Pandangan negatif jadi pembakar semangat - Utusan Malaysia

Pandangan negatif jadi pembakar semangat

FATIN NABILAH MUSA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERJAYA di awan biru sebagai juruterbang selain dipandang tinggi dan hebat namun tidak terlepas dengan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.

Lebih-lebih lagi sebagai juruterbang wanita yang memerlukan pengorbanan masa selain bijak menguruskan perasaan dan emosi membuatkan mereka lebih kuat daripada wanita lain.

Bagi juruterbang di sebuah syarikat penerbangan Malaysia, Fatin Nabilah Musa, 28, yang sering menjadi perhatian, memerlukan kesabaran yang tinggi dan berfikiran positif serta selalu merendah diri apabila berdepan pandangan negatif.

Fatin mula mendapat jolokan sebagai juruterbang selebriti setelah menceburi bidang lakonan, peragaan dan perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik Covid-19 pada 2020.

Keunikan rupa paras, personaliti dan rambut keriting afro asli menjadi tarikan dan dikenali sebagai Curly Pilot.

“Sebagai juruterbang yang menceburi bidang lain dalam masa yang sama membuatkan segelintirnya tidak senang. Terutama apabila dikenali di media sosial namun saya tidak pernah ambil peduli kerana saya hanya mencari rezeki dan tidak melakukan perkara yang melebihi batas.

“Saya sukakan cabaran, saya tidak pernah berputus asa dan tidak malu untuk belajar biarpun ada yang memandang rendah atau berpandangan negatif terhadap saya,” katanya kepada Seri.

Fatin tidak pernah merasakan dirinya popular namun mengakui gembira apabila ramai mengenalinya membuatkan diri semakin positif dan bersemangat dalam apa jua bidang yang diceburi.

PERSPEKTIF NEGATIF

Ujar Fatin, gayanya yang santai, sering dikaitkan dengan memiliki personaliti tidak boleh serius dan tidak boleh bekerja dengan baik.

“Semakin saya dikenali semakin serong pandangan mereka. Tetapi saya tidak pernah peduli apa yang orang cakap, malah tidak akan sesekali membalas cakap-cakap mereka,” katanya.

Sebaliknya anak bongsu daripada enam beradik ini memilih untuk terus positif demi kesihatan mentalnya.

“Sewaktu mula berjinak-jinak dengan media sosial, memang terganggu dengan komen pengikut tetapi lama-kelamaan, saya belajar untuk terima dengan hati terbuka,” katanya.

PERAMAH DAN DISENANGI

Sebelum menjadi juruterbang selebriti lagi, Fatin menjadi tumpuan ramai gara-gara memiliki rambut keriting ala-ala afro.

“Ramai orang ingatkan saya bukan Melayu. Saya hasil kacukan India dan Melayu yang mana ibu India Muslim kerana datuk saya asal dari India manakala bapa pula Melayu.

“Selalunya orang akan ambil gambar bersama sebab tertarik dengan rambut dan gaya saya yang berbeza daripada juruterbang wanita lain,” katanya.

Sikap peramah Fatin juga membuatkan beliau disenangi ramai.

“Saya memang seorang yang peramah, outgoing dan easygoing. Kenapa friendly? Sebab itu, diri semula jadi saya dan dibesarkan sebegitu,” katanya.

Bercerita mengenai kerjayanya, Fatin bercita-cita untuk menjadi juruterbang sejak berusia 15 tahun lagi kerana perasaan ingin tahu yang mendalam selain terinspirasi daripada sebuah filem mengenai juruterbang wanita.

“Saya pernah berada dalam kapal terbang pada waktu malam sebagai penumpang dan melihat kokpit pesawat, itu yang menambah minat saya untuk menjadi juruterbang.

“Saya juga pernah menonton filem Amelia (2009), berdasarkan kisah sebenar seorang juruterbang wanita yang merentasi Lautan Atlantik.

“Saya terinspirasi daripada situ. Saya sanggup menukar kelas akaun ke sains kerana ingatkan untuk jadi juruterbang perlu ada subjek fizik,” ujarnya.

Tambah Fatin, meskipun impian tercapai, namun pada awalnya ibu, Rahimah Bee Kamaludin, 70, mahu beliau menjadi doktor gigi malah sempat melanjutkan pelajaran selama enam bulan di sebuah universiti swasta dalam bidang perubatan.

“Jiwa saya memberontak. Alhamdulillah kakak berjaya pujuk ibu untuk izinkan saya sertai sekolah penerbangan,” katanya mengimbau kenangan. Fatin menyertai sekolah penerbangan pada 2014 dan memulakan kerjayanya pada 2017.

Pengalamannya selama enam tahun dalam bidang penerbangan banyak mengajarnya tentang dunia awan biru. Antara pesawat diterbangkan ialah 737 penerbangan domestik selain antarabangsa ke 10 buah negara antaranya Indonesia, China dan Australia.

BERHABIS RM300,000

Mulakan kerjayanya pada usia 23 tahun, kata Fatin untuk menjadi seorang juruterbang memerlukan sumber kewangan tinggi pada awal pembabitan kerana kos lesen cecah RM300,000.

“Saya ambil lesen penerbangan dengan kos RM270,000 untuk tempoh 18 bulan. Di situlah saya belajar teori dan praktikal. Namun kos lesen sekarang semakin tinggi cecah RM450,000.

“Dalam keluarga, saya seorang sahaja yang menceburi bidang penerbangan. Tiada seorang pun yang jadi juruterbang. Sayalah yang pertama malah bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga sepenuhnya,” katanya.

Gadis asal Kuala Lumpur, ini menjelaskan sepanjang menjadi juruterbang, antara isu yang sering dibangkitkan keluarga ialah isu jodoh.

“Kalau juruterbang lelaki tiada masalah, tetapi wanita agak susah. Kebiasaannya juruterbang akan berkahwin sesama mereka tetapi bagi saya bila dua-dua bekerja, masa bersama juga kurang malah jika ada anak, terpaksa tinggal mereka di rumah berhari-hari,” ujarnya.

Sepanjang enam tahun dalam penerbangan, tiada lagi detik cemas yang berlaku namun pernah melaluinya ketika di sekolah penerbangan.

“Ketika itu hujan lebat, kapal pula bergegar-gegar dan saya jadi sangat berdebar dan takut tapi Alhamdulillah berjaya kawal keadaan,” jelasnya.

PESAWAT 737 MAX

Berada di awan biru membuatkan dirinya dekat dengan alam selain dapat belajar mensyukuri dengan apa yang dikurniakan oleh Allah.

Walaupun banyak liku-liku dalam dunia penerbangan perlu ditempuhi, beliau berjaya membuktikan juruterbang wanita mempunyai kelebihan tertentu. Fatin antara yang dipilih untuk menerbangkan pesawat baharu.

“Saya baru pulang dari Singapura menjalani latihan pesawat 737 Max kapal dari Seattle, Amerika Syarikat. Saya antara juruterbang terpilih menerbangkan kapal jenis ini. Teruja dan tidak sabar untuk fokus dengan pengalaman baharu,” katanya.

NIAGA WAKTU PKP

Fatin mula menyertai dunia lakonan, peragaan dan perniagaan ketika Covid-19, sewaktu dunia penerbangan lumpuh seketika.

“Saya pernah jual serum dan menyertai production house sampai diberi kepercayaan berlakon di TV2 dengan 30 episod. Daripada situlah nama saya dikenali sebagai celebrity pilot.

“Saya sertai bidang peragaan pula selepas diperkenalkan kawan, Sunshine Aileen Devi yang banyak ajar cara catwalk dan kenalkan dengan orang dalam modelling,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, jelitawan ini menjelaskan selain terus fokus dengan karier hakiki, beliau akan terus melakukan kerja sambilan pelakon dan model, selagi ada permintaan.

Baginya, kerja dilakukan itu, membuatkan dirinya semakin menghargai diri, keluarga dan kehidupan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×