SELAYANG: “Ini satu petunjuk kerajaan dalam ketakutan,” tegas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor susulan pertuduhan yang dihadapinya.
Muhammad Sanusi berkata, pertuduhan itu jelas bermotifkan politik dan menjejaskan beliau dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat turut meyakini rakyat mula memahami tujuan dan hasrat sebenar pendakwaan terhadapnya.
“Nampaknya di Malaysia ini tidak boleh cakap apa-apa, kalau di medan politik biasanya orang selesaikan masalah politik di medan politik.
“Kita beri hujah balas kerana ada orang yang takut di Malaysia ini ada yang guna polis untuk sekat suara rakyat, ini satu petunjuk mereka sedang ketakutan,” katanya dalam sidang akhbar di Mahkamah Selayang semalam selepas membayar ikat jamin RM10,000.
Beliau sebelum itu mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.
Mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sanusi menjadi Menteri Besar kedua yang didakwa di mahkamah semasa masih berkhidmat selepas Menteri Besar Selangor kelapan, Datuk Harun Idris.
Pada 1975, Harun dijatuhkan hukuman penjara dua tahun setelah didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM250,000 dari Hong Kong and Shanghai Banking Corporation.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau hanya mengetahui pertuduhan terhadapnya melalui laporan media malah tiada sebarang notis diberikan.
“Saya sememangnya mahu hadir ke mahkamah pagi ini tetapi mereka tetap datang buat tangkapan pukul 3 pagi di kediaman saya di Kuala Lumpur.
“Saya beri kerjasama yang baik untuk hadir,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menegaskan beliau berharap Perikatan Nasional (PN) akan memenangi PRN di enam negeri.
“Saya harap PRN akan datang ini PN akan menang di enam negeri,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memberi bayangan tindakan perundangan yang dikenakan terhadapnya semalam tidak menghalangnya menjadi calon PRN 12 Ogos ini.
“Alhamdulillah Oktober, ni dan (sempat) masuk PRN dulu…,” katanya.
Muhammad Sanusi, 49, yang memakai kemeja putih dan seluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN didakwa melakukan perbuatan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja dan mempertikai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, di sini, pukul 11 malam pada 11 Julai lalu.
Oleh itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan dua Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Manoj Kurup serta Datuk Masri Mohd Daud manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.
Pada 15 Julai lalu, Muhammad Sanusi mengutuskan sepucuk warkah memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin dan menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam ceramah tersebut.
Bagaimanapun, kelmarin (17 Julai), Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan menitahkan bahawa isu mengenai ucapan Muhammad Sanusi sebagai `masih belum selesai’.
Titah tersebut dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office pada tarikh sama. –UTUSAN










