KEMBOJA: Penduduk Melayu Champa yang kebanyakan berpendapatan kurang RM500 sebulan tidak mampu membeli seekor lembu yang berharga RM2,500 hingga RM3,000 untuk ibadah korban setiap kali tiba Hari Raya Aidiladha.
Walaupun dianggap murah oleh umat Islam negara ini, tetapi bagi penduduk Islam di Kemboja mereka tidak mampu membeli lembu untuk turut serta melakukan ibadah korban.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Imam Masjid Diyauttin Kampung Chimaan, Rumly Yusof, 41, berkata, penduduk Melayu di sini ramai bekerja sebagai buruh, berniaga kecil-kecilan dan bertani yang mendapat pendapatan cukup untuk membeli barang keperluan dapur.
“Ketika Hari Raya Aidilfitri, Mei lalu dan Hari Raya Aidiladha kebanyakan penduduk Islam di sini termasuk daerah lain tidak mampu membeli daging lembu untuk juadah keluarga dan tetamu kerana harganya mahal, iaitu RM35 atau 32,180.05 Riel Kemboja (KHR) untuk sekilogram.
“Mana mampu penduduk di sini hendak membeli lembu untuk majlis korban kerana rata-rata kami hidup susah yang cuma memperoleh pendapatan bulanan tidak lebih RM500 dan di bawah kategori paras kemiskinan,” katanya di Kampung Chimaan, daerah Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom kira-kira 400 kilometer dengan Phnom Penh.
KORBAN
Rumly yang juga ketua mewakili tujuh kampung di daerah tersebut semalam menguruskan majlis korban membabitkan tujuh ekor lembu. Lembuh-lembu tersebut disumbangkan oleh dermawan dari Jerantut, Pahang dalam siri lawatan menyumbangkan ternakan untuk masyarakat Islam Melayu Champa di Kampung Chimaan dan Kampung Prasit daerah Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom Kemboja.
Bercakap lanjut Rumly berkata, sumbangan menggembirakan 300 penduduk Melayu Champa yang miskin di dua buah kampung tersebut.
Sementara itu, dermawan dari Jerantut, Abdul Rafiq Fateh Mohamad, 63, berkata, seperti tahun lalu, dia dan tiga rakannya menyumbangkan 15 ekor lembu untuk majlis korban iaitu tujuh ekor di Kemboja dan lapan ekor di Vietnam.
“Tujuh ekor lembu, kita sumbangkan kepada pengurusan masjid Kampung Chimaan dan Kampung Prasit diuruskan oleh ketua masyarakat di sini untuk disembelih serta pengagihan daging korban kepada penduduk asnaf, manakala lapan ekor lagi disumbangkan kepada penduduk Islam menerusi pengurusan masjid di lapan buah kampung pedalaman Wilayah Tay Ninh, Vietnam.
“Kampung Chimaan dan beberapa buah penempatan Melayu Islam Champa, daerah Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom, Kemboja menjadi destinasi amal jariah kami dari Jerantut untuk mengadakan majlis korban sempena Aidiladha sejak beberapa tahun lalu kerana masyarakat di sini amat perlukan bantuan lantaran kehidupan mereka yang amat susah,” katanya. – UTUSAN











