Pengundi diminta lapor salah laku calon, parti pada PRN - Utusan Malaysia

Pengundi diminta lapor salah laku calon, parti pada PRN

PEMASANGAN bendera parti secara semasa kempen pilihan raya, penting bagi mengenal pasti calon parti mana yang bertandinh . GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih sembilan juta pe­ngundi yang terlibat dalam enam pilihan raya negeri (PRN) Ogos depan diminta memantau perbelanjaan calon dan parti-par­ti politik yang bertan­ding seterusnya melaporkan sa­lah laku mereka kepada Suruhanjaya Pi­lihan Raya (SPR).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar tidak menolak parti-par­ti politik terutamanya yang me­­wakili kerajaan negeri lebih cenderung berbelanja besar de­ngan menyalah guna kedudukan bagi memenangi PRN.

Justeru, menurut beliau, tempoh pemantauan itu tertakluk semasa kempen daripada selepas hari penamaan calon sehingga pukul 12 tengah malam pada hari pengundian.

“Pengundi sendiri berhak untuk memantau perbelanjaan calon-calon dan parti politik sebab mereka adalah pemegang taruh dalam sistem pengurusan SPR.

“Kalau mereka (ada) berlaku penyalahgunaan undang-undang atau kuasa oleh parti yang bertanding mungkin (seperti) penyalahgunaan logistik milik kerajaan dan sebagainya, maka pengundi boleh mengumpul bukti dan buat bantahan serta melaporkan kepada pihak berwajib.

“(Sebab) selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar, kerajaan yang memerintah sedia ada hanya bersikap sementara, justeru tidak boleh menggunakan aset, peralatan, logistik milik kerajaan untuk kegunaan bagi tujuan kempen pilihan raya dalam tempoh rasmi berkempen. Ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya ketika dihubungi, semalam.

SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi pada 12 Ogos ini, manakala hari penamaan calon pada 29 Julai dan hari pengundian awal pada 8 Ogos melibatkan seramai 9,773,571 orang pemilih mengikut

Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.
Jumlah pemilih itu melipu­ti 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 tentera dan pasangan, 47,728 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 orang pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada Sabtu 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos.

INISIATIF

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, calon dan parti bertanding juga perlu mengambil inisiatif sama untuk memantau lawan masing-masing sama ada berlaku pelanggaran undang-undang atau sebaliknya.

“Dengan cara itu mereka dapat kumpul bukti dan hujah untuk buat bantahan,” katanya.

Kata beliau, penggunaan jentera sama ada milik kerajaan atau parti semasa tempoh berkempen boleh dibezakan sama ada ia milik peribadi, parti atau kerajaan negeri.

Namun, katanya, apa yang penting adalah untuk mempunyai bukti mencukupi bahawa berlakunya salah guna atau pe­langgaran undang-undang.

“Misalnya kalau guna ba­ngunan kerajaan, maka kena ada bukti sewa bangunan itu. Kalau guna kenderaan, jelas setiap kenderaan boleh tahu sebab ada nama jabatan kerajaan.

“(Tetapi semua) perkara ini perlu disampaikan dengan bahan bukti kepada pihak berwajib sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SPR dan polis.

“SPR memang tidak ada kuasa penyiasatan, tetapi polis dan SPRM ada kuasa penyiasatan. Cuma perlu maklum pada SPR sebab SPR mengurus pilihan raya.

“Selain bantahan (segera), bantahan juga boleh dibuat kemudian hari selepas keputusan. Jadi apabila ada bahan bukti cukup pilihan raya dimenangi dengan cara penyelewengan, maka boleh fail petisyen di mahkamah seperti yang berlaku di Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×