PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan menyegerakan peningkatan imbuhan tetap khidmat awam terlebih dahulu sekiranya kekangan kewangan menjadi penghalang kepada cadangan kenaikan gaji.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu perlu dilaksanakan segera sementara menunggu sistem saraan di bawah gaji progresif siap.
“Kerajaan sering menyebut gaji tidak boleh ditingkatkan segera, tetapi boleh meningkatkan pendapatan dengan menambah kenaikan (imbuhan tetap khidmat awam).
“Malah, itu tidak memberi kesan kepada wang pencen nanti. Jadi boleh laksanakan dengan segera supaya ada kelegaan kepada kumpulan terkebawah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, media melaporkan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilapor berkata, CUEPACS diminta memahami kekangan kewangan yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam melaksanakan skim baharu gaji perkhidmatan awam yang tidak boleh dipenuhi segera.
Kongres itu sebelum ini mencadangkan sebanyak lapan perkara untuk dipertimbangkan kerajaan dalam menyemak skim gaji perkhidmatan awam antaranya kesesuaian gaji minimum perkhidmatan awam ialah RM1,800.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, CUEPACS bukan terlalu mendesak malah, tuntutan Cuepacs juga bukan satu tuntutan besar dan ia sudah lama disuarakan.
“Kerajaan perlu faham duka lara penjawat awam dengan gaji minimum hari ini,” katanya. – UTUSAN










