PETALING JAYA: Pakar alam sekitar mengingatkan orang ramai terutama yang gemar bermandi-manda di sungai supaya bersedia dengan amalan tiga L sebagai tindakan menyelamatkan diri dengan segera jika ada tanda-tanda berlaku kepala air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer berkata, konsep tiga L yang pertama – lihat atas bermakna perhatikan langit dan jika mendung dan gelap, segera beredar kerana itu petanda hari akan hujan.
Seterusnya kata beliau, lihat bawah iaitu pada warna air, jika semakin keruh atau terdapat sampah sarap, daun-daun atau ranting kayu hanyut serentak, segera tinggalkan kawasan berair.
“Akhir sekali lihat sekeliling, jika tebing sungai semakin cetek, atau jika bongkah batuan dan beting pasir yang terdedah telah tenggelam, maka segera beredar kerana air sungai sedang naik dan arus akan semakin laju dan potensi aliran puing juga tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, maklumat itu perlu didedahkan kepada semua dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan rakyat terhadap bahaya di kawasan berisiko berlaku kepala air.
Beliau berkata demikian berikutan kejadian kepala air yang menghanyutkan sembilan beranak di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.
“Kejadian di Terengganu baru-baru ini mengingatkan kita bahawa kawasan sungai landai juga boleh terkesan dengan kepala air, jika terdapat empangan sementara seperti terdapatnya takungan air,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan mengenai siren amaran yang dipasang di kawasan sungai terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung sama ada sistem tersebut berfungsi atau sebaliknya.
“Maknanya, adakah siren hanya terdapat di bahagian hilir atau bahagian tertentu sungai sahaja yang menyebabkan sistem ini kelak tidak sampai kepada sasaran sebenar,” jelasnya.
Tambanya, terdapat sistem siren amaran yang dipasang cuma pada jarak siren ini tidak diketahui. – UTUSAN











