PADA 2020, lima syarikat gergasi teknologi – Apple, Amazon, Google, Microsoft dan Facebook mengaut keuntungan lebih AS$1.2 trilion. Jumlah ini seperti lewat batas tetapi jika kita renungkan limpahan alat elektronik yang digabung-jalinkan dengan jaringan antara maya, ia adalah suatu angka munasabah. Namun, apa yang tidak munasabah adalah apabila kita mengetahui betapa sedikit peratusan daripada keuntungan syarikat multinasional (MNC) ini yang dibayar sebagai cukai.
Dalam meniti arus globalisasi, sudah menjadi resam bagi syarikat antarabangsa yang dambakan keuntungan sentiasa berinovasi serta meningkatkan kemahiran dan daya saing tinggi. Namun, tekanan mengejar keuntungan ini turut memangkinkan haloba yang menjurus untuk cenderung dalam mencari alpukah agar cukai dibayar serendah mungkin.
Antara helah dilakukan oleh MNC ini adalah dengan mendaftarkan harta intelektual di negara asing yang mengenakan kadar cukai lebih rendah. Sebuah syarikat subsidiari ditubuhkan di sana, kemudiannya mengenakan royalti kepada syarikat asal yang berpangkalan di negara asal. Rentetan itu, syarikat yang berpangkalan di negara asal menghapuskan perbelanjaan royalti. Keuntungan royalti pula dikenakan cukai pada kadar yang lebih rendah di negara asing.
Ini menghasilkan satu perlumbaan di mana negara bersaing antara satu sama lain untuk menawarkan kadar lebih rendah. Hasilnya? Beratus-ratus bilion hasil cukai ‘lesap’ di seluruh dunia. Syarikat-syarikat gergasi ini sentiasa kelihatan dua langkah ke hadapan dalam permainan cukai.
Namun, baru-baru ini terdapat perubahan yang berpotensi mengubah dinamika tersebut. Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) merupakan organisasi antarabangsa yang ditubuhkan pada 1961 dengan 34 negara anggota. Ia menjadi wewenang bagi dasar-dasar yang akan meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial penduduk dunia.
Bagi mengatasi ketirisan cukai MNC, OECD mencadangkan satu pembaharuan Cukai Minimum Global (GMT) di mana MNC wajib membayar cukai minimum sebanyak 15 peratus. Cukai ini berkuat kuasa bagi syarikat yang menjalankan perniagaan merentasi sempadan negara dengan hasil kumpulan tahunan disatukan sekurang-kurangnya berjumlah 750 juta euro (RM3.7 bilion) dalam tempoh dua dari empat tahun fiskal sebelum itu.
Malaysia secara dasarnya bersetuju untuk melaksanakan GMT sebanyak 15 peratus kepada sesetengah MNC. Pada April lalu, Timbalan Menteri Kewangan I berkata, rang undang-undang (RUU) berkaitan GMT akan dibentang di Dewan Rakyat pada tahun ini. Kertas berkaitan RUU itu sedang disediakan oleh Bahagian Cukai Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara.
KILANG, PELABURAN
Pelaksanaan cukai GMT itu perlu dilaksanakan pada tahun depan kepada MNC terutama yang mempunyai kilang dan pelaburan di negara ini. Ini kerana di negara lain, MNC dikenakan kaedah sama. Dan jika negara itu tidak mengenakan cukai berkenaan, negara asal MNC akan memungut cukai tersebut.
Namun dalam keperluan ini, penting untuk dicerakinkan bahawa pembaharuan GMT ini melibatkan pertimbangan yang khusus dan rumit. Berdasarkan Ketua Cukai Antarabangsa Deloitte Malaysia dan Asia Tenggara, kumpulan korporat besar yang beribu pejabat di Malaysia terutama syarikat disenarai awam termasuk dana pencen dan entiti kerajaan tertentu serta pelaburan asing masuk daripada MNC berkemungkinan terjejas dengan pelaksanaan GMT.
Bukan sahaja itu, sebarang cukai tambah nilai hingga 15 peratus akan dikutip di bawah Cukai Tambah Nilai Minimum Domestik Berkelayakan (QDMTT), diikuti Peraturan Kemasukan Pendapatan (IIR) dan akhirnya Peraturan Keuntungan di bawah Cukai (UTPR), yang semuanya beroperasi dengan mekanisme kompleks. Memandangkan GMT ialah satu bentuk percukaian drastik, bahagian percukaian perlu dipertanggungjawabkan apabila ia dilaksanakan.
Oleh itu, adalah penting untuk menubuhkan jawatankuasa pemandu projek GMT terdiri daripada pemimpin daripada bahagian cukai, perakaunan, kewangan dan teknologi maklumat yang dipengerusikan oleh ketua pegawai kewangan kumpulan dan disokong oleh penasihat cukai luar. Tamsilnya menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
Usaha pelaksanaan GMT ini harus diruncingkan dengan teliti. Walakin begitu, pandangan sarwa mungkin bertanya-tanya, mengapakan mereka perlu cakna mengenai GMT ini? Dalam keadaan di mana kebanyakan daripada masyarakat kita masih beradu dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, apa gunanya memikirkan tentang cukai berkisahkan angka berbilion-bilion, umpama ayam bertelur di atas padi, mati kelaparan?
Kajian menunjukkan salah satu faedah paling penting daripada GMT adalah pengagihan semula hasil cukai. Ini amat penting bagi negara asal MNC termasuk Malaysia kerana kita kehilangan sejumlah besar hasil cukai disebabkan oleh tindakan MNC mengalihkan keuntungan mereka ke negara cukai rendah yang lain. Bahkan, hasil yang dijana daripada GMT akan membolehkan kerajaan meningkatkan perbelanjaan mereka, menghasilkan lebih banyak pelaburan dalam membangunkan infrastruktur, sekolah, penjagaan kesihatan dan lain-lain.
GMT juga memberi manfaat kepada rakyat kerana ia berpotensi mengurangkan bebanan cukai individu. Kerajaan akan mempunyai hasil tambahan yang boleh digunakan untuk perbelanjaan dan ini membolehkan kerajaan mengurangkan beban cukai ke atas rakyat. Hasilnya, individu berupaya meningkatkan penggunaan mereka dan menikmati pendapatan lebih tinggi.
GMT juga mengurangkan insentif firma untuk beralih pekerjaan ke luar negara. Pekerjaan yang sepatutnya berada di negara lain kini boleh dibuka di negara asal. Natijahnya, kewujudan GMT adalah satu kemungkinan yang semakin pasti. Maka, oleh itu semua lapisan masyarakat harus bersedia menghadapi kemungkinan ini. – UTUSAN
Penulis ialah peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.










