Saman menyaman antara pemimpin - Utusan Malaysia

Saman menyaman antara pemimpin

Info Antara kes-kes saman menyaman kalangan pemimpin politik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan saman menyaman dalam kala­ngan pe­mimpin baik kerajaan ma­­­hupun pembangkang mengundang pelbagai tanggapan termasuk terus mencetuskan ketegangan dalam iklim politik negara.

Semalam, Perdana Menteri Da­­­tuk Seri Anwar Ibrahim me­nuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf dan membayar ganti rugi RM200 juta atas dak­waan fitnah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Sebelum itu, Muhyiddin me­ngemukakan saman fitnah terhadap Anwar berhubung isu sa­­ma selepas Perdana Menteri di­dakwa gagal mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam seperti dituntut.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut berdepan saman fitnah daripa­da Anwar berhubung dakwaan beliau dibayar gaji RM15 juta sewaktu menjadi Penasihat Eko­nomi Negeri Selangor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan, trend sa­man-menyaman itu dilihat bu­kannya untuk menegakkan keadilan tetapi dilihat seolah-olah bermotifkan politik semata-mata.

“Tindakan saman antara satu sama lain tidak akan menyelesaikan isu sebaliknya hanya akan memburukkan lagi keadaan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Anwar juga berhadapan saman daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung kenya­taannya mengenai membolot kekayaan buat diri sendiri dan ahli keluarganya.

Anwar turut menyaman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa memfitnah beliau semasa berucap dalam ceramah pilihan raya.

FITNAH

Sanusi pula semalam me­ngumumkan akan menyaman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung dua kes fitnah iaitu membabitkan isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri juga mempertikaikan sama ada saman yang dibuat tersebut semata-mata kerana politik atau untuk me­nuntut keadilan.

“Kalau asyik keluar kenya­taan dan kemudian saman satu sama lain, tidak akan ada hentinya. Kesemua pihak perlu matang, cakap berpandukan fakta, jangan berpandukan kepada perkara yang tidak pasti.

“Jangan kerana ada kuasa, kamu boleh cakap apa yang kamu nak, sampai terperangkap dalam ketidakmatangan. Rakyat jemu apabila keadaan negara masih belum teratur tetapi pemimpin bertelagah di medan mahkamah, kita nak tengok pemimpin baik pulih dan bina negara, tapi ini kerja nak saman orang sahaja,” katanya.

Beliau juga menggesa semua pemimpin supaya tidak mempergunakan institusi kehakiman demi tujuan politik semata-mata.

“Tujuan mahkamah adalah untuk keadilan, bukannya tempat tunjukkan siapa betul dan siapa salah. Kalau ada kenyataan tidak betul, kemuka bukti dan dokumen sahaja, tidak perlu saman atau pergi ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn berpandangan, individu termasuk pemimpin politik mempunyai hak di bawah undang-undang untuk memfailkan saman terhadap sesiapa sahaja yang didakwa memfitnah mereka sekiranya mempunyai bukti.

Menurut beliau, ini kerana objektif tersebut adalah untuk memperkukuhkan kredibiliti dan reputasi seseorang.

“Ia sama ada fitnah atau tidak. Kalau benar cakap benar dan kalau tidak benar, maka kena bayar ganti rugi yang perlu.

“Tetapi Majlis Peguam berpendirian sebarang saman di bawah Akta Hasutan tidak sepatutnya berlaku.

“Kita tidak ambil kira sama ada orang disaman itu daripada pihak pembangkang atau pihak kerajaan kerana akta hasutan adalah satu akta yang seharus­nya dimansuhkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×