Sekutu Jho Low akhirnya ditangkap

Sekutu Jho Low akhirnya ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas hampir li­ma tahun dalam buruan pihak berkuasa, bekas peguam 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan ditahan polis di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewa­ngan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Bagaimanapun, tidak dapat di­pastikan sama ada Jasmine baru pulang dari luar negara ketika polis menangkapnya.

Pada 4 Disember 2018, Mah­kamah Majistret mengeluarkan waran tangkap ke atas Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan Eric Tan Kim Loong.

Ia dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah ba­gi menghadapi tujuh pertu­duhan pengubahan wang ha­ram berkaitan 1MDB.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), Jas­­mine menerima AS$5 juta (RM23.2 juta) ketika fasa Aabar-BVI skan­­dal 1MDB dan AS$10 juta (RM46.5 juta) ketika fasa Tanore skandal tersebut.

Dalam sidang akhbar sema­lam, Menteri Dalam Ne­geri, Da­tuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, wanita itu direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Sabtu lalu.

Katanya, suspek disiasat me­ngikut Seksyen 409 Kanun Ke­seksaan atas kesalahan pecah amanah.

“Peguam suspek memaklumkan, anak guamnya sedia memberi kerjasama kepada polis dan Kerajaan Malaysia berhubung kes itu,” katanya.

JASMINE LOO AI SWAN

Saifuddin bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut perkembangan kes dan menyerahkan dahulu kepada polis bagi siasatan lanjut.

“Biar polis jalankan tugas dahulu, saya tidak mahu komen. Kes ini (1MDB) memang belum selesai, apapun tindakan lanjut biar ikut lunas undang-undang,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.

Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021, manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Casey dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pihak berkuasa Swiss memburu pasangan itu sejak 10 Julai 2018 selepas pertemuan Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber dengan rakan sejawatannya di Putrajaya.

Bloomberg melaporkan bahawa kedua-dua Tang dan Loo tidak disenaraikan dalam rekod telefon awam dan organisasi berita itu tidak dapat menghubungi mana-mana peguam atau wakil mereka.

Jasmine digambarkan sebagai ‘perantara utama’ antara 1MDB dengan Goldman Sachs, yang kini disiasat oleh pihak berkuasa AS tentang peranannya membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion antara 2012 dan 2013.

Wanita itu adalah bekas pengarah eksekutif strategi kumpulan 1MDB dan didakwa termasuk dalam lingkaran dekat Jho Low.

Dia juga didakwa menerima dana 1MDB yang diselewengkan dan menjadi sekutu kedua Jho Low yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Kee Kok Thiam, seorang lagi yang didakwa sekutu Jho Low, selepas dia dihantar pulang oleh pihak berkuasa Macau kerana berada di sana melebihi tempoh yang ditetapkan visanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×