PETALING JAYA: Isu tentang pelupusan hutang peneroka Felda kini menimbulkan kekeliruan kerana melibatkan percanggahan kenyataan antara dua pemimpin politik.
Saling tuduh menuduh pemimpin kerajaan dan pembangkang telah mencetuskan polemik berhubung kedudukan agensi tanah persekutuan itu terutamanya hutang peneroka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap sempena Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang Jumaat lalu menjelaskan, beliau selaku Menteri Kewangan telah mengambil langkah menstruktur semula pinjaman Felda bagi membantu memperbaiki aliran tunai dan memberi manfaat besar kepada kebajikan dan kesejahteraan peneroka.
Usaha yang dibuat menerusi perjanjian melibatkan jaminan kerajaan itu akan dapat mengurangkan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion serta memberi suntikan semangat kepada generasi baharu peneroka Felda.
Malah, dalam satu program di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, semalam, Anwar sekali lagi menyelar kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh beliau berbohong mengenai pelupusan hutang peneroka Felda seperti diumumnya.
Anwar mempersoalkan bagaimana bekas Perdana Menteri itu menyatakan telah selesai melakukan pelupusan hutang berkenaan pada 2021, sedangkan beliau baru sahaja menandatangani perkara itu pada akhir bulan lalu.
Dalam kenyataannya sebelum ini, Anwar menjelaskan, langkah itu tidak dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu walaupun dakwaan itu dinafikan Muhyiddin, kelmarin.
Menurut Muhyiddin, pelupusan hutang peneroka dibuat pada 2021, sekali gus menyifatkan tuduhan bahawa beliau tidak melaksanakan perkara tersebut ketika pentadbirannya pada masa itu adalah tidak benar.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, kerajaan sekarang tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8 bilion, yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin pada 2021 kerana penghapusan hutang itu secara berterusan memberi impak besar terhadap aliran tunai entiti berkenaan.
Jelas beliau, kutipan balik baki hutang atau pinjaman yang dikeluarkan sehingga kini perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan Felda untuk kelangsungan organisasi serta kebajikan warga peneroka sendiri.
Ahli Parlimen Pengerang itu turut menegaskan, kutipan hutang peneroka adalah salah satu sumber pendapatan Felda yang penting, bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun ini.
Pada Julai 2021, Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri kelapan mengumumkan kerajaan secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Beliau dilaporkan berkata, pelupusan itu akan dilaksanakan menerusi inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat, terutama bagi generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah berkenaan dijayakan.
Muhyiddin dalam kenyataan semalam mendakwa telah mengotakan janjinya dan pelupusan hutang peneroka disahkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan kekangan aliran tunai Felda, kerajaan tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan.
Menurut Muhyiddin, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh juga sudah membuat kenyataan 24 Februari lalu bahawa pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion sudah selesai dilaksanakan pada 2021.
Sementara itu, di Sintok semalam, Anwar mempersoalkan bagaimana Muhyiddin boleh menyatakan telah selesai melakukan pelupusan berkenaan pada 2021, sedangkan beliau baru sahaja menandatangani perkara itu pada akhir bulan lalu.
“Hari ini mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membuat kenyataan Perdana Menteri berbohong kerana perkara ini telah selesai sejak tahun 2021. Inilah masalah bila ada kuasa nak cari kontrak untuk anak pinak.
“Sekarang kamu kata dah selesai, saya baru tandatangan akhir Jun. Jadi kamu dah selesai tahun 2021 bagaimana,” katanya pada Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.
Kelmarin Muhyiddin menyifatkan tuduhan Anwar yang mendakwa beliau tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda sebagai satu pembohongan besar. – UTUSAN










