Jangan tinggal puasa Asyura

Jangan tinggal puasa Asyura

BAGI mereka yang memasak bubur Asyura sempena Muharam, niatkanlah sebagai sedekah kerana menjamu orang makan. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM bulan Muharam, ada satu ibadat sunat sering dilakukan umat Islam iaitu puasa hari Asyura atau puasa pada hari ke-10 Muharam. Ini adalah satu lagi ibadat ditunggu-tunggu orang beriman selepas melaksanakan puasa sunat hari Arafah pada 9 Zulhijah.

Abu Qotadah Al Anshory berkata: Nabi Muhammad SAW ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah. Baginda menjawab, “Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Beliau juga ditanya mengenai keistimewaan puasa Asyura. Baginda menjawab, “Puasa Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Muslim)

Sementelahan, dua hari lepas kita menyambut tahun baharu Hijrah. Untuk itu, pasti ramai yang mempunyai semangat berkobar-kobar memulakan ‘buku catatan’ baharu amalan masing-masing dengan pelbagai perkara kebajikan di samping mengelak melakukan kejahatan.

Masa berlalu, hari berganti bermakna usia kita makin meningkat. Dengan kata lain, kita semakin hampir kepada kematian. Kata pepatah Melayu, rumah kata pergi, kubur kata mari. Justeru, kehidupan di dunia ini adalah tempat kita menanam benih kebaikan untuk kita tuai hasilnya iaitu ganjaran pahala di akhirat kelak.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu bulan di mana Allah SWT melarang me­lakukan peperangan atau pertumpahan darah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.” (at-Taubah: 36)

Bulan-bulan haram membawa maksud dua, iaitu pertama, bulan-bulan yang diharamkan untuk berperang di dalamnya. Kedua, membawa maksud bulan yang sangat dihormati lagi dimuliakan.

Keutamaan berpuasa dalam bulan Muharam dinukilkan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Seutama-utama puasa sesudah setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat (sunat) pada malam hari.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga hari daripada setiap bulan daripada satu Ramadan kepada satu Ramadan yang berikutnya adalah menyamai ganjaran berpuasa sepanjang tahun. Berpuasa pada hari Asyura juga dihitung di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang berlalu.” (Riwayat Muslim).

Selain berpuasa pada hari Asyura ini, umat Islam digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam atau hari tasu’a. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya: Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura, baginda turut meng­arahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.” Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan.” Ibn Abbas berkata: “Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Muslim)

MEROBEK PAKAIAN

Para ulama berpendapat, hikmah disunatkan berpuasa pada hari tasu’a’ (sembilan Muharam) itu ada beberapa aspek:

1. Bagi menyalahi atau membezakan dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Riwayat Ahmad)

2. Bagi tujuan berhati-hati berpuasa pada hari Asyura ke­rana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pe­ngiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muha­ram itu dalam pengiraan adalah hari ke-10 Muharam yang sebenarnya.

Demikian juga kita disunatkan berpuasa pada 11 Muharam selain pada seluruh bulan tersebut dan juga pada 1 hingga 10 Muharam menurut sebahagian fuqaha.
Imam al-Qurthubi berkata, “Puasa Muharam menjadi puasa yang paling utama kerana Muharam merupakan awal tahun baharu, maka pembukaannya adalah dengan puasa yang merupakan amal paling afdal (utama).”

Di akhir hayat Rasulullah SAW suka membezakan ibadah umat Islam agar menyalahi ibadah kaum Yahudi yang berpuasa pada hari Asyura sahaja dan disunatkan kepada umat Islam untuk berpuasa sehari sebelumnya, iaitu pada 9 Muharam atau sehari selepasnya, iaitu pada 11 Muharam beserta puasa hari Asyura dengan tujuan menyelisihi dan membezakan dengan puasa golongan Yahudi.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari (halaman 245-246) mengatakan: “Maka tingkatan puasa Asyura itu ada tiga: Pertama, puasa hari Asyura saja. Kedua, puasa Asyura disertai puasa tasu’a dan ketiga, puasa Asyura disertai puasa tasu’a dan puasa 11 Muharam.”

Dalam keghairahan menyambut hari Asyura, janganlah hendaknya kita terpengaruh dengan perbuatan merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana dilakukan Syiah bagi meratapi pemergian Saidina Husin kerana hukumnya haram.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bermaksud: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam masa sama, kita berkesempatan untuk puasa Hari Putih iaitu pada 13, 14 dan 15 Muharam yang jatuh pada Rabu, Khamis dan Jumaat, iaitu 2 hingga 4 Ogos, insya-Allah. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW bermaksud: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Bagi yang mahu memasak bubur Asyura sempena Muharam, silakan. Memasaknya pada bila-bila masa dibenarkan syarak dan niatkanlah sebagai suatu sedekah kerana menjamu orang makan.

Tentang bersedekah, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” (Riwayat Muslim).

Cuma jika memasak bubur Asyura pada 10 Muharam ini menghalang kita berpuasa sunat, elok kita pilih berpuasa kerana ganjarannya jauh lebih besar. Sebagai ganti, buatlah pada hari selain 10 Muharam. – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×