan seimbang.

Selepas penamaan calon Sabtu lalu, pertembungan tiga pen­juru berlaku di DUN Paroi iaitu di antara Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Negeri Sembilan, Norwani Ahmat yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Yang Dipertua Pas Rembau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri Sembilan, Kamarol Ridzuan Mohd. Zin mewakili Perikatan Nasional (PN).

NORWANI AHMAT

Ia turut disertai calon Bebas, Muhammad Syakir Fitri Sadri, 25, yang merupakan calon pa­ling muda di Negeri Sembilan.

Mengapa kerusi DUN Paroi dianggap sebagai seimbang dan sengit buat ketiga-tiga calon yang bertanding? Pertamanya jika dilihat rekod, sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) tahun 2004, pemenang bagi kerusi ini saling silih berganti. Ia sama ada dimenangi oleh BN ataupun lawan parti itu.

Paling akhir iaitu PRU14, Paroi dimenangi oleh PH yang diwakili calon Amanah, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani yang kali ini tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Oleh itu, ketiga-tiga calon sama-sama perlu bekerja keras untuk memperkenal diri ma­sing-masing kepada pengundi dalam dua minggu tempoh berkempen ini.

Meskipun di atas kertas, PH dilihat mempunyai peluang mempertahankan kerusi Paroi ditambah pula dengan gabungan kekuatan daripada BN, parti sebenarnya berdepan cabaran sukar.

PN secara jelas menerusi kekuatan jentera Pas sejak awal dilihat amat memberi tumpuan dan mahu mencipta kejutan di Paroi.

KAMAROL RIDZUAN MOHD. ZIN

Ia ditambah dengan keha­diran hampir separuh daripada keseluruhan pengundi di Paroi merupakan pengundi golongan muda. Daripada jumlah itu, pengundi berusia di antara 18 hingga 20 tahun pula difahamkan mencecah hingga 20,000 orang pengundi.

Berdasarkan sentimen golongan muda bersama mereka dan mengharapkan kumpulan pengundi UMNO yang tidak dapat menerima kerjasama di antara PH-BN, tidak hairanlah PN, menjadikan kerusi ini sebagai salah satu fokus mereka.

Penampilan Norwani sebagai calon wanita di Paroi juga walaupun mengejutkan, mungkin satu kelebihan buat PH apatah lagi jumlah pengundi dalam kalangan gender itu kira-kira 51 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×