WALAUPUN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), dua minggu lalu, tetapi dalam nada sama beliau melahirkan rasa kecewanya terhadap 12 negara yang menentang resolusi tersebut.
Resolusi UNHRC yang diusulkan oleh Pakistan pada 12 Julai lalu mendapat sokongan 28 daripada 47 negara mengundi bertujuan membendung kebencian terhadap agama yang mencetuskan hasutan untuk mendiskriminasi, permusuhan atau keganasan ekoran daripada peristiwa pembakaran al-Quran di Sweden, baru-baru ini.
Menarik apabila Perdana Menteri berkata, sesuatu yang malang apabila setiap langkah progresif diambil bagi menentang Islamofobia. Ia menyalakan api kebencian dalam kalangan mereka berselindung di sebalik hak kebebasan bersuara seperti ditunjukkan negara anggota yang menentang resolusi UNHRC tersebut.
Langkah progresif dimaksudkan oleh Perdana Menteri ialah resolusi yang diusulkan dan tidak menghairankan mengapa beliau begitu kecewa dengan negara-negara yang menentang seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman, Perancis dan Finland yang dianggap negara pejuang demokrasi.
Antara alasan dihujahkan oleh negara-negara menentang adalah resolusi ini menyekat hak kebebasan bersuara rakyat mereka dan ia bertentangan dengan perjuangan hak asasi kemanusiaan yang diperjuangkan oleh UNHRC. Tetapi hakikatnya alasan ini hanyalah alasan semata-mata kerana Washington umpamanya turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan beberapa ayat dalam resolusi tersebut.
Mungkin jua ayat terkandung dalam resolusi yang mengecam semua manifestasi kebencian agama termasuk perbuatan mencemari al-Quran secara umum dan terancang. Apakah apabila secara spesifik disebut ungkapan al-Quran itu tidak disenangi oleh negara-negara menentang itu ada kemungkinannya.
Sebab itu dihujahkan juga alasan menyekat kebebasan bersuara adalah hanya alasan semata-mata untuk mengaburi sebab sebenar penentangan itu berlaku. AS dan UK umpamanya mempunyai perundangan berkait jenayah kebencian yang amat ketat. Jenayah kebencian membawa maksud pelaku jenayah menyasar mangsanya kerana mangsa terdiri daripada kelompok sosial tertentu berkait dengan ras, agama atau orientasi seks.
Maka sudah semestinya pembakaran dan penghinaan terhadap al-Quran yang bukan sahaja berlaku di Sweden tetapi juga berlaku di AS dan Eropah boleh ditafsirkan sebagai jenayah kebencian tetapi hakikatnya peruntukan ini tidak pernah digunakan apabila ia membabitkan al-Quran. Sebab itu jua dihujahkan sekali lagi kerana ada ungkapan membakar al-Quran terkandung dalam resolusi UNHRC adalah dalil utama mengapa ditentang resolusi tersebut.
Dua minggu lepas, seorang lelaki dihadapkan di mahkamah di Buffalo, New York atas pertuduhan jenayah kebencian kerana menjatuhkan patung Virgin Mary di hadapan gereja St. Rose of Lima. Melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seolah-olah pelakunya kurang waras tetapi tetap dihadapkan di bawah pertuduhan jenayah kebencian yang membawa hukuman lebih berat. Menjadi persoalan juga kerana peristiwa ini tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi hanya harta benda dalam bentuk patung.
PERANG UKRAINE
Mungkin dalilnya adalah patung Virgin Mary itu melambangkan kesucian Kristian dan perlakuan tersebut sebagai penghinaan terhadap agama tetapi hujahnya jua resolusi UNHRC adalah untuk mengekang penghinaan terhadap agama. Apakah wujud perbezaan darjat di antara agama Islam dan Kristian itu menjadi kemusykilannya?
Begitu jua pada 2019, mahkamah di London telah mensabitkan kesalahan terhadap empat remaja berumur antara 15 hingga 18 tahun di bawah pertuduhan jenayah kebencian walaupun pihak pendakwa mempunyai pilihan mendakwa melalui perundangan lebih ringan hukumannya kerana pelakunya adalah bawah umur.
Kesalahannya adalah empat pelaku remaja tersebut menyerang secara fizikal pasangan lesbian sehingga mendatangkan kecederaan kerana enggan menuruti arahan mereka. Hakikanya, jenayah yang tercetus kerana mangsa disasarkan kerana orientasi seks, iaitu lesbian yang boleh dikategorikan sebagai jenayah kebencian.
Mungkin jua kesalahan Kristofobia (anti-Kristian) dan Lesbofobia (antilesbian) jauh lebih berat berbanding kesalahan berkait Islamofobia dan sebab itu ada pihak memandang enteng terhadap isu pembakaran al-Quran yang dianggap sebagai penghinaan terhadap Islam. Mungkinkah Kristofobia dan Lesbofobia taraf berat jenayahnya serupa dengan kesalahan antisemitik (kebencian tehadap Yahudi) berkemungkian itu adalah hakikatnya dari sudut pandang negara Barat.
Begitu jelas terdapat perbezaan layanan dengan apa jua berkait dengan Islam dengan prejudis lain yang tidak berkait dengan Islam. Mungkinkah jua akibat daripada perbezaan layanan ini membuatkan pelarian dari Palestin, Iraq atau Yemen bagaikan tidak dipeduli dan tiada negara Barat yang mahukan pelarian dari negara-negara berkenaan?
Tapi berbeza pula layanan diterima oleh pelarian akibat Perang Ukraine kerana bagaikan sedaya upaya bantuan dihulurkan dan negara Barat pula menggubal dasar jalan pantas pelarian dari Ukraine diberi kebenaran untuk diterima oleh negara masing-masing.
Tetapi hakikatnya dalam kalangan pelarian Ukraine ini wujud juga layanan berbeza. Pelarian Ukraine dari kumpulan Romani (gipsi) umpamanya tidak dialu-alukan secara terbuka terutama sekali oleh jiran-jiran Ukraine. Begitu jua rakyat Ukraine beragama Islam dalam kalangan Crimean Tartars sanggup berhadapan dengan risiko peperangan daripada menjadi pelarian kerana mereka akur layanan yang bakal diterima adalah tidak semesra seperti digemburkan dalam media.
Ironinya apabila Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mengundi untuk menyingkir Russia dari UNHRC pada April 2022 atas tuduhan mencabul hak asasi rakyat Ukraine, 24 negara membantah usul tersebut. AS dan UK menyelar 24 negara yang menentang usul UNGA tersebut. Kini AS dan UK pula diselar kerana sikap menentang mereka terhadap usul UNHRC yang terkini. – UTUSAN
PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).










