Profesional dari luar negara bawa masuk RM10.8 bilion setahun

Profesional dari luar negara bawa masuk RM10.8 bilion setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 450,000 rakyat Malaysia yang masih bekerja di luar sebenarnya secara tidak langsung memberi manfaat kepada negara dengan membantu pertumbuhan ekonomi negara apabila menghantar wang untuk keluarga masing-masing di sini.

Jika mengambil kira jumlah minimum RM2,000 yang dikirim masuk bagi setiap tenaga profesional berkenaan sebulan, keseluruhan tenaga kerja negara itu dianggarkan membawa masuk kira-kira RM900 juta sebulan dan RM10.8 bilion setahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, tenaga kerja yang berkhidmat di luar negara mempunyai pendapatan tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi berbanding bekerja di negara ini.

Justeru, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan mereka mampu membawa wang lebih daripada separuh pendapatan yang diterima terutamanya jika kos kehidupan mereka lebih banyak terlibat di negara ini seperti mereka yang bekerja di Singapura.

Oleh itu, katanya, wang yang dibawa masuk setiap bulan itu menjadi sumber pertumbuhan kerana apa yang penting adalah ia dibelanjakan di negara ini oleh keluarga mereka di Malaysia.

“Kira-kira RM2,000 itu pun sebenarnya tidak banyak (dibandingkan) dengan pekerja asing di Malaysia yang mengeksport atau menghantar wang balik RM80 bilion setahun.

“Jadi konsep aliran keluar atau apa yang dipanggil daya usaha atau kepakaran adalah satu aspek yang ada positifnya asalkan hasil daripada pekerjaan di luar negara di bawa masuk untu menyara keluarga di Malaysia.

“Ini akan meningkatkan pendapatan keseluruhan dan pendapatan di Malaysia disebabkan peningkatan jumlah kapasiti untuk berbelanja bagi keluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, budaya kerja yang mementingkan hierarki dan kekananan yang diamalkan di negara ini antara punca ramai tenaga mahir Malaysia berhijrah ke luar negara.

Ia susulan hanya dua peratus atau 6,368 orang daripada lebih 500,000 rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara menyertai Program Kepulangan Pakar yang dilancarkan hampir 12 tahun lalu.

Berdasarkan statistik, Singapura muncul negara paling ramai pakar dari Malaysia yang dianggarkan sekitar 200,000 orang diikuti Australia dengan 138,363 orang, Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang), selain sekitar 10,000 pakar di beberapa negara berpendapatan tinggi seperti New Zealand, Brunei, China dan Taiwan.

Menurut Barjoyai, Malaysia juga sepatutnya menggalakkan tenaga kerja mahir untuk berkhidmat di luar negara sekiranya ada peluang kerana ia menunjukkan mereka mempunyai pasaran dan nilai kepada negara.

“Malaysia pun sebuah negara yang kecil…penduduk 33 juta orang sahaja, jadi jumlah peluang menjana pendapatan agak terhad, jadi, jika boleh menjana pendapatan di luar negara, maka itu merupakan satu kelebihan.

“Selain aliran duit masuk, kita juga sebenarnya mengeksport satu lagi sumber ekonomi iaitu kepakaran ke luar negara untuk menjana pendapatan bagi negara kita.

“Selalunya yang didebatkan adalah mengapa kepakaran mereka tidak digunakan di dalam negara, tetapi masalahnya peluang yang terhad, jadi apa salahnya kita mengeksport kepakaran itu asalkan hasil daripada pekerjaan di luar negara dibawa masuk untuk menyara keluarga di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, pensyarah ekonomi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, situasi itu juga membolehkan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang nanti dapat membantu memajukan negara.

Beliau berkata, tenaga kerja mahir itu bagaimanapun perlu mempunyai sasaran tempoh masa mereka berkhidmat di luar sebelum pulang kembali ke Malaysia sebagai membalas budi terutamanya apabila ditaja oleh pihak kerajaan.

“Mungkin selepas tiga atau lima tahun di luar negara, maka pulang semula ke Malaysia bantu negara untuk maju. Jangan selama-lamanya di sana sebab itu tidak adil kepada negara,” katanya.

Pada masa sama, Abu Sofian berkata, kerajaan juga perlu memberikan layanan yang setimpal kepada tenaga kerja mahir yang pulang berkhidmat di tanah air.

“Kerajaan kalau boleh jangan bagi gred rendah, bagi gaji yang berpatutan supaya keadaan kehidupan mereka lebih kurang sama dengan pendapatan yang diperoleh semasa di luar negara, baru seronok mereka mahu pulang,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×