‘Pengaruh’ penilai, pentaksir hartanah

‘Pengaruh’ penilai, pentaksir hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENILAIAN hartanah adalah proses penaksiran nilai sesebuah rumah atau premis oleh profesional bebas atau penilai hartanah yang berlesen dalam proses jual beli dalam pasaran.

Di negara ini, penilaian hartanah dilakukan oleh penilai hartanah yang berdaftar di bawah Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH) yang tertakluk di bawah Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1986.

Kebiasaannya, khidmat penilai hartanah ini digunakan oleh mereka yang ingin menjual atau membeli rumah ‘subsale’ iaitu rumah yang sudah mempunyai pemilik.

Ini bagi memastikan nilai semasa rumah tersebut supaya pembeli atau penjual tidak membeli atau menjual pada harga yang boleh mendatangkan kerugian kepada masing-masing.

 

ISHAK ISMAIL

Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn. Bhd., Sr Ishak Ismail berkata, penilaian hartanah dilakukan dengan pelbagai tujuan, antaranya adalah untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank kerana bank perlu tahu harga pasaran sebelum meluluskan pinjaman.

Katanya, tugas seorang penilai hartanah adalah untuk membuat satu tafsiran daripada data-data yang diperoleh hasil daripada transaksi yang mungkin berlaku di dalam pasaran.

“Mereka juga melihat mengenai permintaan sama ada semakin naik atau menurun. Jadi, berdasarkan bukti transaksi maka mereka menggunakan kaedah yg dibenarkan sebagai standard penilai hartanah yang dikeluarkan LPPEH bagi menentukan nilai.

“Setelah nilaian ditentukan maka mereka bertanggungjawab untuk menetapkan harga tersebut. Penilai hartanah memberikan tafsiran keadaan hartanah berdasarkan waktu dan faktor-faktor dan kemukakan angka yang mencerminkan keadaan pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang merupakan penilai hartanah berdaftar berkata, terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi nilai pasaran sesebuah hartanah seperti keadaan rumah itu sendiri sama ada dalam keadaan baik, kedudukannya yang mungkin berada di cerun atau laluan sungai yang mempunyai risiko hakisan dan sebagainya.

“Faktor kedua adalah elemen undang-undang seperti pegangan rumah, rumah itu mempuyai kaveat iaitu halangan urusniaga atau sekatan hak milik. Walaupun rumah itu cantik tetapi jika pegangan pajakan tinggal 10 tahun sahaja lagi maka nilai akan terjejas.

“Selain itu, permintaan dan penawaran juga mendorong kepada harga pasaran. Contohnya, bank tidak gemar memberi pinjaman untuk perumahan yang mana pemajunya sudah bankrap. Jadi harga rumah itu mungkin akan jatuh kerana hanya mampu untuk dibeli secara tunai sahaja,” ujarnya.

AFIZAN MOHKTAR

Dalam pada itu, Pengarah Urusan AFZ Realty, Sr Afizan Mohktar berkata, pembeli yang hendak membuat pinjaman bank perlu mendapatkan laporan penilaian dari penilai berdaftar yang panel dengan bank yang mereka hendak membuat pinjaman.

Katanya, penilai hanya boleh membantu dengan memberikan penilaian yang terbaik sesuai dengan keadaan hartanah tersebut berdasarkan nilai pasaran sebenar.

“Di Malaysia, kaedah penilaian paling mudah difahami dan biasa digunakan serta diterima pakai di mahkamah adalah kaedah perbandingan.

“Kaedah ini dengan mendapatkan perbandingan yang sesuai bagi hartanah yang hendak dinilai dengan ciri-ciri yang hampir serupa dan dibuat pelarasan berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti faktor masa, lokasi, kedudukan, saiz dan banyak lagi.

“Selain dari itu terdapat kaedah kos, pelaburan dan baki sering digunakan oleh penilai di Malaysia selain dari kaedah kaedah ‘Advance’ bagi tujuan tertentu,” jelasnya.

Tambah beliau, adalah penting bagi mengetahui nilai pasaran hartanah supaya pembeli tidak  membeli lebih dari nilai pasaran. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×