“SAYA menantikan soalan dan pendapat semua pihak dalam sesi santai dan penuh harmoni bagi meraikan perbezaan serta pandangan.” Itu hantaran ringkas di Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempelawa rakyat terutama golongan muda menyertai sesi Temu Anwar.
Melihat kemeriahan sambutan, sorakan dan tepukan gemuruh daripada anak muda di setiap lokasi Temu Anwar, ia memberi indikasi jelas bahawa golongan itu sememangnya cukup teruja dan menghargai ruang masa yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk duduk bersama-sama di sebalik jadual harian yang padat bagi mendengar isi hati mereka.
Antara lokasi-lokasi penganjuran program Temu Anwar di institusi pengajian tinggi adalah Kolej Vokasional Langkawi (24 Mei); Universiti Malaysia Sabah (31 Mei); Universiti Sains Malaysia (11 Jun); Universiti Malaysia Kelantan (18 Jun) dan Universiti Sains Islam Malaysia (24 Jun).
Bagi saya, kesungguhan Perdana Menteri mencari masa dan berani berhadapan dengan anak muda dalam program seumpama ini menonjolkan satu teladan yang baik kepada para pemimpin lain – carilah masa untuk mendekati dan mendengar suara anak muda di pelbagai peringkat. Anak muda merupakan pemimpin masa hadapan yang bakal mencorak hala tuju negara nanti.
Justeru, dalam proses membentuk anak muda menjadi pemimpin, terdapat keperluan kepada pemimpin sedia ada untuk sentiasa attach dengan mereka. Proses ini tidak semestinya dijumudkan hanya berlaku dengan penglibatan anak muda dalam parti politik semata-mata, medannya lebih luas daripada itu.
Membuka ruang untuk generasi muda melontar pandangan, idea mahupun kritikan kepada dasar dan tindakan semasa kerajaan juga merupakan salah satu daripada proses tersebut. Apabila golongan muda khususnya yang berada di universiti melihat bahawa setiap pandangan, idea dan kritikan yang mereka utarakan diambil cakna oleh kerajaan, ini merupakan suatu bentuk didikan dan pengajaran juga sebenarnya kepada mereka.
RUNGUTAN
Didikannya apa? Kelak apabila menjadi pemimpin di masa depan, dengarlah segala keluh kesah rakyat hatta sekecil rungutan sekalipun kerana itulah sebahagian daripada tugas seorang pemimpin. Bukan dipekakkan telinga untuk mahu mendengar yang enak-enak dan indah-indah sahaja sehingga gagal berdiri dan berpijak di bumi nyata untuk melihat dan menyedari realiti sebenar yang membelenggu rakyat di bawah.
Mahasiswa selaku anak muda terpelajar yang berada di universiti, ambil peluang bahawa di sinilah tempat terbaik untuk menyubur idealisme dan kepimpinan mereka dari segenap segi. Ini kerana di universiti subur di dalamnya dengan budaya keilmuan, bermukim di situ kumpulan akademia dengan ketinggian ilmu tersohor dan para pentadbir yang berpengalaman.
Tidak hanya idealisme dan kepimpinan disuburkan, alam kampus menjadi tempat untuk melahirkan anak muda yang punyai karamah insaniah yang tinggi kerana golongan seperti inilah yang watan perlu dan dahagakan di kemudian hari sebagai nurani kepada rakyat dan jurubicara umat.
Kerana itu, Perdana Menteri dalam beberapa program beliau di universiti kerap melontarkan buah fikir bahawa universiti harus menjadi tempat di mana pelajar boleh berekspresi secara bebas tanpa suara mereka disekat oleh mana-mana pihak. Universiti mesti menjadi tempat untuk pelajar menuntut ilmu dalam persekitaran yang membolehkan mereka berfikir dan berkembang secara intelek.
Melalui pendekatan madani yang dibawa oleh kerajaan, saya meyakini bahawa anak muda akan diberi dan dibuka ruang yang lebih besar untuk menjadi penggerak penting dalam pembangunan, politik dan ekonomi. Generasi lama yang sudah makan lebih garam boleh membantu anak-anak muda ini mencorakkan masa depan negara dengan pengalaman hebat yang sudah mereka tempuh. Dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semakin pesat, perubahan sosioekonomi, taraf hidup dan pendidikan lebih baik, negara tidak boleh lagi bergerak dengan gaya lama yang sudah kurang relevan. – UTUSAN
Penulis ialah Penolong Pendaftar Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (Pragmatis).










