PETALING JAYA: Sikap ibu bapa yang melepaskan tanggungjawab mendidik anak mereka kepada pihak sekolah menyebabkan semakin ramai kanak-kanak terbabit dalam kes jenayah.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hampir 20,000 kanak-kanak dikesan terlibat dengan pelbagai jenis jenayah dalam tempoh empat tahun dari 2018 sehingga 2021 dengan kes paling tinggi berkaitan dadah.
Seramai 5,294 kanak-kanak terlibat dengan jenayah pada 2018; 4,833 (2019); 5,342 (2020) dan 3,457 (2021), namun jabatan itu tidak memperincikan usia mereka yang terlibat.
Anak-anak Melayu menjadi penyumbang tertinggi yang terlibat dengan jenayah iaitu 13,255 kes; 1,591 (India) dan 1,479 (Cina), selain pribumi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan lain-lain.
Kelantan merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh empat tahun itu dengan 2,177 kes, diikuti Selangor (2,046 kes); Johor (2,027 kes) dan Kuala Lumpur (1,758 kes).
Seterusnya, Sabah dengan 1,626 kes; Kedah (1,379 kes); Pahang (1,335 kes); Pulau Pinang (1,262 kes); Sarawak (1,080 kes); Perak (890 kes); Negeri Sembilan (695 kes); Terengganu (656 kes); Melaka (644 kes); Labuan (36 kes) dan Putrajaya (25 kes).

Mengulas situasi tersebut kepada Utusan Malaysia, Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Bustam Kamri tidak menolak perubahan masyarakat menyebabkan keadaan itu berlaku.
Katanya, masyarakat menjadi bosan apabila ada kadangkala ibu bapa tidak menerima teguran berkaitan anak-anak mereka serta sibuk dengan kehidupan masing-masing.
“Pendidikan sudah berlaku di sekolah, tetapi berlaku lompong apabila pulang di rumah. Ini ditambah pula dengan ada yang terlalu mengharap orang luar mendidik anak mereka.
“Kesedaran masyarakat juga ada kaitan apabila tidak ambil peduli, sedangkan yang menjadi mata dalam didik anak-anak itu adalah masyarakat apabila di luar rumah. Jadi jika persekitaran tidak ambil tahu, maka diserah kepada pihak berkuasa.
“Jumlah itu sangat besar dan pada saya itu sudah dalam bahaya sebab dari kecil ia merebak jadi banyak jika tidak ditangani. Jangan pandang sebelah mata, sebelum berlaku lebih besar lebih baik kita lindungi lebih awal,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, statistik JKM menyaksikan sebanyak 6,329 kes jenayah dadah dalam kalangan kanak-kanak direkodkan dalam tempoh empat tahun itu diikuti jenayah berkaitan harta benda (3,600 kes); lain-lain (3,369 kes); kesalahan lalu lintas (2,516 kes) dan jenayah berkaitan manusia (2,325 kes).
Selain itu, seramai 368 kes direkodkan berkaitan jenayah judi; 291 kes (akta kesalahan kecil); 92 kes (senjata/bahan api); 19 kes (lari dari sekolah diluluskan) dan 17 kes (melanggar syarat pengawasan).
Menurut Bustam, ibu bapa dan komuniti bertanggungjawab dan tidak boleh hanya mengharapkan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa semata-mata.
Selain itu, katanya, ia juga perlu melibatkan kerjasama semua pihak termasuk majlis setempat dalam menangani isu berkaitan kanak-kanak.
“Apabila sebut kanak-kanak, maka semua kena terlibat dan bukan satu pihak sahaja sebab ini melibatkan anak kita yang bakal jadi pemimpin akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rojanah Kahar berkata, faktor mikro, luaran dan persekitaran menjadi antara pendorong kepada perkembangan kanak-kanak.
Menurut beliau, faktor mikro atau keluarga yang mempengaruhi perkembangan anak-anak dan jika peranan keluarga itu tidak berfungsi secara baik, maka anak-anak cenderung terjerumus kepada perkara-perkara negatif.
“Apabila bercakap soal keluarga, ibu bapa yang bagaimana? Adakah sangat tegas sehingga anak rasa memberontak atau tidak kisah anak-anak balik pukul berapa? Jika terlalu tegas semua perlu dengar cakap ibu bapa, maka di situ anak-anak mula memberontak.
“Daripada konteks mumayyiz, anak-anak berusia tujuh tahun sudah boleh berfikir tetapi tidak tahu kesan. Kadangkala rasa tertekan di rumah atau penempatan tidak kondusif, maka jadi faktor kawan-kawan (luaran).
“Malah, anak-anak terutama pada peringkat usia remaja ini juga dalam konteks mahu mencuba, jadi sangat membimbangkan jika mereka jumpa kawan yang salah,” ujarnya.
Justeru, katanya, isu kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah itu perlu ditangani dari peringkat awal.
“Ia bukan soal jumlah yang kecil atau besar, tetapi memberi impak kepada ekonomi negara. Sebab mereka patut jadi modal insan cemerlang, tetapi akhirnya masuk pusat tahanan, sekolah Tunas Bakti, jadi ekonomi kurang tenaga mahir,” katanya. – UTUSAN










