Lewat bergaya sudah jadi trend kita

Lewat bergaya sudah jadi trend kita

PADA zaman dahulu, manusia mengukur masa berpandukan siang dan malam seperti jam matahari yang dipamerkan kepada pengunjung di PD Forest @ Sungai Menyala, Port Dickson. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASIHAT dan peringatan tentang masa memang ada dalam budaya semua masyarakat dunia. Kalau dahulu manusia mengukur masa antara siang dan malam, kemudian berubah pula kepada tempoh masa lebih spesifik seperti subuh, pagi, tengah hari, petang, senja, malam dan tengah malam.

Malah, waktu sembahyang digunakan penganut pelbagai agama menunjukkan betapa manusia mementingkan budaya menepati masa.

Frasa seperti masa itu emas dan time and tide wait for no man sering diucapkan tetapi selalu pula tidak diamalkan serta dijadikan budaya hidup.

Saya secara peribadi amat mementingkan budaya menepati masa.

Sebagaimana tidak suka sesiapa membuatkan saya ternanti-nanti selepas pertemuan diatur, begitulah juga saya tidak mahu orang lain menunggu kerana saya lewat. Kita sebenarnya membazir masa orang jika tiba lewat ke mana-mana janji temu. Janji temu dibuat kerana kita sedar masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan lain. Maka, kita sebenarnya berjanji untuk memperuntukkan masa apabila mengatur pertemuan itu.

Malangnya, sudah menjadi budaya dalam kalangan orang Malaysia secara umum untuk langsung tidak menghormati ketepatan masa. Misalnya, walaupun sudah berjanji untuk bertemu pukul 3 petang, kita langsung tidak rasa bersalah jika tiba hanya pada pukul 3.30 atau 4 petang.

Sering juga saya menerima undangan ke majlis hari jadi dan upacara sembahyang bagi rumah baharu. Katakanlah masa tercatat pada kad undangan ialah pukul 6 petang. Rakan yang mengundang saya memang tahu betapa saya mementingkan ketepatan masa. Biasa pula mereka berpesan bahawa majlis hanya bermula pukul 7 malam. Pastilah saya terkejut dan bertanya mengapa pula pukul 6 petang dicatat pada kad undangan. Alasan yang biasa diberi, “Barulah orang akan sampai pada pukul 7 malam.”

Lebih melucukan apabila dalam budaya India-Hindu, masa yang tercatat pada kad undangan biasanya angka ganjil seperti pukul 7.01 malam dan pukul 9.31 pagi. Ia memberi gambaran seolah-olah majlis akan bermula tepat pada masa. Dalam realiti, majlis hanya bermula paling awal sekitar satu jam kemudian.

TOKOH POLITIK

Amalan dan sikap seperti ini benar-benar merimaskan dan membuatkan saya kurang selesa. Kita semacam mahu membudayakan amalan tidak menghormati masa. Orang ramai juga tidak rasa bersalah apabila datang lewat bergaya atau disebut fashionably late dalam bahasa Inggeris.

Dalam cerpen Datuk datang ke kampung kami (Dewan Sastera, Februari 1997), saya secara sinis menggambarkan budaya lewat bergaya di mana tokoh politik terbabit dan pihak penganjur langsung tidak rasa bersalah apabila masa tidak dipatuhi.

Budaya menghormati ketepatan masa yang menjadi amalan saya turut diterapkan dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan sebaik diasaskan pada 1999. Istilah yang digunakan ialah Waktu Kavyan dan membawa makna masa sebagaimana dinyatakan, bukan setengah jam atau sejam kemudian. Setiap acara Kavyan dipastikan bermula tepat pada masa. Jika ada kelewatan, mungkin sekitar lima atau 10 minit dalam situasi tidak dapat dielakkan. Malah, tempoh lima atau 10 minit itu diisi dengan aktiviti berguna supaya hadirin tidak rasa rugi. Rasional memulakan majlis atau acara Kavyan tepat pada masa adalah amat mudah.

Beberapa orang sudah tiba awal atau tepat pada masa. Sekiranya menangguhkan majlis semata-mata kerana menunggu orang yang bakal tiba lewat bergaya, maka kita sebenarnya tidak menghormati malah sebenarnya menghina beberapa individu yang datang menepati masa.

ALASAN

Kita boleh memberi macam-macam alasan untuk mewajarkan kelewatan menghadiri sesuatu majlis. Orang yang tinggal di bandar dan kota besar yang sibuk serta jalan raya sentiasa sesak pasti memahami situasi ini.

Dalam keadaan seperti itu, nasihat saya amat mudah dan praktikal. Memandangkan kita sudah sedia maklum tentang kesesakan jalan dan pelbagai rintangan, maka gunakanlah akal rasional untuk bertolak lebih awal.

Jika ada sebarang janji temu, saya memasang penggera (alarm) pada telefon bimbit untuk mengingatkan diri. Amalan ini penting dan berguna kerana saya memang pelupa khususnya apabila khusyuk membaca atau berkarya. Penggera itu pula ditetapkan mungkin setengah jam lebih awal supaya saya tidak perlu tergesa-gesa. Saya juga suka tiba sekitar 10 atau 15 minit lebih awal di lokasi kerana tidak mahu rakan yang mahu ditemui itu ternanti-nanti.

Dengan adanya kemudahan Waze, kita sebenarnya boleh merancang perjalanan dengan lebih mudah dan berkesan. Aplikasi itu boleh mencadangkan masa paling sesuai untuk bertolak jika kita mahu sampai tepat pada masa. Apabila ada janji temu dengan seseorang, saya sentiasa berkongsi perjalanan (share drive) menerusi Waze dan WhatsApp. Tindakan mudah ini ada beberapa kebaikan.

Pertama, rakan itu tahu bahawa saya sudah benar-benar keluar dari rumah dan sedang dalam perjalanan. Perkara ini penting kerana sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat kita untuk menipu kononnya sedang dalam perjalanan (on the way) sedangkan belum lagi bersiap.

Kedua, rakan itu tahu secara tepat di mana saya berada. Kalaulah tiba-tiba ada kesesakan jalan raya di luar jangkaan yang mungkin menyebabkan kelewatan, maka rakan itu tahu punca sebenar. Ketiga, rakan berkenaan sedia maklum bilakah saya dijangka tiba di lokasi. Kalau ada perubahan masa akibat kesesakan jalan raya, aplikasi Waze akan kemas kini maklumat itu kepada rakan saya.

Keempat, rakan itu bolehlah memastikan dia juga sudah bersedia menerima kunjungan saya atau memastikan dia sampai di lokasi pertemuan seperti dijanjikan. Apa-apa pun cara dilakukan, kita amat wajar membudayakan semula amalan menghormati ketepatan masa. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×