Pastikan faham landskap politik baharu - Utusan Malaysia

Pastikan faham landskap politik baharu

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BOLEH dikatakan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini menjadi ujian pertama bagi kerajaan perpaduan yang membentuk kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Sama ada keserasian itu benar-benar wujud atau sebaliknya juga bakal dilihat dalam PRN nanti.

Namun, ada pandangan terlalu awal untuk membuat rumusan kerjasama kerajaan perpaduan menerusi PRN, apatah lagi dengan tempoh masa yang tidak sampai setahun.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan ASLINDA NASIR menemu ramah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, DATUK SERI JALALUDDIN ALIAS bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut dibantu jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan jurukamera, ZUID SAMSON.

UTUSAN: Adakah gabungan PH dan BN bakal kekal di Negeri Sembilan?
JALALUDDIN: Pertama, saya menjangkakan konsep kerajaan perpaduan akan disambut baik di peringkat negeri terutama di Negeri Sembilan. Lagipun di sini tiada satu kerusi pun daripada Perikatan Nasional (PN). Justeru, konsep kerajaan perpaduan mampu dijadikan pendekatan politik baharu di Negeri Sembilan.

Namun, apa yang paling penting, kita ada tugas iaitu pertama ialah memastikan pendekatan politik baharu ini difahami dan diterima rakyat Negeri Sembilan daripada pelbagai kaum terutama orang Melayu.

Lagipun sudah banyak sentimen dan persepsi buruk ditonjolkan pihak tertentu supaya orang Melayu marah dengan gabungan (kerajaan perpaduan) yang ada sekarang.

Yang kedua, apabila rakyat dan masyarakat sudah faham tentang kepentingan kerajaan perpaduan, ini dapat memberi manfaat kepada negeri serta rakyat. Maka saya percaya untuk menentukan pilihan, mereka akan buat keputusan dengan memilih ke arah kebaikan kepada mereka.

Adakah gelombang hijau bakal melanda Negeri Sembilan dalam PRN nanti?
Bagi saya, ia satu pendekatan parti politik untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat. Dulu pun BN pernah membawa gelombang biru di Terengganu dan beberapa kawasan. Soalnya, sama ada nak diterima baik atau tidak, itu perkara kedua.

Walau apa pun, saya tidak nampak gelombang hijau boleh memberi kesan kepada sokongan rakyat atau dalam erti kata lain, gelombang biru akan mengatasi gelombang hijau PN.

Sejauh mana Datuk Seri melihat persepsi dan sentimen perkauman cuba dimainkan PN?
Perlu diingat, kita nak tubuhkan kerajaan tidak boleh tumpu kepada satu kaum sahaja. Ini satu pendekatan yang tidak boleh diguna pakai sejak zaman kemerdekaan dulu. Kita tahu negara merdeka dengan gandingan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Ini mesti kita pegang dan menjadi asas kepada pengurusan di peringkat Pusat atau negeri.

Mereka menggunakan pendekatan (perkauman) ini kerana apabila sampai pilihan raya umum (PRU) atau PRN, mereka tidak boleh mendakwa kononnya BN tidak sampaikan apa-apa sumbangan. Ini kerana kita sudah buat pelbagai perkara seperti pembangunan, pendidikan dan ekonomi.

Apabila kita tumbang, PH mentadbir dan mereka juga ada sumbangannya. Jadi di sini, apabila bergabung dua blok (BN-PH), ia menjadi satu peluang yang harus digunakan untuk meneruskan kerjasama agar rakyat mendapat manfaat.

Hubungan UMNO-DAP dijangka menjadi bahan kempen dalam PRN. Sejauh mana boleh beri kesan?
DAP ini antara yang kita tentang suatu masa dahulu sebab pada ketika itu mereka ekstrem dan mahu melihat perkara berkaitan orang Melayu dan UMNO tidak diperjuangkan. Tapi itu dulu.

Perlu diingat, DAP juga mewakili kaum Cina dan setiap parti membawa perbezaan ideologi mengikut suasana dan waktu pada ketika itu. Saya tidak kata DAP berubah secara total. Akan tetapi persefahaman antara BN dan PH sudah boleh diterima pada masa kini.

Kalau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh sampaikan ucapan tegas kepada PH tanpa berselindung, ia satu permulaan baik yang tidak boleh mendatangkan kegusaran kecuali ada agenda tersorok.

Paling penting, kita mahu turun kepada rakyat dan jelaskan. Saya sudah cakap soal berkaitan agama dan bangsa. Mereka boleh terima sebagai satu perjalanan hidup demi rakyat.

Apakah keyakinan Datuk Seri apabila memperkatakan gelombang biru mengatasi gelombang hijau?
Saya punya pandangan ialah berasaskan rekod kita terdahulu. Rakyat sudah boleh terima dan lihat hasil daripada khidmat gelombang biru sebelum ini dan PH selama sepenggal (di Negeri Sembilan). Kedua ialah apa yang kita nak bentangkan kepada rakyat, iaitu soal ekonomi dan pembangunan.

Apakah cukup dengan apa yang kita ada sekarang? Bukanlah saya kata tidak baik. Akan tetapi perubahan perlu ada untuk tempoh 10 ke 15 tahun akan datang. Ini yang wajib dan ditunggu rakyat.

Kita boleh dan akan bentangkan berdasarkan fakta dalam soal infrastruktur, ekonomi dan pembangunan. Lagipun Negeri Sembilan mempunyai potensi menjadi Lembah Klang kedua kerana kedudukannya yang dekat dengan ibu negara.

Jadi, hubungan kedua-dua bandar besar mesti dimanfaatkan. Selain itu, soal kesejahteraan rakyat dan noktahkan kemiskinan ini antara perkara yang perlu ditekankan.

Bagaimana persediaan dan kerjasama jentera BN dan PH?
Sekarang tugas saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri adalah memastikan jentera saya faham landskap politik baharu. Sebab itu saya sudah pusing di 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjelaskan kepada mereka soal kerjasama ini. Kedua, kita nak lihat persediaan jentera supaya semua ada persefahaman tinggi.

Dan ketiga supaya semua jentera UMNO dan BN boleh kita satukan untuk menjadi jentera besar di peringkat Negeri Sembilan.

Apa yang saya boleh sebutkan berdasarkan rumusan saya ialah persediaan dan persefahaman kita berada di peringkat luar biasa. Sekarang, alhamdulillah kita boleh bekerja sebagai satu pasukan besar. Saya juga sudah jelaskan beberapa perkara, antaranya kerusi yang ditandingi BN, jentera akan diketuai BN dan didukung serta disokong jentera PH. Begitu juga sebaliknya.

Persefahaman ini kita wujudkan dan kita buat garis panduan supaya mereka faham tugas dan tanggungjawab dalam PRN ini.

Adakah BN akan memberi fokus kepada 18 kerusi DUN majoriti Melayu?
PN masuk bertanding dan letakkan sasaran di DUN yang ada 65 peratus orang Melayu. Apa tujuan dia? Sebab mereka nampak ada ‘kekuatan’ dengan cuba timbulkan kemarahan orang Melayu terhadap BN.

Jadi, tugas saya ialah jelaskan semua DUN yang majoriti Melayu bahawa pendekatan PN hanya nak dapatkan kuasa dan bukan mahu stabilkan negeri.

Jadi, rakyat ada pilihan sama ada mahu tentukan Negeri Sembilan dalam keadaan yang baik dan maju dalam pelbagai bidang sebagaimana saya katakan atau sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×