KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam agak unik apabila wakil rakyatnya silih berganti sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Pada 1999, kerusi berkenaan disandang oleh Pas yang kemudian dimenangi oleh BN pada 2004.
Selepas itu Pas kembali merampas kerusi tersebut pada 2008 sebelum jatuh ke tangan BN pada 2013 serta sekali lagi beralih kepada Pas pada pilihan raya 2018.
Jika mengikut kitaran tersebut, BN pula dijangka mengambil alih kerusi berkenaan atau pun Pas atau Perikatan Nasional (PN) mampu mempertahankan kerusi itu.
DUN berkenaan bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara penyandang, Azhar Ibrahim dari PN dan Hayazi Azizan dari parti BN.
Menariknya, ia akan menyaksikan pertembungan antara guru dan anak murid memandangkan Azhar sebelum ini pernah menjadi guru kepada Hayazi semasa beliau berkhidmat di Sekolah Dato’ Sri Syed Ahmad, Ayer Hitam di sini.

Peluang Hayazi untuk menang di sebalik gelombang PN yang dikatakan bakal menyapu bersih kesemua 36 kerusi DUN di Kedah masih terbuka luas memandangkan dalam PRU14, Azhar hanya menang majoriti tipis 537 undi.
Campuran undi BN dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini mungkin mampu merubah keadaan dan tidak mustahil Hayazi mampu mencapai kemenangan di kerusi tersebut.
Selain itu, faktor rakyat yang mahu melihat keselarian pentabdiran negeri dan pusat juga bakal memberi kelebihan kepada calon BN.
Bagi Hayazi, beliau komited BN mampu merampas kembali kerusi DUN Ayer Htam dengan jentera parti itu akan terus berusaha keras bagi menarik semula sokongan pengundi khususnya dalam kalangan anak muda bagi memastikan kemenangan parti itu.
Beliau juga berharap pengundi dapat melakukan perubahan pada PRN kali ini bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri khususnya di Kedah dapat selari dengan kerajaan Persekutuan sekali gus bakal mensejahterakan dan memberi keselesaan buat rakyat.
Kata Azhar pula, DUN Air Hitam mempunyai sejarah yang unik memandangkan kerusi itu sering bertukar wakil rakyat pada setiap kali PRU sejak tahun 1999 lagi.
“Pada tahun 1999, kerusi tersebut dimenangi oleh Pas, tahun 2004 pula BN, 2008 kembali semula kepada Pas, kemudian 2013 balik semula pada BN dan 2018 Pas berjaya merampas kembali kerusi itu.
“Secara kebetulan kitarannya begitu dan kita harapkan PN akan dapat mengekalkan kemenangan Pas pada PRN kali ini,” katanya. – UTUSAN










