PETALING JAYA: Penggunaan ejen atau orang tengah yang dilantik oleh syarikat penerbangan dalam menguruskan pelawat asing yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) lebih banyak mengundang keburukan daripada kebaikan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khairil Niza Khairuddin berkata, langkah itu boleh mengundang persepsi buruk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekiranya berlaku perkara-perkara tidak diingini walhal ejen yang dilantik tiada kaitan dengan imigresen.
“Jabatan Imigresen hanya menjalankan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang dikuatkuasakan dan mereka boleh mengeluarkan notis NTL kepada mana-mana pelawat asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan di negara ini.
“Selepas daripada itu, adalah menjadi tanggungjawab syarikat penerbangan untuk membawa pelawat-pelawat ini pulang ke negara asal. Tidak kira mereka mempunyai tiket pulang atau tidak, syarikat penerbangan itu yang perlu bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Khairil Niza, siapa yang bertanggungjawab melantik syarikat yang menguruskan pelawat asing yang diberikan NTL ini juga bukan bidang kuasa Jabatan Imigresen.
“Jika syarikat itu ambil kesempatan kenakan bayaran untuk perkhidmatan tertentu, itu juga bukan masalah Jabatan Imigresen.
“Jika mereka tidak mempunyai tiket pulang, tempahan penginapan, pasport yang sah dan bukti pembiayaan mencukupi semasa berada di negara ini untuk Jabatan Imigresen lakukan profiling, sudah pasti mereka boleh dikenakan arahan NTL,’’ jelas beliau. – UTUSAN










