Berjuang hingga akhir hayat

Berjuang hingga akhir hayat

ANWAR Ibrahim mengimamkan solat jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadut, Serkat, Pontian, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pemergian Allahyar­ham Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan kehilangan be­sar buat negara kerana beliau disifatkan pemimpin yang gigih memperjuangkan sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah malam kelmarin akibat komplikasi pendarahan otak.

Terkenal jolokan ‘Menteri Rah­mah’, Allahyarham konsis­ten berjuang membela kebajikan rakyat terutama dalam kalangan B40 dan miskin tegar, malah beliaulah mencetuskan inisiatif Payung Rahmah yang memperkenalkan harga mampu ekoran kenaikan kos barang mentah makanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perwatakan Ahli Parlimen Pu­lai itu yang sentiasa tenang da­lam apa jua keadaan walaupun diasak dengan pelbagai isu kepenggunaan dan kos sara hidup rakyat, menjadikan Allahyarham Salahuddin sentiasa disenangi dalam kalangan rakan Kabinet mahupun di pentas politik.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sifat terpuji yang telah ditunjukkan Allahyarham akan menjadi suri teladan kepada pemimpin lain, khususnya dalam kerajaan.

Menurut Anwar, Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram itu tidak pernah berhenti daripada mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan beban rakyat.

“Saya datang dengan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) mewakili keluarga dan kerajaan untuk ucap takziah atas pemergian seorang sahabat, pejuang yang telah bersama puluhan tahun.

“Satu kehilangan besar buat negara kerana Allahyarham sinonim dengan rahmah, itu sifat dia yang konsisten dalam tugas. Beliau tak pernah terlepas cari jalan dan kaedah untuk ringankan beban rakyat.

“Saya harap semangat dan dedikasi beliau menjadi tela­dan, terutamanya sifat pe­nyayang dan rahmah yang te­lah beliau tonjolkan sehingga akhir hayat,” katanya selepas menziarah jenazah Allahyarham Salahuddin di Masjid Ja­mek Dato’ Noh Gadut di sini, semalam.

Dalam pentas politik, Allahyarham memulakan kerjaya politiknya bersama Pas di Pontian, Johor pada 1983 dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan sehingga 2015 termasuk pernah dipilih sebagai Ketua Pemuda pada 2003 dan Naib Presiden Pas daripada 2009 hingga 2015.

Walaupun me­ninggalkan Pas bersama be­berapa lagi kepemimpinan parti itu untuk mengasaskan Parti Amanah Negara (Amanah), pemimpin-pemimpin bekas partinya menghargai jasa dan perjuangan Salahuddin sepanjang berkhidmat bersama mereka.

“Jasa dan perjuangan Allahyarham ketika bersama Pas tidak pernah dilupakan. Semoga ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi pemergian ini dan dipermudahkan segala urusan berkaitan,” kata Setia­usaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ke­nya­taan semalam.

Sepanjang bersama Pas, Sa­lahuddin membantu partinya memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada 2004 dan 2008, serta pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada 1999, namun, tewas di kerusi itu.

Kali terakhir beliau mewakili Pas dalam pilihan raya adalah pada 2013 ketika bertanding di DUN Nusajaya dan Parlimen Pulai, namun tewas di kedua-dua kerusi tersebut.

Bagi anak Allahyarham, Iskandar Zulkarnain, 37, ayah­nya mencapai impian untuk meninggal dunia ketika sedang berkhidmat untuk rak­yat.

Katanya, dia dan keluarga telah lama menerima hakikat bahawa ayahnya bukan ‘milik’ mereka sahaja, malah ‘dikongsi’ dengan rakyat Malaysia.

“Dia memang pernah cakap kalau dia meninggal dunia, biarlah dalam keadaan sedang bekerja untuk rakyat. Sebagai anak, kami dah lama letakkan ayah sebagai milik rakyat, dia memang untuk rakyat dan kami dari kecil sudah dididik yang dia selalu tiada bersama kami, sebaliknya selalu bersama rakyat.

“Terlalu banyak nasihat dia yang saya ingat, sebelum ini dia juga pernah pesan agar jangan campur urusan kerjanya dan mengajar kami untuk berdikari dalam kehidupan. Kami juga reda apabila dia sudah capai impiannya,” katanya.

Jenazah Salahuddin disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Serkat, Pontian semalam dan walaupun Allahyarham sudah tiada, namun jenama Rahmah akan ‘hidup’ menjadi bualan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini