Tolak parti ‘penipu’, mulakan di PRN nanti

Tolak parti ‘penipu’, mulakan di PRN nanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAIMANA yang kini dimaklumi, pilihan raya negeri (PRN) bakal diadakan di enam negeri pada 12 Ogos ini. Dikhabarkan hampir 9.8 juta orang layak menjadi pengundi dalam PRN tersebut dengan kira-kira 2.9 juta orang atau 30 peratus daripada mereka terdiri daripada kalangan rakyat Malaysia berumur di bawah 30 tahun.

PRN sebagaimana juga PRU ialah pentas aksi ahli politik dan sekutu mereka. Kita juga sedia maklum bahawa PRN lazim menjadi medan ahli dan parti politik menabur janji bagi meraih sokongan dan simpati sekali gus mengaut sebanyak mana undi demi memenangi kerusi majoriti dan memastikan kerajaan ‘mereka’ berjaya berdiri.

Yang menyedihkan meskipun tidak memeranjatkan, pada hari sama dengan pemakluman tarikh PRN tersebut, turut dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan perihal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 156 kertas siasatan berprofil tinggi dari 2020 hingga 8 Jun 2023 dengan lebih 60 peratus daripadanya melibatkan ahli politik. Yang turut membimbangkan, kira-kira seminggu sebelum tarikh pengumuman PRN itu, lebih tepat lagi pada awal Julai, tersebar berita perihal kemungkinan amalan rasuah berleluasa dalam kalangan penjawat awam di Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara susulan kes penahanan seorang warga asing di salah satu pintu masuk utama negara, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memang tidak dapat disangkal, bilangan terbanyak ahli politik dan penjawat awam di pelbagai peringkat di negara kita ini ialah orang-orang Islam. Semua itu akhirnya membawa perhatian kita kepada peringatan Nabi Muhammad SAW: “Tanda seorang munafik itu tiga: ketika berbicara, dia berbohong; ketika berjanji, dia mungkir; dan tatkala diberikan amanah, dia khianat.”

Hadis baginda nabi itu dengan beberapa variasinya memang telah acap kali dipetik, baik dalam tulisan mahupun secara lisan. Barangkali dek kekerapan itu, peringatan Nabawi ini akhirnya menjadi penyedap kata dan penghias mata semata-mata, namun kurang berbekas pada akal-budi akibat mati mata hati sehingga yang terjadi hanya sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Namun, kita patut menjadikan amaran nabi itu sebagai intisari agenda utama negara dalam membasmi barah pengkhianatan amanah dalam pelbagai wajah secara menyeluruh lagi lestari.

PENGUNDI MATANG

Sehubungan dengan ini, penelitian yang telah diusahakan oleh Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas hampir lima dekad lampau wajar diketengahkan sebagai panduan teras bagi menjayakan agenda berkenaan. Hasil daripada pengamatannya terhadap hadis berkaitan, beliau berkesimpulan bahawa ketiga-tiga perbuatan keji tersenarai itu sesungguhnya bukan tiga tindakan hina yang berlainan jenis tetapi sebenarnya tiga peringkat kemerosotan pekerti buruk yang sama.

Dalam cerakinan beliau, pengkhianatan amanah merupakan barah berpunca daripada tabiat berbohong yang kemudiannya memburuk menjadi pemungkiran janji. Dengan kata lain, hakikat kemunafikan ialah penipuan membusuk melalui tiga tahap kejatuhan yang dinyatakan secara tepat dan padat oleh junjungan besar SAW. Maka usaha untuk membanteras pengkhianatan amanah perlu merangkumi langkah untuk menghukum pembohongan dan pemungkiran janji secara jelas dari atas hingga bawah, meliputi dewasa dan yang masih muda, sampai bila-bila.

KHIANAT

Sehubungan dengan ahli politik dan pilihan raya, usaha murni yang dimaksudkan itu perlu terhasil dalam bentuk penggubalan akta baharu atau pengubahsuaian bermakna pada akta sedia ada membolehkan ahli atau parti politik yang menipu, mungkir janji atau khianat dijatuhkan hukuman berat dalam tempoh munasabah melalui pendekatan tadbir urus berkesan, mekanisme pendakwaan yang dipercayai dan sistem penghakiman berwibawa.

Malah sekiranya para pengundi matang dan bijaksana, sangat wajar bagi mereka untuk menuntut agar usaha di atas itu diisytiharkan secara terus-terusan oleh setiap ahli dan parti politik sebagai janji pilihan raya masing-masing, baik pada peringkat negeri mahupun persekutuan.

Ini wajar dimulakan dari PRN enam negeri terdekat! – UTUSAN

DR. Mohd. Zaidi Ismail ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×