SABAK BERNAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak wajar dijadikan bahan dalam ucapan-ucapan dan perbahasan politik terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini.
Pengerusi PH itu berkata, meskipun beliau berpendirian mengelak daripada menggunakan Akta Hasutan dalam hal-hal berkaitan kempen politik, namun menegaskan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan.
“Saya dari segi dasar elakkan penggunaan Akta Hasutan, jadi yang ini bila menyentuh kedudukan raja-raja harus kita pelihara, sanjung dan elak jadi suatu wacana perbahasan politik yang tidak sihat.
“Soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah gunakan itu sebagai suatu alasan (bagi mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, semalam.
Pagi semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung penubuhan kerajaan perpaduan dan menghasut mengenai Sultan Selangor.
Pendakwaan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan oleh Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.
Di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu didakwa mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut membabitkan kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pelantikan Menteri Besar negeri itu.
Perbuatan yang boleh menimbulkan rasa tidak setia kepada mana-mana raja di negara ini didakwa dilakukan pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, Selangor.
Bagi pertuduhan kedua yang dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd. Shalleh, Muhammad Sanusi didakwa mempertikaikan titah Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penubuhan kerajaan perpaduan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan beliau akan meneliti pendakwaan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu serta laporan dan alasan daripada Peguam Negara, namun meminta semua pihak menghormati proses mahkamah.
“Polis buat siasatan, peguam negara pun buat pendakwaan, jadi saya tidak mahu ganggu proses dan saya minta akan teliti pendakwaan,
“Yang pertama berkenaan dengan laporan dan kemudian apa alasan peguam negara yang melihat kepada pendakwaan selepas siasatan polis. Jadi, kena hormat proses mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN










