MEKAH: Jemaah haji dinasihatkan menjaga nama baik Tabung Haji (TH) dengan mematuhi peraturan negara Arab Saudi supaya tidak membawa barangan dilarang dan berbahaya terutama air zamzam ketika penerbangan pulang ke tanah air.
Pegawai Operasi Maktab, Mohd. Sawal Abong berkata, Arab Saudi mempunyai mesin pengimbas terbaik di dunia yang dapat mengesan sekiranya terdapat cubaan menyembunyikan air zamzam di dalam bagasi.
Menurut beliau, pelbagai taktik dikesan sebelum ini seperti membalutnya dengan kertas aluminium, baju dan lain-lain tetapi semua gagal.
“Antara sebab dilarang berkaitan dengan keselamatan. Kita akan membekalkan setiap jemaah dengan lima liter air zamzam apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jadi jangan risau,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mohd. Sawal, jika ada air zamzam, pihak berkuasa akan memotong kunci bagasi untuk mengeluarkannya.
Terdahulu, Mohd. Sawal memantau proses penghantaran bagasi 284 jemaah KT01 di Abraj Al-Janadriyah di sini yang akan pulang menaiki penerbangan pertama ke KLIA pukul 7.15 pagi Khamis ini.
BAGASI
Katanya, setiap jemaah hanya dibenarkan membawa bagasi tidak melebihi 30 kilogram termasuk kerusi roda, tongkat dan kerusi duduk.
Menurut Sawal, bagasi itu boleh dituntut di KLIA atau di lapangan terbang negeri masing-masing seperti Pulau Pinang, Kedah, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Penghantaran pulang berterusan sehingga 16 Julai ini melibatkan 49 penerbangan dari Jeddah. Jemaah di Madinah akan pulang dari sana,” katanya.
Sementara itu, seorang jemaah, Abdul Rahim Saleh, 60, berkata, dia gembira dalam sedih hendak meninggalkan Tanah Suci, namun rasa rindu kepada anak dan isteri membuatkannya nekad untuk pulang selepas lebih 40 hari terpisah.
“Saya beli buah kurma, tin, sejadah, serban, cincin dan lain-lain untuk diberi kepada ahli keluarga dan kenalan.
“Balik ini saya hendak makan durian dan isteri telah beli siap-siap. Saya ada kebun tapi baru hendak belajar berbuah,” katanya dari Alor Setar, Kedah.
Menurut Abdul Rahim, isterinya, Rogayah Razali, 40-an, tidak bersamanya mengerjakan haji kerana menjaga lima anak termasuk yang bongsu berusia tujuh tahun.
Bagi ahli terapi di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Farah Samsu Rahman, 35, pula, dia teruja apabila menjadi kumpulan pertama pulang ke tanah air.
“Saya rindu kepada dua anak berusia empat dan tujuh tahun yang dijaga oleh ibu, Marziah
Sulaiman, 63. Hari-hari saya buat panggilan video untuk bercakap dengan mereka dan ada kalanya mereka merajuk kerana lama ditinggalkan.
“Saya belikan seperti patung unta, coklat, jubah, sejadah dan minyak wangi,”
katanya.- UTUSAN











