Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan tetap ditubuh - Utusan Malaysia

Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan tetap ditubuh

parlimen
DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tetap akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang dituntut banyak pihak walaupun perkara tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan pada sidang Parlimen baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kementerian menyasarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan boleh ditubuhkan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Menurut beliau, bagi merealisasikan penubuhannya, Kementerian Kesihatan kini dalam proses meneliti model terbaik dan sesuai berdasarkan negara-negara lain untuk disesuaikan dengan situasi di Malaysia termasuk melihat dari sudut perundangan atau pentadbiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kertas Putih tersebut sebenarnya kertas konsep dan sepanjang tempoh 15 tahun itu, kerajaan akan mencari elemen ke arah menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan. Perkara tersebut sudah dibincang di peringkat kementerian.

“Kementerian perlu kaji banyak model untuk bentuk suruhanjaya dan jika ada yang sesuai dengan negara kita, kita ikut. Sebab itu semasa pembentangan saya di Dewan Rakyat sebelum ini saya sebutkan ‘badan pemantau’ dan badan tersebut sebenarnya akan memantau perjalanan untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dalam tempoh 15 tahun akan datang,” kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Antara yang turut menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut ialah kumpulan Hartal Doktor Kontrak, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan yang juga pakar kardiotorasik, Dr. Lee Boon Chye.

BERBINCANG

Kata Dr. Zaliha, bagi mencapai penubuhan suruhanjaya, kementerian juga sudah berbincang dan mendapatkan pandangan pakar-pakar perubatan dan pemegang taruh untuk menentukan model yang terbaik bagi mereformasi sistem kesihatan negara secara keseluruhan.

Sementara itu, Boon Chye berkata, penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan adalah hala tuju baik kerajaan kerana entiti itu adalah unik dan berbeza dengan perkhidmatan kerajaan lain dari segi sumber manusia dan kepakaran.

Sebagai contoh, menurut beliau, sekiranya pelantikan kakitangan Kementerian Kesihatan terus diselia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ia akan membuatkan isu seperti emolumen bagi kakitangan kementerian yang lebih terhad.

“Kalau ikut SPA dan JPA sahaja susah, sebab perlu accross the board. Kalau mahu gaji doktor naik, maka gaji jurutera, peguam dan lain-lain juga perlu naik. Jadi, terpulang kepada kerajaan model apa yang dicadang dalam suruhanjaya yang sedang dibangunkan dari segi penguatkuasaan dan pentadbirannya.

“Perlu diingat, penubuhan suruhanjaya bukan mudah, ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, dibawa ke Parlimen dan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat baru boleh diluluskan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar meragui rancangan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan lebih-lebih lagi apabila perkara itu tidak dinyatakan dalam Kertas Putih Kesihatan.

Malah beliau, menyifatkan sasaran penubuhan suruhanjaya dalam tempoh 15 tahun sebagai ‘janji politik’ kerajaan perpaduan.

BERTAHAN

“Tempoh 15 tahun terlalu panjang, bolehkah kerajaan perpaduan bertahan selama itu, manakala Menteri Kesihatan juga berisiko bertukar-tukar dasar.

“Kalau mahu buat 15 tahun, ini hanya janji politik. Tiga tahun pun sudah cukup lama. Saya sudah hampir 40 tahun dalam bidang perubatan, banyak situasi saya telah saksikan. Kalau benar mahu tubuhkan, sudah pasti ia tertulis dalam dokumen rasmi, barulah orang ramai tahu komitmen kerajaan,” katanya.

Selain itu, Dr. Zainal berkata, penubuhan suruhanjaya itu bukan mudah kerana melibatkan perbelanjaan besar dan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan selain latihan profesional yang memakan masa.

“Bagaimanapun, jika kerajaan ada kesanggupan dan komitmen menubuhkannya, saya tetap sokong kerana ini melibatkan reformasi kesihatan negara, terutama dari segi sumber manusia iaitu doktor kontrak dan pakar perubatan,” katanya.

Pada 15 Jun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen menerusi undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Parlimen Ke-15.

Penubuhan suruhanjaya itu antaranya bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak di dalam Kementerian Kesihatan, membantu perkembangan kerjaya mereka dalam bidang perubatan seterusnya menjadi pakar perubatan, menumpukan kebajikan doktor serta menangani isu kekurangan doktor-doktor pakar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini