PETALING JAYA: Negara boleh kehilangan tenaga profesional tempatan ekoran kemasukan pelajar aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sekolah menengah masih di bawah 50 peratus enam tahun berturut-turut sejak 2017.
Kerajaan sebelum ini pernah menyasarkan 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030, namun data setakat ini menunjukkan bilangannya adalah sekitar 40 peratus.
Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat baru-baru ini, data tahun 2020 menyaksikan kemasukan pelajar aliran STEM adalah sebanyak 40.94 peratus.
Kemasukan murid STEM bagi lima tahun sebelumnya ialah 40.95 peratus (2021), 47.00 peratus (2020), 41.84 peratus (2019), 42.83 peratus (2018) dan 45.20 peratus (2017).
Data itu memperlihatkan pelajar sekolah di negara ini semakin kurang minat dalam subjek sains dan teknologi sekali gus dikhuatiri menyebabkan negara kehilangan tenaga profesional tempatan dalam bidang STEM dalam tempoh jangka masa panjang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Guru STEM Malaysia, Noorsuhaily Ali @ Md. Noor berkata, lebih separuh pelajar dalam setiap kelas di sekolah dikesan tidak menunjukkan minat terhadap subjek sains.
Bagaimanapun, katanya, penurunan minat pelajar bergantung kepada pelbagai faktor terutamanya peranan sekolah dan guru.
Katanya, punca paling ketara adalah pelajar tidak dapat melibatkan diri mereka secara langsung ketika melaksanakan eksperimen berikutan kekangan kemudahan.
“Pelajar semakin lama semakin tidak minat dengan sains sebab tidak boleh menjiwai eksperimen dalam makmal. Mereka terpaksa berkongsi (kemudahan) dalam satu kumpulan yang besar serta kebanyakan pelajar yang buat eksperimen pun orang yang sama saja dan yang lain tengok saja.
“Sedangkan, perkara itu sangat mempengaruhi sebab mereka boleh rasa sendiri apa yang diajar. Lagi pula, kalau boleh main dengan eksperimen, ia secara tidak langsung akan timbulkan minat.
“Kalau kaji betul-betul, tidak payah buat apa sangat, cuma tambah baik kemudahan sains pun sudah cukup untuk kasi pelajar minat. Sains ini senang sebab ada benda yang membuktikan teori, kalau belajar macam Sejarah saja, bagaimana mahu minat,” katanya.
Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr. Wee Jeck Seng dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini meminta Kementerian Pendidikan menyatakan statistik pelajar yang mengikuti STEM.
Dalam sambutan Hari Guru Mei lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pendidikan segera menubuhkan pasukan khas mencari jalan bagi menyuntik kembali minat pelajar terhadap dalam bidang sains dan teknologi.
Langkah itu, kata Perdana Menteri, selepas beliau meneliti kajian yang mendapati minat terhadap bidang terbabit semakin merosot, khususnya dalam kalangan pelajar di luar bandar serta dari keluarga miskin bandar.
Namun, tiada perkembangan lanjut berhubung penubuhan pasukan khas berkenaan.
Menurut Noorsuhaily, kebanyakan sekolah juga tidak memainkan peranan untuk menarik minat pelajar dengan lebih lagi dalam bidang sains.
Katanya, ini kerana tidak ada kepelbagaian aktiviti sekolah terutamanya melibatkan bidang STEM ini.
“Prasarana dan kemudahan mungkin terhad, tetapi kalau pelbagaikan lebih program ia akan lebih menarik minat, tetapi semua itu bergantung kepada guru-guru.
“Misalnya buat karnival STEM atau minggu STEM atau apa sahaja yang boleh membantu untuk menarik minat sekolah,” katanya.
Tambah beliau, pihak pengurusan dan guru juga boleh menggunakan segala sumber yang ada di sekolah itu dalam menjayakan minat pelajar terhadap bidang sains.
“Contoh kalau sekolah dekat dengan sungai, buat cara dekat dengan sungai…mungkin aktiviti sains di sungai.
“Gunakan kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing untuk disesuaikan dengan sumber yang ada kreativiti,” katanya.
Justeru, kata Noorsuhaily, minat pelajar terhadap bidang sains perlu diberi perhatian kerana situasi itu adalah satu perkara yang membimbangkan.
Katanya, ini kerana keperluan dalam bidang STEM pada masa ini sangat tinggi dan Malaysia juga sedang bergerak ke arah negara industri teknologi.
“Jadi, nak tak nak, kena cari jalan supaya pelajar minat. Pokok pangkal memang guru berperanan besar dan selepas itu barulah ibu bapa,” katanya. – UTUSAN










