Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan: 15 tahun terlalu lama

Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan: 15 tahun terlalu lama

Warga asing berhutang bil perubatan hospital kerajaan RM40 juta. -Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangka masa 15 tahun untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan disifatkan terlalu lama dan dibimbangi akan mengakibatkan sistem kesihatan negara terbeban dan berdepan kemudaratan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Muruga Raj Rajathura berkata, apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh masa tersebut terma­suk perubahan dalam kepemimpinan negara yang akan memberi kesan kepada dasar di Kementerian Kesihatan.

Menurut beliau, Malaysia sedang menuju kepada negara tua yang menjadikan keper­luan penjagaan kesihatan penduduk meningkat dengan drastik dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

“Jika 10 tahun pun ia sudah terlalu lama. Kita perlu bertindak dengan cepat bagi mena­ngani isu ini, ia akan melibatkan pengambilan ramai kakitangan dan latihan penjagaan kesihatan. Kita juga kekura­ngan tenaga pakar di seluruh bidang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, kerajaan tetap akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang dituntut banyak pihak walaupun perkara tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Za­liha Mustafa berkata, pihak­nya menyasarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan boleh ditubuhkan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Menurut beliau, bagi merealisasikan penubuhannya, Kementerian Kesihatan sedang meneliti model terbaik berdasarkan negara-negara lain untuk disesuaikan dengan situasi di Malaysia termasuk melihat dari sudut perunda­ngan atau pentadbiran.

Dr. Muruga berkata, KKM perlu mengutamakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan segera mewujudkannya sebagai langkah mereformasi sistem kesihatan negara.

Jelasnya, antara masalah utama dalam sistem kesihatan negara adalah disebabkan kekurangan tenaga kerja yang mana boleh diselesaikan dengan penubuhan suruhanjaya tersebut.

“Apa yang penting adalah suruhanjaya ini dapat memenuhi tujuan penubuhannya, perlu diberi kuasa untuk membuat keputusan berke­naan sumber tenaga kerja, logistik dan juga kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×