SETELAH selesai penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Sabtu lalu, peluang gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memperoleh kemenangan dengan majoriti mudah di negeri itu kelihatan semakin cerah.
Sebelum ini, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, berasaskan simulasi angka serta data keputusan pilihan raya lepas, PH-BN sudah mempunyai 16 kerusi dalam tangan dan memerlukan tiga kerusi sahaja lagi untuk menang daripada 36 kerusi DUN Kedah.
Ujar Mahfuz, data Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) negeri itu tidak boleh dijadikan indikator dalam PRN, 12 Ogos ini. Ini kerana pengundi muda yang mengundi buat pertama kali pada PRU15 bukan pengundi hardcore dan setia kepada satu parti sahaja.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata, gelombang penolakan terhadap BN sewaktu PRU15 dilihat sudah tiada dan kini kembali kepada keadaan asal menyebabkan akan berlaku persaingan sengit membabitkan Perikatan Nasional (PN) dengan PH-BN.
Pemerhatian saya dan pasukan kaji selidik di peringkat akar umbi juga menunjukkan perkara sama. Perkara utama yang menjadi perkiraan kebanyakan pengundi sekarang ialah isu di peringkat negeri dan tempatan.
Isu nasional sudah tidak menjadi perhitungan utama mereka lagi kerana kerajaan perpaduan sudah terbentuk di Putrajaya dengan dukungan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu menyebabkan apa-apa keputusan dalam PRN tidak mengubah kedudukan Pusat.
Dalam tempoh hampir sembilan bulan kerajaan perpaduan memerintah, keadaan menjadi semakin baik. Keadaan ekonomi negara khususnya kedudukan nilai ringgit juga semakin memulih dan hala tuju juga telah jelas melalui pelancaran Ekonomi Madani.
Sebaliknya yang menjadi perhitungan utama kebanyakan pengundi Kedah sekarang ialah kemampuan setiap gabungan untuk mentadbir negeri dengan baik melalui calon-calon yang mereka tawarkan sebagai wakil rakyat, ahli majlis mesyuarat kerajaan dan menteri besar.
Satu isu panas sekarang ialah kelemahan pengurusan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dilihat ada wawasan tertentu, iaitu Greater Kedah tetapi tidak mampu merealisasikannya kerana tiada perancangan, bantuan dan sokongan.
Muhammad Sanusi juga dilihat sangat lemah dari sudut hubungan awam (PR) hingga sering kali terlibat dalam kontroversi dalam ucapan-ucapannya dan bersengketa dengan pemimpin kerajaan perpaduan yang menyukarkan kerajaan negeri mendapat dana daripada kerajaan Pusat.
BOLA SEPAK
Selain kelemahan tadbir urus menteri besar, wakil-wakil rakyat PN yang ditawarkan juga tidak mempunyai kelayakan memungkinkan mereka boleh menjadi pemimpin baik. Calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ramai tidak mempunyai pendidikan tinggi. Begitu juga calon-calon Pas yang ada dipilih atas kepandaian mereka bermain bola sepak tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik dan kemahiran mengurus.
Ada juga calon berpendidikan tinggi yang dikemukakan oleh PN tetapi bukan orang tempatan sebaliknya berasal dari Selangor dan mempunyai kontroversi sendiri semasa berkhidmat di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Baru-baru ini, tular dalam aplikasi TikTok mendakwa beliau telah dipendekkan perkhidmatan tanpa sebab berikutan mainan politik orang dalaman di UUM dan tidak diberi peluang untuk membela diri oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Ekoran itu, KPT mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan bahawa pemendekan tempoh perkhidmatan berikutan laporan prestasi kepimpinannya yang dikemukakan Lembaga Pengarah Universiti pada 16 Jun 2022.
Lebih memberikan masalah kepada PN dan kelebihan kepada PH-BN ialah perkelahian hebat antara Pas dan Bersatu dalam isu calon sehingga menyebabkan dua pemimpin Pas bertanding melawan calon Bersatu di DUN Ayer Hangat dan DUN Kuah. Terdapat kemungkinan besar pergaduhan antara Pas dan Bersatu di Langkawi ini sedang merebak ke tempat-tempat lain di Kedah termasuk DUN Bukit Kayu Hitam dalam mana ramai pengundi Pas tidak menyokong calon Bersatu yang dilihat bermasalah.
Tambahan pula, calon Bersatu di DUN Bukit Kayu Hitam tidak menepati tuntutan persekitaran UUM yang dipenuhi warga cerdik pandai berbanding lawan beliau yang popular, iaitu Tokoh Guru Kedah 2022 dan bekas guru beliau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.
Jangan diperkecilkan pengaruh warga UUM kerana selain lebih ramai alumni/pesara UUM, terdapat 814 pengundi di DUN Bukit Kayu Hitam dan 912 pengundi di DUN Jitra yang merupakan warga yang sedang berkhidmat/menuntut di UUM, belum termasuk keluarga mereka.
Akhir sekali, dari sudut manifesto juga, Manifesto Perpaduan Negeri Kedah juga didapati lebih komprehensif, realistik, munasabah dan boleh dilaksana berbanding manifesto PN yang tentunya tidak akan terlaksana jika PN memang sekali pun tanpa kerjasama kerajaan Pusat. – UTUSAN
Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).











