Kebajikan warga ATM, veteran perlu terus diberi perhatian – Agong - Utusan Malaysia

Kebajikan warga ATM, veteran perlu terus diberi perhatian – Agong

Sebahagian daripada 228 Pegawai Kadet ATM yang ditauliahkan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Tauliah Pegawai Kadet ATM 2023 di Kem Perdana Sungai Besi semalam. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebajikan dan kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ahli keluarga dan veteran ATM harus terus diberi perhatian kerana pejuang negara itu banyak berjasa kepada negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, oleh itu usaha kerajaan untuk membina dan menaik taraf kediaman dan prasarana bagi kemudahan warga ATM sangat dialu-alukan.

Titah Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi ATM, nasib veteran ATM juga perlu terus dilindungi dan diberikan pembelaan sewajarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keamanan dikecapi selama ini hasil perjuangan perwira dan srikandi ATM yang telah mening­gal dunia,” titah Al-Sultan Abdullah ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM tahun 2023 di Kem Perdana Sungai Besi di sini semalam.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah, kerajaan juga perlu melipatgandakan untuk memperkasa dan memodenkan ATM selari dengan keadaan dunia yang menyaksikan pertembu­ngan antara kuasa-kuasa besar tradisional dengan kemunculan kuasa-kuasa baharu.

“Semua ini menuntut pasukan ATM yang berteknologi tinggi dan berupaya untuk diadaptasi bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman,” titah Seri Paduka.

Pada majlis tersebut seramai 228 Pegawai Kadet ditauliahkan selepas menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Daripada jumlah tersebut 136 membabitkan Pegawai Kadet Tentera Darat dan masing-ma­sing 46 Pegawai Kadet Tentera Udara dan Tentera Laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×