PETALING JAYA : Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggotanya sekiranya didapati mengamalkan birokrasi dan ‘pilih bulu’ ketika menjalankan siasatan kes.
Beliau berkata, pemerhatian dan penilaian masyarakat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah pastinya berkisar kepada kebolehupayaan agensi berkenaan dalam membendung jenayah selain menyiasat, menangkap serta mendakwa penjenayah.
Katanya, ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang dalam penyiasatan dan pendakwaan jenayah yang perlu dilaksanakan dengan sebijaknya.
“Kualiti maklumat risikan jenayah menentukan hasil operasi. Paling utama adalah untuk mendakwa pesalah di mahkamah.
“Justeru, kita harus memperkasakan kredibiliti, kecekapan dan kemahiran pegawai-pegawai kita bagi memastikan kualiti crime prevention dan crime suppression adalah pada tahap tertinggi,” kata berucap dalam perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam ucapan beliau itu, Razarudin turut mengakui tugas dan tanggungjawab PDRM dalam konteks jenayah kini semakin mencabar dan kompleks.
Jelas beliau, masyarakat pada hari ini semakin celik dan peka akan hak mereka di sisi undang-undang.
“Elemen kepantasan, ketepatan dan ketelusan dalam perkhidmatan kepolisan amat dituntut oleh masyarakat, agar mereka mendapat kepuasan yang optimum sebagai pemegang taruh atau stakeholders.
“Jika dahulu sesuatu kes jenayah hanya perlu diselesaikan di antara pihak polis, pengadu, suspek dan saksi, namun kini pelbagai pihak yang berkepentingan akan tampil dalam perjalanan menyelesaikan sesuatu kes terutamanya melibatkan cases of interest,” ujarnya.
Malah, kata beliau, isu-isu melibatkan siasatan turut diberikan perhatian oleh masyarakat yang mahukan suatu tindakan konkrit dan cepat diambil oleh pihak polis.
“Sungguhpun kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak, namun warga PDRM perlu berusaha sedaya upaya memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik agar kita kekal mendapat kepercayaan daripada masyarakat,” jelasnya.
Razarudin berkata, beliau telah menetapkan dua fokus yang perlu digerakkan secara total, yang mana ia memerlukan pelaksanaan yang agresif dan pemantauan secara berterusan di setiap peringkat dalam pasukan.
“Fokus pertama dalam perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik manakala fokus kedua adalah mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, sebanyak 25,482 kes jenayah direkodkan dari 1 Januari sehingga 30 Jun lalu berbanding tempoh yang sama bagi 2022 dengan 25,774 kes.
Katanya, jumlah yang direkodkan menunjukkan penurunan 292 kes bersamaan 1.1 peratus.
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 16,518 kes berjaya diselesaikan dengan peratus penyelesaian kes 64.8 peratus berbanding dengan sasaran kadar penyelesaian kes yang ditetapkan iaitu 45 peratus.
“Sebanyak 56,677 kertas siasatan juga dibuka melibatkan jenayah indeks dan non-indeks yang mana 31,014 pertuduhan dicapai 54.72 peratus,” katanya. – UTUSAN










