ANALISIS: Penampilan dua bekas MB Terengganu mampu gugat Pas

ANALISIS: Penampilan dua bekas MB Terengganu mampu gugat Pas

AHMAD SAID dan AHMAD RAZIF ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kebanyakan nama calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu telah dijangka awal bakal dipertaruhkan untuk menjamin kemenangan besar parti itu, seterusnya merampas semula pentadbiran negeri.

Penampilan dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di kerusi DUN Seberang Takir memberi suntikan semangat kepada ahli serta penyokong BN di negeri itu untuk bangkit semula menewaskan Pas dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Kedua-dua pemimpin UMNO itu mempunyai aura tersendiri bukan sahaja di kawasan DUN masing-masing, malah di seluruh Terengganu.

Malah, Ahmad Said dan Ahmad Razif telah terbukti membawa banyak perubahan dan pembangunan semasa menerajui pentadbiran Terengganu, sebelum ini.

Rakyat di negeri itu boleh menilai kemampuan kedua-dua pemimpin UMNO berkenaan dengan pentadbiran kerajaan negeri sekarang yang didakwa gagal melaksanakan lebih banyak pembangunan khususnya untuk manfaat generasi muda.

Dalam kenyataan sebelum ini, Ahmad Said percaya Pas tewas dalam PRN ini sekiranya tidak melakukan rasuah dengan mengagihkan wang menerusi pelbagai program bantuan untuk meraih sokongan seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, kemunculan semula bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang bertanding di DUN Ajil juga dapat mengukuhkan peluang BN untuk memenangi semula kerusi tersebut yang disandang oleh Pas sebelum ini.

Jailani adalah seorang tokoh politik yang disegani oleh rakan dan musuh khususnya di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

Selain itu, walaupun hanya dua calon yang mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu untuk bertanding dalam PRN ini, ia tidak mematahkan semangat ahli sayap parti itu untuk membantu kemenangan BN di 27 kerusi DUN yang ditandingi di Terengganu.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera yang merupakan seorang pemimpin muda berjiwa besar menerima keputusan parti tidak mencalonkannya dan meminta seluruh ahli Pemuda UMNO berjuang habis-habisan demi kemenangan calon BN.

Walaupun BN Terengganu mengalami kekalahan teruk pada PRU15 apabila kesemua calon BN di lapan Parlimen tewas, ia tidak mematahkan semangat juang UMNO dan BN untuk bertempur sekali lagi dengan PN di medan PRN ini.

Kemenangan PN dalam PRU15 itu tidak boleh dijadikan ukuran lagi kerana sikap pengundi tidak sama pada PRN ini memandangkan pengundi lebih memerlukan pembangunan setempat untuk masa depan mereka.

Pada PRU14 lalu, BN sekadar memenangi 10 kerusi DUN berbanding Pas yang menawan 22 kerusi. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×