Pemilik kecewa, rumah bakal diduduki ‘cacat’

Pemilik kecewa, rumah bakal diduduki ‘cacat’

MAZURA Abdul Rahim menunjukkan kesan tompokan yang kelihatan di siling ekoran kebocoran pada tangki air rumah baharunya di sebuah taman perumahan mampu milik di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Sekumpulan penduduk di taman perumahan mampu milik di sini, menzahirkan rasa kecewa apabila rumah baharu yang bakal diduduki mereka rosak sehingga 70 peratus.

Seorang pembeli, Mazura Abdul Rahim, 38, berkata, dia dan suaminya, Azman Abu Bakar, 36, terkejut selepas mendapati rumah pertama mereka itu banyak kecacatan di bahagian dalam dan luar seperti rumah yang pernah diduduki atau subsale.

“Kami dapat kunci daripada pemaju April lalu. Namun, kegirangan bertukar kecewa selepas mendapati sebahagian besar rumah mengalami kerosakan yang agak teruk antaranya paip bocor, banyak rekahan serta kerja-kerja akhir yang tidak mengikuti spesifikasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, impian menduduki rumah ini sebelum Hari Raya Aidiladha terpaksa dilupakan memandangkan perlu menunggu pihak pemaju melakukan kerja pembaikan yang sudah tentunya mengambil masa,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini semalam.

Dia yang merupakan pegawai bank berkata, aduan sudah dikemukakan kepada pemaju sebaik sahaja menghantar borang kecacatan rumah awal Jun lalu, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

“Tindakan sambil lewa pemaju memberi tekanan kepada kami dari segi kewangan kerana terpaksa menanggung dua kali bayaran sewa rumah dan bayaran rumah baharu ini selain terikat dengan komitmen lain,” katanya.

Seorang lagi pemilik, Othman Awang, 61, berkata, pihaknya kesal dengan sikap acuh tidak acuh pemaju dalam melakukan kerja pembinaan rumah yang dilihat seperti melepaskan batok di tangga.

“Perkara asas seperti peti surat pun tiada. Ini belum termasuk kesan-kesan rekahan dan kebocoran paip dalam dinding. Longkang belakang rumah pun tiada. Risau kalau tiba musim hujan, mendapan tanah boleh berlaku,” katanya yang merupakan pesara swasta.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika ditemui berkata, pihaknya akan membawa isu penduduk setempat di situ ke peringkat atasan dalam masa terdekat supaya penyelesaian harmoni dapat dicapai. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×