9.7 juta pilih kerajaan enam negeri 12 Ogos

9.7 juta pilih kerajaan enam negeri 12 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perubahan tampuk kepimpinan kerajaan di enam negeri bakal ditentukan oleh 9,773,571 pengundi yang akan memilih wakil rakyat pilihan masing-masing pada 12 Ogos ini.

Jumlah itu meliputi 2,831,025 pengundi muda bawah 30 tahun dengan 661,906 orang daripadanya adalah dalam kalangan umur 18 hingga 20 tahun.

Mereka bakal mengundi di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 kerusi DUN Kelantan, 32 kerusi DUN Terengganu, 40 kerusi DUN Pulau Pinang, 56 kerusi DUN Selangor dan 36 kerusi DUN Ne­geri Sembilan.

Tempoh 14 hari berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai (Sabtu) sehingga 11.59 malam, 11 Ogos (Jumaat) akan menjadi medan parti-parti politik bertanding selepas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) memberi bayangan untuk menguasai dua negeri pembangkang.

Selangor menyaksikan jumlah pemilih tertinggi iaitu 3,747,057 orang, diikuti Kedah 1,585,085 orang; Kelantan 1,411,912 orang; Pulau Pinang 1,234,198 orang; manakala dua negeri bawah sejuta pemilih iaitu Terengganu 930,894 orang dan Negeri Sembilan 864,425 orang dengan keseluruhan pengundi wanita lebih ramai meliputi 50.17 peratus atau 4,935,937 orang.

Sentimen pengundi dalam kalangan umur 30 hingga 59 tahun wajar diambil kira parti-parti politik sama ada gabungan Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana mereka adalah kumpulan paling ramai meliputi 5,240,304 orang selain 1,702,242 orang dalam kalangan warga emas 60 tahun ke atas termasuk 28,991 pengundi 90 tahun ke atas.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas SPR semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah pemilih itu meliputi 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 tentera dan pasangan, 47,728 polis serta pasangan polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 orang pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Menurut beliau, pelaksa­naan PRN kali ini menelan anggaran belanja sebanyak RM420 juta melibatkan 3,450 pusat mengundi dengan 17,425 saluran mengundi diguna pakai bagi proses pengundian.

Jelasnya, seramai 153,760 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRU DUN Ke-15 itu, selain 245 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 740 Penolong Pegawai Pengurus.

“Bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 252 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

“Sebanyak 173 pusat penamaan calon (PPC) dan 186 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan,” katanya.

SPR menetapkan hari mengundi pada 12 Ogos ini, manakala hari penamaan calon pada 29 Julai dan hari pengundian awal pada 8 Ogos dengan proses semakan maklumat pengundian boleh dibuat mulai Isnin ini melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×