PM dedah salah guna kuasa di JPN

PM dedah salah guna kuasa di JPN

ANWAR Ibrahim ketika hadir dalam majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bulan Julai di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas isu rasuah yang didakwa melibatkan Jabatan Imigresen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan berlaku salah guna kuasa berlaku di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Perbuatan salah guna kuasa itu kata Perdana Menteri melibatkan proses mendapatkan sijil warganegara dalam kalangan mereka yang layak tetapi dikenakan bayaran tertentu sebelum memperoleh sijil kewarganegaraan.

Sehubungan itu, kata Anwar, Jabatan Imigresen dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah serta salah guna kuasa.

Beliau bagaimanapun berkata, hal itu berlaku apabila terdapat kumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan lama termasuk Jabatan Imigresen berhubung sistem pengoperasian di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang memerlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak.

“Tetapi jumlah itu terlalu kecil, namun harus ada tindakan keras dan tegas kalau tidak ia merosakkan seluruh imej pentadbiran sama ada pimpinan yang bicara tetapi tidak mampu mengamalkannya atau imej umum.

“Maka tidak wajar kita memberi gambaran persepsi umum bahawa ada kerosakan dalam imigresen.

“Sebab itu saya pergi dengan merumuskan untuk mempertahan integriti dan kewibawaan Jabatan imigresen keseluruhannya tetapi masih menekankan supaya beberapa kelompok kecil yang masih merasa selesa cara lama harus bertindak segera dan keras kerana perkara yang berlaku menjejaskan kerjaya kita, imej jabatan penjawat awam dan negara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bulan Julai, di sini semalam.

Dalam pada itu, Anwar yang mengadakan tinjauan ke KLIA kelmarin turut kesal apabila hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di Terminal 1 yang berfungsi.

Menurut beliau, masalah tersebut dikatakan berlarutan bertahun lamanya tetapi tidak diatasi.

“Kebetulan saya Menteri Kewangan dan Kastam di bawah tanggungjawab saya tetapi takkan hendak tunggu menteri turun baru tahu yang mana rosak?” soalnya.

Pada masa sama beliau menegaskan, kelemahan penyampaian maklumat di peringkat bawahan kepada pihak atas perlu diperbaiki dan tanggungjawab pegawai atasan untuk turun ke bawah melihat kelemahan yang boleh ditambah baik dan bukannya sekadar mencari salah atau mengecam apatah lagi memberi gambaran secara umum.

“Hal-hal sebegini adakah (perlu) pegawai di situ dipersalah? Mungkin dia lapor tetapi kelemahan ini perlu diperbaiki untuk perkhidmatan yang baik,” katanya.

Jelas Anwar, kelulusan segera boleh dibuat sekiranya kos mesin pengimbas tersebut sekitar berapa juta ringgit.

“Saya percaya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat semata-mata kerana saya memberi kelulusan segera.

“Keadaan itu mendesak. Mesin pengimbas rosak. Bayangkan tujuh buah sudah lama rosak sejak beberapa tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×