PETALING JAYA: SETELAH berpuluh tahun mengerah tenaga, bekerja untuk kehidupan keluarga dan masa hadapan, tiba masa untuk bersara. Pastinya, setiap warga emas mengimpikan kehidupan yang selesa selepas persaraan.
Bagi memenuhi permintaan golongan warga emas yang berkemampuan, Sunway Healthcare baru-baru ini telah melancarkan kediaman Sunway Sanctuary, khusus untuk pesara dan pra-pesara yang aktif agar mereka dapat menikmati penjagaan premium menyeluruh dari segi gaya hidup, kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Sunway Sanctuary merupakan kediaman berservis penuh dengan 235 studio serba lengkap, suite perkhidmatan dengan pilihan satu atau dua bilik tidur yang direka berdasarkan enam teras utama, setiap satu bertujuan menyediakan pengalaman hidup yang luar biasa.
Ini termasuk lokasi yang strategik dalam bandar bersepadu, di mana pelbagai perkhidmatan dan kemudahan boleh didapati dalam jarak berjalan kaki.

Pembangunan itu juga mengutamakan kesejahteraan holistik, dengan tumpuan yang seimbang untuk memupuk minda, badan dan jiwa. Penghuni atau residen boleh menikmati pelbagai pengalaman yang dirancang rapi seperti bengkel rekreasi, lawatan dan sambutan perayaan yang memupuk persahabatan baharu.
Sunway Sanctuary menampilkan kemudahan yang disusunkan khas untuk kecergasan, kesihatan dan pengisian masa lapang, memastikan residen mempunyai segala yang mereka perlukan untuk gaya hidup yang sihat dan aktif.
Kehidupan yang elegan terjamin melalui reka bentuk dalaman menarik yang menekankan keselesaan, keselamatan dan kemudahan akses.
“Matlamat kami adalah untuk menjadi contoh yang unggul untuk memberi keselesaan dan kemewahan bagi kehidupan warga emas yang aktif, dengan tawaran produk penginapan dan perkhidmatan yang cemerlang serta lengkap dengan pelbagai kemudahan, keselamatan dan paling utama, penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi,” kata Presiden Sunway Healthcare, Datuk Lau Beng Long sempena pelancaran Sunway Sanctuary, baru-baru ini.

Sunway Sanctuary dihubungkan terus ke Pusat Perubatan Sunway, menyediakan residen dengan akses mudah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Selain itu, kawasan dengan keluasan 100,000 kaki persegi turut disediakan bagi kemudahan kesihatan dan gaya hidup untuk dinikmati oleh residen.
Ini termasuk kolam renang infiniti air panas masin, dan dek tinjauan dengan pemandangan Sunway City Kuala Lumpur yang menakjubkan, gimnasium terkini untuk penggemar aktiviti kecergasan, teres luar untuk yoga dan meditasi, perpustakaan dengan ruang kerja bersama, bilik permainan, pawagam, bilik karaoke, restoran serta bilik mesyuarat dan bilik majlis untuk acara peribadi atau aktiviti komuniti.
Sunway Sanctuary juga menawarkan perkhidmatan pengangkutan untuk kemudahan residen yang ingin melihat kawasan sekeliling. Selain itu, perkhidmatan pengurusan dan perancangan acara juga disediakan untuk majlis-majlis khas, membolehkan residen menyambut majlis keraian bersama keluarga dan rakan-rakan dengan penuh gaya.

Sebagai tumpuan kepada kesejahteraan holistik, kemudahan ini turut menganjurkan program dalaman di mana setiap residen akan mempunyai akses kepada penyelaras kesihatan peribadi untuk pendekatan yang lebih disasarkan dan disesuaikan dengan gaya hidup mereka.
Pakej kesihatan eksklusif juga ditawarkan kepada warga emas berumur 55 tahun ke atas, termasuk warga Malaysia, ekspatriat dan pelancong asing.
Selain itu, Sunway Sanctuary juga menempatkan sebuah pusat kesihatan dengan kakitangan yang berkelayakan untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan asas, ujian darah, pemantauan tetap dan nasihat pemakanan dan diet. Bagi kes yang lebih serius, residen akan dirujuk ke Pusat Perubatan Sunway yang terletak bersebelahan Sunway Sanctuary.
Yang pasti, Sunway Sanctuary merupakan jawapan kepada permintaan warga emas yang berkemampuan dan inginkan kediaman mewah yang unik untuk mereka menikmati hari-hari persaraan dengan penuh bermakna. – UTUSAN










