KUALA TERENGGANU: Masa depan pengusaha bot nelayan komersial bumiputera di seluruh negara gelap jika kerajaan tidak bertimbang rasa dalam soal Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing.
Kos perbelanjaan PLKS termasuk tambang dan bayaran kuarantin yang tinggi mencecah hampir RM6,000 untuk seorang nelayan asing hanya menjerut leher pengusaha terutama dalam situasi mereka sudah kerugian besar kerana tidak beroperasi hampir setahun akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed berkata, sekiranya kekangan PLKS yang menghimpit itu berlarutan, rata-rata pengusaha bumiputera bukan sahaja terpaksa gulung tikar, malah terus terpinggir dalam industri perikanan komersial negara.
Katanya, keadaan itu dalam masa sama memberi ruang kepada pihak lain untuk memonopoli industri perikanan yang sinonim dengan bumiputera.
Sehubungan itu, beliau menuntut keprihatinan kerajaan untuk menangguhkan seketika pelaksanaan permit untuk menggaji pekerja asing itu yang berkuat kuasa awal tahun ini sekurang-kurangnya sehingga keadaan wabak pulih berikutan ‘darurat’ kesukaran untuk mendapatkan pekerja.
“Bebanan nelayan komersial amat besar, kos PLKS sahaja sudah mencecah hampir RM200,000 untuk mendapatkan 30 awak-awak warga Thailand, tidak termasuk perbelanjaan untuk keluar ke laut seperti minyak, peralatan dan lain-lain lagi sedangkan belum tentu mereka boleh mendapatkan hasil tangkapan yang banyak kerana faktor cuaca atau risiko kerosakan.
“Kerajaan tahu masalah yang dihadapi nelayan, tetapi saya pelik adakah dalam keadaan ekonomi yang merudum akibat Covid-19 ini PLKS merupakan cara yang tepat untuk kerajaan menjana pendapatan?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan industri perikanan laut dalam di Kelantan lumpuh dengan pengusaha menanggung kerugian lebih RM100 juta sejak enam bulan lalu akibat kegagalan kira-kira 5,500 awak-awak warga Thailand dan Vietnam kembali semula ke negara ini di samping caj permit yang membebankan.
Pengerusi Kelab Pengusaha Bot Laut Dalam Kelantan, Hazim Ramli berkata, keadaan itu menyebabkan bot-bot tersadai tidak dapat turun ke laut kerana rata-rata pengusaha tidak mempunyai pekerja untuk beroperasi.
Sementara itu, menurut Mat Yassim, penangguhan PLKS bakal memberi kelegaan kepada rata-rata pengusaha kerana mereka dapat kembali bernafas dalam industri perikanan sekali gus menjana pendapatan.
“Kita tidak mahu industri perikanan dimonopoli oleh bangsa lain, realitinya sudah banyak bot milik pengusaha bumiputera dijual di seluruh negara kerana terhimpit dengan masalah termasuk kewangan.
“Jika kita tidak mempertahankan nelayan komersial, apa akan jadi kepada nasib orang kita? Adakah kita hanya mahu menjadi nelayan tradisional sampai bila-bila,” katanya.
Bilangan nelayan tempatan pelbagai kategori di Terengganu ketika ini adalah seramai 6,340 dengan 332 daripadanya merupakan Zon C dan 27 orang (Zon C2) manakala nelayan Thailand pula 1,527 orang dan warganegara lain (682 orang). – UTUSAN











