SHAH ALAM: Penyanyi dan penulis lagu, Altimet bersedia mengalih tumpuan minatnya dalam bidang itu untuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Penulis dan pelantun lagu ‘Amboi’ dan ‘Hoi Ya Hoi’ itu berkata, beliau bersedia mengurangkan produktiviti untuk berkhidmat kepada rakyat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkannya sebagai calon bagi kawasan Lembah Jaya, malam tadi.
“Saya diberi tugas oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjadi penyelaras di sana, selama sembilan bulan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar, saya berpeluang mengenali gerak kerja seorang ADUN, mendekati orang di sana, hati saya di Lembah Jaya.
“Saya sudah berhenti buat persembahan sejak 2019, saya anggap itu sebagai pekerjaan untuk mencari rezeki, tetapi dari segi minat, saya masih berminat menulis lagu, mungkin sekarang kena kurangkan sedikit produktiviti dalam menulis lagu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pengumuman Calon PKR, malam tadi.
Altimet merupakan satu-satunya selebriti yang ditampilkan PKR yang membariskan calon 58 daripada 245 kerusi pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Di Selangor, beliau yang nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 44, merupakan antara 11 muka baharu ditampilkan PKR untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
Tambah Altimet yang berasal dari Petaling Jaya, beliau tidak gusar terhadap penerimaan peminat terhadapnya apabila kini secara rasmi menjadi orang politik apabila bertanding dalam pilihan raya.
“Macam lagu juga, bukan 100 peratus peminat akan terima apa yang kita buat, cakap dan lakukan, jadi kalau hendak mengharapkan 100 peratus akan kecewa, ini lumrah bagi orang yang buat apa-apapun tak akan suka apa yang kita buat,” jelasnya.
Malah, beliau turut menyatakan kesediaan berkhidmat kepada penggiat seni tanah air termasuk memberikan sebarang nasihat dan pandangan kepada kumpulan itu.
Dalam pada itu, Altimet yang kali pertama bertanding meletakkan visi untuk menjadikan kawasan tandinginya sebagai tempat mesra untuk pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur jika memenangi pilihan raya nanti.
“Saya tak yakin kemenangan, kerana itu datang dari Allah SWT, apa yang saya yakin 100 peratus adalah usaha yang keluar daripada badan saya sendiri itu yang saya yakin saya akan pergi lebih daripada 100 peratus.
“Visi saya adalah untuk melahirkan satu kawasan mesra untuk pelbagai lapisan masyarakat dan umur. Sesuai untuk kanak-kanak membesar, ibu bapa mencari rezeki dan menjaga anak-anak serta untuk datuk dan nenek bersara dan menghabiskan masa mereka di Ampang,” ujarnya. – UTUSAN










