Amirudin ‘tanam’ terus Azmin di pusingan kedua?

Amirudin ‘tanam’ terus Azmin di pusingan kedua?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA pilihan raya umum (PRU) 19 November tahun lalu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikejutkan oleh anak didiknya, Datuk Seri Amirudin Shari di Gombak. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu gagal mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya sejak 2004 di tangan Amirudin yang meraih majoriti 12,729 undi.

Menteri Besar Selangor mewakili Pakatan Harapan-PKR itu memperoleh 72,267 undi, meninggalkan Mohamed Azmin dari Perikatan Nasional (PN)-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendapat 59,538 undi. Tiga lagi pesaing, Datuk Megat Zulkarnain Omardin Barisan Nasional (BN)-UMNO memperoleh 30,723 undi, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir dari Gerakan Tanah Air (GTA)-Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerima 2,223 undi dan Zulkifli Ahmad (Bebas) mendapat 675 undi.

Lapan bulan berlalu selepas PRU15 itu, khabarnya Mohamed Azmin kini kembali mengintai peluang untuk pulihkan reputasinya. Mahu ‘berkokok’ lama dalam politik tetapi tidak pula menyandang sebarang kerusi pilihan raya tidak akan memberi erti apa-apa. Jadi, kalau sudah terlepas kerusi Parlimen, perlu impikan pula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, awalnya kerusi Morib jadi pilihan Mohamed Azmin, tetapi tidak jadi kenyataan. Morib dikatakan sudah awal ‘ditempah’ Datuk Seri Rina Harun. Kerusi Kuang pula kurang selamat buat Mohamed Azmin.

Akhirnya, Hulu Kelang tempat lama juga yang dikenang dan diminatinya. Pernah memenangi kerusi itu pada 1999, dikatakan kain rentang dan khemah sudah naik di sana. Markas pun sudah dibuka untuk Mohamed Azmin memulakan gerak kerja.

Daripada keseluruhan 56 kerusi yang jadi rebutan, kira-kira 36 kerusi mewakili majoriti 60 peratus pengundi Melayu. Lebih diperincikan lagi, 26 kerusi mengandungi lebih 60 peratus majoriti Melayu manakala 10 kerusi lagi terdiri 50 hingga 60 peratus Melayu. Baki 20 kerusi pula mewakili angka tertinggi pengundi bukan Melayu.

DUN Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu yang dimenangi dan dipertahankan aktivis reformasi dan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), Saari Sungib selama tiga penggal berturut-turut. Beliau yang memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket Pas mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini kerana masalah kesihatan.

Dikatakan keterujaan Mohamed Azmin mahu bertapak semula di Hulu Kelang ekoran tiada pesaing nama besar yang mampu berdepan dengannya. Kalau adapun dari Amanah, ia bukanlah Saari tetapi difahamkan anaknya. Dengan ‘nama yang masih gah’, tidak mustahil Mohamed Azmin akan memberikan cabaran sengit. Kalau kena gaya dan harinya, boleh menang.

HEAVYWEIGHT

Selama tiga penggal di Gombak, Mohamed Azmin pasti akan menggunakan pengalaman dan kelebihannya semasa di peringkat negeri selaku bekas menteri besar dan Kabinet untuk menguasai Hulu Kelang. PH-BN tidak boleh pandang enteng semua ini.

Justeru, apa pilihan PH-BN kali ini? Berdasarkan situasi semasa dan untuk ‘tanam’ terus Mohamed Azmin, calon paling layak berdepan dengannya adalah Amirudin sendiri. Kedua-duanya yang berstatus heavyweight ini harus ke pusingan kedua pula selepas bertarung di PRU. Bukankah Mohamed Azmin juga calon menteri besar untuk PN jika Selangor menang? Epal wajar dibandingkan dengan epal juga.

Amirudin dalam satu wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini menyuarakan keyakinan gabungannya bersama BN memerlukan sekurang-kurangnya sokongan 30 peratus pengundi putih UMNO bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Setakat semalam, PH juga meyakini sudah pun mempunyai 33 kerusi selamat untuk membolehkan parti itu mengekalkan kedudukan di Selangor, selain tambahan tujuh kerusi dari UMNO bagi menjadikan gabungan itu memiliki kekuatan melebihi dua pertiga.

“Ya, bila 60 peratus mereka percaya kerajaan negeri sekarang berada dalam landasan, memang bermakna sebelah tapak kaki mereka sudah bersedia menyokong PH dan ini akan memberikan sedikit kelebihan kepada kita berdepan dengan PRN.

“Cuma kerja keras pasukan kitalah yang akan menentukannya dan juga pastikan komunikasi kita sampai. Saya yakin mereka tetap setia dengan PH dalam PRN nanti,” kata Amirudin.

Apa pun, politik Malaysia cukup dinamik hari ini. Sebarang kemungkinan boleh berlaku pada PRN nanti. Pada 2008, BN di Selangor mempunyai majoriti sangat besar, 54 kerusi lawan dua kerusi PH, namun akhirnya tumbang.

Setakat ini tidak ada isu besar di Selangor. Tidak ada penyapu, bantahan kuil, keadaan huru-hara atau ekonomi yang tidak baik. Selangor menunjukkan prestasi ekonomi yang bagus. Ramai yang dapat pekerjaan, malahan apabila kerajaan negeri buat program Jom Kerja baru-baru ini, data daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) menunjukkan hanya 2.6 peratus kadar pengangguran negeri. Maksudnya full force.

Keyakinan cukup tinggi Amirudin untuk pertahankan Selangor, 12 Ogos ini sewajarnya menggerunkan Mohamed Azmin. Jika Mohamed Azmin gagal menempatkan diri di Hulu Kelang, masa depannya pasti gelap. – UTUSAN

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×