Peratusan keluar mengundi PRN dijangka rendah

Peratusan keluar mengundi PRN dijangka rendah

Peratus keluar mengundi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dijangka tidak tinggi seperti pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka rendah dalam lingkungan 60 peratus berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan 74.70 peratus atau bersamaan 15 juta pemilih.

Situasi itu mungkin mengulangi empat PRN iaitu di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini yang pernah mencatatkan jumlah keluar mengundi sekitar 54.92 dan 66.61 peratus kerana beberapa faktor termasuk sentimen pengundi menyifatkan pilihan raya itu bersifat kenegerian dan tidak boleh mencorakkan tampuk pentadbiran kerajaan Persekutuan seperti pilihan raya umum.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, walaupun PRU15 baharu sahaja berlangsung tujuh bulan lalu, ia tidak boleh dijadikan ukuran dalam enam PRN kerana kedua-dua mempunyai kecenderungan berbeza.

Katanya, terdapat empat faktor yang mendorong jumlah keluar mengundi dan antaranya kecenderungan pengundi atas pagar, sentimen pemilih baharu khususnya berusia 18 tahun dan penyokong setia parti di samping isu dimainkan sepanjang kempen PRN hanyalah bersifat tempatan.

Beliau turut berpandangan pengundi baharu dan muda yang menjadi faktor penting peratusan keluar mengundi akan terlebih dahulu bersikap ‘tunggu dan lihat’ untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dengan melihat PRN sama ada memberi keuntungan kepada mereka atau tidak.

“Malah masih terdapat ramai pengundi luar yang tinggal di negeri lain dan mereka perlu pulang ke kampung halaman jika ingin mengundi, sekali gus ia menjadi pertimbangan utama untuk diambil kira sama ada perlu balik semata-mata mengundi atau sebaliknya.

“Selain itu, pengundi setia parti tertentu akan tidak keluar mengundi susulan perubahan corak politik semasa sekali gus merasakan enggan mengundi calon parti lain yang sebelum ini tidak sehaluan fahaman politik,” katanya.

Perang ba­gi PRN di enam negeri sudah bermula dengan pembubaran dua DUN iaitu Kelantan dan Selangor pada minggu lalu dan disusuli empat negeri lain iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu dalam masa terdekat.

Semua negeri tersebut terpaksa berdepan PRN setelah hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing berakhir pada akhir bulan ini dan hendak diadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari sekali gus menyaksikan pilihan raya negeri dijangka diadakan pada bulan Julai atau Ogos ini.

Ketika ditanya parti manakah memiliki kelebihan jika peratusan mengundi rendah, Sivamurugan menjelaskan pakatan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BNPH) dilihat mempunyai kelebihan dalam situasi itu memandangkan kerjasama kedua-dua parti itu boleh membawa lebih ramai akar umbi dan penyokong mereka untuk memilih calon masing-masing.

Sebaliknya kata beliau, Perikatan Nasional (PN) boleh berpotensi besar seandainya jumlah keluar mengundi menyamai PRU15 kerana gabungan undi penyokong setia dan pengundi atas pagar dapat membantu kemenangan mereka dalam PRN itu kelak.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada pengundi atas pagar, pengundi luar dan pengundi muda untuk keluar mengundi dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Pada masa sama, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, semua parti perlu memberi lebih perhatian kepada 1.4 pengundi muda 18-20 tahun apabila kehadiran mereka pada PRU15 telah mengubah landskap politik Malaysia manakala kecenderungan mereka amat sukar dijangka sebelum hari pengundian.

Beliau berpandangan, keadaan itu amat membimbangkan apabila terdapat dalam kalangan mereka mengundi berdasarkan trend dan bukannya atas kesedaran berpolitik.

Katanya, kecenderungan kelompok itu boleh berubah pada bila-bila masa dan ia boleh berlaku ketika mereka sedang memangkah kertas undi.

“Jika ada kesedaran sekali pun, mungkin ada sebilangan kecil iaitu yang pernah terlibat dalam politik dan pengaruh keluarga, tetapi hakikatnya ramai pengundi muda keluar mengundi kerana terikut dengan trend semasa dan ajakan kawan-kawan.

“Oleh itu, perkara tersebut perlu ditangani menerusi literasi, kefahaman dan advokasi oleh semua pihak untuk mencorakkan minda pengundi agar mereka mengundi berdasarkan kesedaran dan bukannya semata-mata kerana trend,” katanya. – UTUSAN

 

Perbandingan peratusan mengundi

– Pilihan Raya Negeri Sabah 66.61 peratus

– Pilihan Raya Negeri Melaka 65.85 peratus

– Pilihan Raya Negeri Sarawak 60.67 peratus

– Pilihan Raya Negeri Johor 54.92 peratus

– Pilihan Raya Umum Ke-15 74.70 peratus – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×