BEBRAPA minggu kebelakangan ini, terdapat beberapa tulisan dalam media massa negara jiran kita, Indonesia mengenai kemungkinan perang di Laut China Selatan. Pertama, tulisan Simon P. Saragih S. dalam Kompas pada 6 Julai bertajuk Perang Amerika Syarikat (AS)-China di Lautan Asia Lebih Mungkin. Tulisan ini memetik pandangan pakar geopolitik dari Universiti Chicago, John J. Mearsheimer dalam jurnal Foreign Affairs edisi November/Disember 2021 bertajuk The Inevitable Rivalry: America, China and the Tragedy of Great-Power Politics.
Mearsheimer dipetik sebagai berkata, Perang Dingin babak kedua antara AS dan China lebih genting daripada Perang Dingin pertama antara AS dan Kesatuan Soviet. Perang sekarang ini lebih dimungkinkan terjadi dari sudut pandang geografi di Lautan Asia.
Hal utama yang membuat Laut China Selatan (dan Laut China Timur) itu panas adalah kemunculan China sebagai kekuatan baharu dan revisionis. China membuat revisi kepemilikan atas dua kelautan itu berdasarkan versinya. Salah satunya mengandalkan alasan kepemilikan sejarah berdasarkan wilayah dinasti lama.
Beberapa bulan terakhir ini, tulis Simon, AS dan China silih berganti mengadakan latihan perang di Asia Timur dan Asia Tenggara. Kehebatannya menjadi-jadi sejak lawatan Ketua Kongres AS (2019-2023), Nancy Pelosi ke Taiwan pada Ogos 2022.
Kedua, tulisan Andika H. Mustaqim dalam Sindonews pada 25 Julai dengan tajuk 10 Perang yang Diramalkan Terjadi di Masa Depan, Salah Satunya dekat Indonesia. Mengikut Andika, perang yang diramalkan terjadi dekat Indonesia itu ialah Perang Laut China Selatan, daerah yang kaya sumber daya, 10 peratus perikanan dunia dan puluhan juta barel minyak, yang menarik bagi setiap negara di kawasan ini.
China dikatakan menyedari hal ini dan ingin menuntutnya sebanyak mungkin. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melarang negara mana pun untuk mengekstraksi sumber daya lebih 200 batu nautika dari garis pantai mereka. Namun demikian, China telah menemukan cara cerdas untuk menghindari ini iaitu secara tiruan membangun pulau-pulau melepasi pantai selatannya sejak 2014.
Untuk menunjukkan mereka tidak main-main, China menempatkan tentera dan jet di sekitar pulau buatan yang diperebutkan ini. Kebijakan peluasan ini menimbulkan ancaman langsung bagi negara-negara lain di kawasan.
Ketiga, tulisan Tim Litbang dalam Media Indonesia pada 26 Julai dengan tajuk Ancaman Perang Dunia III dari Laut China Selatan. Menurut Tim, konflik di Laut China Selatan sebenarnya bermula daripada tuntutan sepihak China terhadap batas wilayah lautan mereka. Menggunakan sembilan garis putus-putus tradisional yang sering digunakan nelayannya, China menuntut hampir 90 peratus Laut China Selatan menjadi wilayah mereka.
Padahal jika dilihat hasil Konvensyen PBB tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, batas-batas wilayah di Laut China Selatan sudah jelas dan disepakati secara bersama. Enggan mengakui hasil kesepakatan tersebut, China sering kali melakukan konfrontasi kepada negara-negara yang melakukan penangkapan ikan di Laut China Selatan termasuk mengusir nelayan-nelayan yang sebenarnya masih belayar dalam kedaulatan laut negara mereka.
PEPERANGAN
Topik inilah yang kemudian diangkat pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-56 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dari 11 hingga 14 Julai di Jakarta. Hasil pertemuan tersebut, ASEAN menolak keras terjadinya perang proksi di Laut China Selatan.
ASEAN juga tetap ingin mempertahankan wilayahnya dengan menolak tuntutan China yang menggunakan sembilan garis putus-putus sebagai acuan batas wilayah. ASEAN juga menghadirkan solusi menggunakan Kod Tatalaku (COC) yang mengatur perselisihan di Laut China Selatan dengan China.
Sejauh mana seriusnya ancaman perang proksi di Laut China Selatan ini?
Di pihak Indonesia, Penasihat Kanan Pejabat Staf Presiden Indonesia, Andi Widjajanto menyatakan pada 22 Februari 2022, Indonesia perlu membuat persediaan rapi untuk menghadapi ancaman perang oleh China di Laut China Selatan bagi mengukuhkan kuasanya di rantau Asia Pasifik
Kata beliau, China sudah membuat persediaan untuk ‘peperangan’ itu berdasarkan pelan strategik fasa kedua 2000-2020 dan fasa ketiganya, 2020-2050. Andi mencadangkan kerajaan Indonesia menggerakkan pasukan tentera simpanan untuk menghadapi kemungkinan ini.
Saya sendiri pernah menulis dalam akhbar pada 12 Ogos 2021 bahawa perlumbaan antara kuasa Barat diterajui AS dan Britain dan kuasa Timur oleh China dan Russia dijangka berterusan dengan menjadikan Laut China Selatan sebagai pentas peperangan antara kedua-dua blok kuasa besar ini.
Sekali lagi saya ulangi, Malaysia tidak boleh berlembut tetapi mesti berani menyatakan pendirian dan bertegas. China perlu dituntut untuk menghormati perjanjian antarabangsa termasuk keputusan bersejarah 12 Julai 2016 oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa, The Hague di Belanda yang mengetepikan tuntutan China ke atas Laut China Selatan. Pencerobohan ruang kelautan dan udara wajib ditentang.
Pada masa sama sebagai negara kecil, menjadi ‘kuasa’ pengimbang adalah jalan terbaik buat Malaysia. Dalam konteks inilah Malaysia perlu meneruskan sesi dialog dan pertemuan dua hala antara Barat dan Timur. Desakan perlu dibuat supaya COC dimuktamad dan dimeterai segera.
Kerjasama lebih rapat antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan penguat kuasa maritim negara-negara ASEAN lain juga boleh membantu menjamin keamanan di sempadan perairan sekali gus mengelakkan daripada dipengaruhi kuasa luar.
Semoga semua langkah ini akan menghalang perang proksi daripada berlaku di Laut China Selatan. – UTUSAN
DR. Mohd. Mizan Mohammad Aslam ialah Profesor di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










