PULAU Tioman telah lama menjadi destinasi pelancongan diminati ramai dari dalam dan luar negara. Taman marin yang diwartakan ini mempunyai hutan hujan yang masih asli dan merupakan habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar. Sekurang-kurangnya 61 peratus daripada pulau ini ditetapkan sebagai rizab hidupan liar.
Namun, di sebalik keindahannya terdapat ancaman bukan hanya boleh menghancurkan keseimbangan alam yang begitu kompleks dan mempersonakan ini, malah menyebabkan kemerosotan kualiti hidup komuniti tempatan. Anehnya, kerajaan negeri Pahang umpama masih tidak menyedari kepentingan mendalam kawasan perlindungan ini. Cadangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman bagi saya adalah sebuah pencerobohan licik ke atas landskap asli pulau itu, mencerminkan pengabaian secara terang-terangan terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Cadangan awal untuk membina lapangan terbang bernilai RM120 juta di Kampung Paya pada 2003 mendapat tentangan daripada penduduk, aktivis alam sekitar dan Menteri Pengangkutan ketika itu, Tan Sri Ong Tee Keat. Kebimbangan kemerosotan kualiti alam sekitar dan bantahan kolektif menyebabkan projek itu dibatalkan pada 2009.
Meskipun begitu, cadangan baharu muncul pada 2018. Apa yang mengejutkan, cadangan ini mendapat kelulusan Exco dan Majlis Perancang Fizikal Negara pada 2020. Tempoh pembangunan selama tujuh tahun dari 2024 hingga 2030 meliputi kawasan seluas 142.7 hektar dalam sempadan taman laut yang diwartakan.
Sehingga kini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad masih belum mengulas mengenai isu ini. Dan laporan media baru-baru ini menyatakan Nik Nazmi sedar akan kepentingan Pulau Tioman sebagai tapak marin dan menyatakan hasratnya untuk meneliti secara menyeluruh laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) sebelum memberikan sebarang ulasan.
Laporan EIA mendedahkan realiti menyedihkan. Pembinaannya akan melibatkan penebusan 76 peratus tanah dari kawasan perlindungan marin (MPA) mengakibatkan kemusnahan kebanyakan terumbu karang yang sangat berharga.
Tambahan pula, tapak lapangan terbang menceroboh kawasan yang terkenal dengan kemunculan jerung terumbu blacktip dan penyu sisik yang sedang diancam kepupusan.
EL NINO
Menurut Pengurus Program dan Ahli Biologi Marin di Reef Check Malaysia, Alvin Chelliah, lapangan terbang baharu tidak diperlukan dan tidak akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat atau alam sekitar. Beliau menekankan keperluan untuk memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur, sistem perparitan, rawatan sisa dan bekalan elektrik di Pulau Tioman. Alvin juga mengetengahkan isu kekurangan air yang sangat kerap dan pengurusan sisa yang tidak baik serta tidak efisien.
Walaupun penempatan semula karang mungkin kelihatan sebagai langkah proaktif untuk melindungi organisme rapuh ini, adalah penting untuk mengkaji secara kritis kelemahan dan batasan pendekatan sedemikian. Memindahkan batu karang dari habitat semula jadinya ke tapak baharu boleh memberi kesan buruk kepada kelangsungan hidup dan ekosistem yang mereka sokong. Batu karang yang dipindahkan sering bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu, membawa kepada kadar kematian tinggi.
Pembangunan mampan adalah penting untuk kesejahteraan planet kita dan generasi akan datang. Ia menekankan mencari keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan perlindungan alam sekitar. Pulau Tioman adalah bukti kepentingan pembangunan mampan. Ekosistemnya yang unik termasuk terumbu karang dan hidupan marin, merupakan aset tidak ternilai yang menyokong pelancongan dan ekonomi tempatan.
Dengan mengutamakan pembangunan mampan dan melindungi ekosistem Pulau Tioman yang rapuh, kita boleh mengurangkan risiko masa depan dan melindungi komuniti tempatan. Gelombang haba semasa yang dikuatkan oleh El Nino menunjukkan kesihatan iklim planet kita yang semakin merosot dengan implikasi teruk kepada komuniti dan biodiversiti.
Pulau Tioman bukan sekadar sebidang tanah. Ia adalah bukti hidup kepada rangkaian kehidupan kompleks yang telah diatur oleh alam secara semula jadi. Memusnahkannya sama seperti mengoyakkan halaman buku yang jarang ditemui dan tidak boleh diganti. Kita mesti menuntut akauntabiliti daripada pihak-pihak bertanggungjawab, mengutamakan pemeliharaan anugerah alam semula jadi berbanding keuntungan ekonomi jangka pendek.
Saya menggesa semua individu yang prihatin untuk berkongsi ketidakpuasan hati mereka terhadap projek ini dengan memberikan ulasan mereka di portal Jabatan Alam Sekitar (JAS). Laporan EIA dibuka untuk ulasan umum sehingga 4 Ogos ini dan suara kita amat mustahak ketika ini. Ayuh bersolidariti, menguatkan suara kita untuk melindungi Pulau Tioman dan memastikan masa depan yang mampan untuk generasi akan datang. Masa untuk bertindak sekarang dan nasib Pulau Tioman terletak di tangan kita. – UTUSAN
PENULIS ialah aktivis belia alam sekitar; Pengasas Bersama Project Ocean Hope; dan pelajar ijazah kedoktoran di Universiti Putra Malaysia (UPM).










