GLOBALISASI bagi aktiviti ekonomi dan kebudayaan tanpa batasan sempadan geografi perlu diharungi dan diuruskan dengan bijaksana supaya dapat mengekalkan kemakmuran dan meneruskan agenda pembangunan sesebuah negara. Globalisasi membolehkan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang memperluaskan aktiviti ekonomi di antara dua negara atau dalam kalangan negara-negara ahli untuk menerima akses berkeutamaan di dalam suatu kawasan bebas dagang berbanding negara bukan ahli.
Malaysia menandatangani dan menguatkuasakan FTA untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan membantu menggalakkan pelaburan tempatan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Merujuk kepada laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Malaysia menandatangani 16 FTA merangkumi tujuh perjanjian bilateral dan perjanjian serantau dari 2006 hingga 2022.
Salah satu daripada 16 FTA ditandatangani Malaysia adalah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berkuat kuasa 29 November 2022. Menurut laporan PricewaterhouseCoopers, negara-negara ahli CPTPP menyumbang kepada 29 peratus nilai eksport Malaysia dan 24.4 peratus nilai import Malaysia. Dengan menyertai CPTPP, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka meningkat kepada AS$56.5 bilion dari 2021 hingga 2030 dengan pertambahan pelaburan sebanyak AS$112.3 bilion atau meningkat kepada 1.9 peratus pada 2030.
CPTPP mengandungi 10 seksyen mengenai tawaran akses pasaran perolehan kerajaan kepada 11 negara ahli yang telah meratifikasi perkara tersebut iaitu Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Serentak dengan pelaksanaan CPTPP, Kementerian Kewangan melaksanakan pindaan yang signifikan ke atas Pekeliling Perbendaharaan berkaitan Perolehan Kerajaan melibatkan pelaksanaan CPTPP berkuat kuasa pada tarikh sama, iaitu 29 November 2022.
Pindaan ini termasuklah senarai 26 kementerian/jabatan persekutuan serta empat badan berkanun persekutuan yang tertakluk kepada CPTPP. Pada masa ini, had nilai ambang perolehan tertakluk CPTPP di peringkat kementerian/jabatan persekutuan bagi perolehan bekalan adalah RM8.85 juta, perolehan perkhidmatan RM11.8 juta dan perolehan kerja RM371.7 juta. Had nilai ambang perolehan tertakluk CPTPP di peringkat badan berkanun persekutuan pula adalah RM11.8 juta bagi perolehan bekalan dan perkhidmatan serta RM371.7 juta bagi perolehan kerja. Had nilai perolehan tertakluk CPTPP ini bergantung kepada nilai special drawing rights (SDR) yang ditubuhkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan akan dikemas kini mengikut tempoh peralihan ditetapkan dari semasa ke semasa.
DILAYAN SAMA RATA
Semua perolehan bekalan adalah tertakluk kepada CPTPP kecuali beberapa item seperti produk makanan tertentu, bekalan tenaga elektrik dan air mentah. Bagi perolehan perkhidmatan pula, terdapat banyak perkhidmatan yang tertakluk kepada CPTPP seperti perkhidmatan perunding, perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembersihan bangunan dan penyelenggaraan/pembaikan kenderaan. Semua perolehan kerja pula adalah tertakluk kepada CPTPP kecuali perkhidmatan pengerukan dan cerun.
Terdapat beberapa pengecualian tetap Malaysia dan pengecualian khusus kementerian daripada perolehan tertakluk CPTPP. Contohnya, pengedaran input untuk pengeluaran produk agromakanan dalam negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta perolehan berkaitan Program Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Malaysia turut diberikan tempoh peralihan selama tiga tahun untuk melaksanakan tatacara semakan domestik (DRP) dan lima tahun untuk melaksanakan mekanisme penyelesaian pertikaian (DSM). Dasar keutamaan kepada syarikat bumiputera boleh terus dipraktikkan dalam perolehan kerajaan. Bagi perolehan tertakluk CPTPP, Malaysia berhak menentukan tafsiran syarikat bumiputera.
Dengan pelaksanaan CPTPP, terdapat beberapa pembaharuan yang telah dilaksanakan dalam proses perolehan kerajaan berdasarkan standard antarabangsa. Antara pembaharuan tersebut adalah mewujudkan proses debriefing tender kerajaan, iaitu penjelasan kepada petender yang gagal sekiranya diminta. Justeru, proses perolehan kerajaan perlu dilaksanakan dengan lebih telus dan penilaian tender dilaksanakan secara lebih objektif dan sistematik berdasarkan prinsip-prinsip sedia ada.
Syarikat asing dari negara CPTPP perlu dilayan sama rata seperti syarikat tempatan dalam perolehan kerajaan kini. Sehubungan itu, syarikat tempatan perlu merangka dan menyusun strategi bagi menghadapi saingan daripada syarikat asing dalam kalangan negara CPTPP di tanah air sendiri. Langkah pertama yang perlu difikirkan adalah bagi meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan masing-masing supaya bertaraf antarabangsa dan mampu bersaing dengan syarikat asing dalam kalangan negara CPTPP.
Dari segi timbal balasnya, syarikat tempatan mempunyai akses yang lebih luas bagi mendapatkan sumber bekalan dengan harga lebih rendah setelah duti import dikurangkan ataupun dihapuskan di bawah CPTPP.
Justeru, syarikat tempatan boleh menawarkan harga yang lebih kompetitif dalam perolehan kerajaan khususnya, dan juga dalam pasaran tempatan amnya. Selain itu, syarikat tempatan berpeluang untuk meneroka dan bersaing di pasaran baharu yang lebih meluas dalam kalangan negara-negara ahli CPTPP. Dengan ini, syarikat tempatan berpotensi untuk menjana pulangan pelaburan yang lebih tinggi dan mendapat perkongsian pengetahuan serta teknologi baharu dari negara-negara tersebut. – UTUSAN
PENULIS ialah Perunding Latihan Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi & Kewangan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










