PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing mempunyai peranan penting sama ada dalam membantu pelupusan hutang peneroka mahupun memulihkan Felda.
Ketika ini, isu berhubung agensi tanah Persekutuan itu cuma dilihat sebagai satu mainan politik secara keseluruhan, sedangkan kedua-dua pemimpin terlibat memberi sumbangan tersendiri dalam pentadbiran mereka.
Sumber Felda memberitahu Utusan Malaysia, Muhyiddin memberi kelebihan kepada peneroka dengan menghapuskan hutang mereka manakala Anwar pula membantu Felda untuk terus kekal ‘bernafas’.
Kata sumber, penghapusan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion pada 2021 itu sememangnya berlaku dan sudah dilaksanakan Felda.
Jelasnya, ia dibuktikan dengan penyata yang sudah dikeluarkan Felda, selain peneroka yang sudah mula dan mampu membayar baki 20 peratus hutang mereka dengan jumlah yang lebih kecil berbanding pelaksanaan pelupusan itu.
“Pelupusan berlaku, tetapi penghapusan itu membebankan Felda sebab apabila hapus hutang peneroka, Felda hilang ‘pendapatan’ kerana banyak perkara Felda dahulukan untuk peneroka.
“Misalnya apabila berlaku tanam semula dan peneroka tidak ada pendapatan, maka Felda beri sara hidup selama tiga tahun, kebiasaannya satu bulan RM1,200 dan itu adalah hutang. Felda juga dahulukan dari segi pembelian baja, racun serta benih dan semua ini hanya dituntut semula daripada peneroka apabila kerja sudah siap.
“Jadi untuk kekalkan Felda yang tidak ada duit, kerajaan pada ketika itu membantu Felda pula melalui penerbitan sukuk. Felda tidak ada pilihan, mahu gerak operasi kena terima, tetapi ada bebanan baharu iaitu kena bayar hutang (sukuk),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kata sumber, sukuk bernilai RM9.9 bilion itu diwujudkan supaya Felda dapat menggunakan pinjaman tersebut untuk mengambil alih semula FGV Holdings Bhd. (FGV) yang berpendapatan besar.
Jelasnya, ini kerana pengambilalihan FGV dapat membantu Felda membayar hutang sukuk dan menambah pendapatan Felda kerana agensi itu dapat menjana keuntungan daripada entiti berkenaan.
“Tetapi strategi tersebut tidak berhasil apabila tidak berjaya ambil alih sepenuhnya kerana (pegangan saham) tidak sampai 90 peratus, jadi Felda kena bayar hutang (sukuk).
“Sebab kalau boleh ambil alih FGV, (Felda) boleh gunakan bayar hutang sukuk kerana boleh dapat (keuntungan daripada FGV) berjumlah antara RM1.5 bilion hingga RM1.7 bilion setahun.
“Jadi apabila tidak berjaya, maka datang Kerajaan Perpaduan cover yang tidak berjaya itu melalui bantuan kerajaan RM1 bilion setahun, maka Felda terselamat,” katanya.
Sebelum ini, isu tentang pelupusan hutang peneroka Felda kini menimbulkan kekeliruan kerana melibatkan percanggahan kenyataan antara dua pemimpin politik.
Saling tuduh menuduh pemimpin kerajaan dan pembangkang telah mencetuskan polemik berhubung kedudukan agensi tanah persekutuan itu terutamanya hutang peneroka.
Anwar dan Muhyiddin masing-masing mempertahankan kenyataan bahawa mereka ‘juara’ dalam membantu warga Felda.
Justeru, sumber berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan memainkan peranan dan sudah mengambil langkah yang terbaik sama ada kepada peneroka mahupun Felda.
“Kalau letak tepi politik, kedua-dua individu itu buat benda yang bagus. Muhyiddin beri kelebihan kepada peneroka, Anwar pula bantu Felda, jadi masing-masing main peranan.
“Buktinya juga ada beberapa kenyataan akhbar yang dibuat terutamanya daripada Tan Sri Abdul Wahid Omar bahawa pelan pemulihan Felda dalam landasan betul, tetapi akhirnya perkara ini jadi (mainan) politik,” jelasnya. – UTUSAN










