Sudah menang PRN nanti, jangan pula lupakan kami

Sudah menang PRN nanti, jangan pula lupakan kami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAKYAT Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu bakal memilih pemimpin masing-masing melalui pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi. PRN kali ini dijangka sengit sekali. Maka bertambah panaslah keadaan di negeri-negeri terlibat yang sememangnya sudah begitu panas suhunya pada ketika ini.

Mengambil kira kesan signifikan undi anak muda kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sudah pasti semua pihak akan berusaha keras untuk memenangi undi mereka dalam PRN ini. Saya kira parti-parti yang bertanding sudah tentu telah mengatur strategi terbaik untuk mendekati pengundi muda khususnya mereka yang pertama kali layak mengundi. Tambahan pula anak muda lebih mudah didekati serta lebih senang dipengaruhi supaya mereka menukar arah sokongan. Malah, ada yang sokongan mereka boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan masih boleh berubah fikiran pada saat-saat akhir sebelum mengundi.

Pola pengundian anak muda sukar dijangka kerana sebahagian besar daripada mereka merupakan pengundi atas pagar dan bukannya ahli parti yang setia. Mereka mudah dipujuk dengan janji-janji manis orang politik. Sukar untuk kita jangka, adakah undi anak muda akan sekali lagi berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN ini seperti mana keadaannya dalam PRU15 walaupun PN menegaskan pengundi muda masih setia menyokong mereka?

Sudah tentu siapa sahaja yang bertanding akan mengatakan parti mereka ialah pilihan pengundi. Tanyalah kepada mana-mana parti yang bertanding, sudah tentu masing-masing akan menegaskan keyakinan bahawa parti merekalah yang menjadi pilihan utama pengundi. Pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) turut menjadi sasaran ahli politik serta ejen parti untuk mendapatkan undi.

Baru-baru ini, secara kebetulan saya berhadapan dengan kempen ejen sebuah parti kecil dalam gabungan kerajaan yang dengan keras mengkritik dua parti besar yang menganggotai kerajaan dan juga ahli komponen PN. Saya kehairanan dan tertanya-tanya sendirian, apa yang ingin disampaikan oleh beliau melalui ucapannya? Entah parti mana yang beliau sarankan untuk diundi sedangkan parti yang dikatakannya hebat itu gagal memenangi banyak kerusi? Maka berkemungkinan besar tidak akan mendapat banyak kerusi untuk ditandingi dalam PRN nanti.

Walaupun pengundi muda sepatutnya boleh mempunyai suara kuat, namun tanpa ilmu politik, ramai hanya mengikut arus dan mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang belum tentu akan ditepati jika calon dipilih menang. Sikap suka mengambil mudah dan tidak berhati-hati dalam memilih calon yang patut diundi juga boleh mengundang padah. Mengundi bukannya perkara yang boleh dicuba-cuba kerana ia melibatkan masa depan negara. Jika kita salah memilih, buruk padahnya.

Amat mudah untuk sesiapa sahaja menabur janji, namun untuk mengotakan janji, itu yang sukar, apatah lagi jika janji itu tinggi melangit dan tidak mampu ditunaikan. Malangnya, ramai ahli politik yang tidak lagi mementingkan soal integriti. Mereka hanya mahu memenangi pilihan raya. Malah ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menang. Soal kemampuan untuk menjalankan tugas bukanlah menjadi keutamaan buat mereka. Sehinggakan ada yang sanggup menggunakan taktik kotor dan fitnah untuk menjatuhkan lawan.

Tempoh berkempen belum lagi bermula, namun masing-masing sudah sibuk mengatur langkah. Yang jarang turun ke kawasan pun sudah semakin ramai menemui jalan pulang bagi menyapa pengundi dengan membawa janji baharu. Abaikan sahaja janji lama yang belum ditunaikan.

Sudah pasti para pemimpin parti peringkat negeri khususnya orang baharu sedang berdebar-debar menunggu keputusan parti sama ada akan dipilih sebagai calon dan di kawasan manakah mereka akan dicalonkan. Pasti semuanya mahukan kawasan yang selamat.

TIDAK LENA TIDUR

Selagi senarai calon belum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selagi itulah ramai yang tidak lena tidur walaupun sudah mendapat perkhabaran bahawa mereka akan dicalonkan. Kedudukan masing-masing masih belum selesa, pelbagai perkara boleh terjadi yang memungkinkan senarai calon tiba-tiba berubah pada saat-saat akhir.

Penjajaran baharu politik menyebabkan pembahagian kerusi menjadi lebih rumit. Bukan senang untuk memuaskan hati semua pihak. Tersilap langkah, ada pemimpin yang akan melompat kepada parti lawan.

Tambahan pula jika melompat, nama mereka akan segera menjadi bersih dan dianggap sebagai wira walaupun selama ini diberikan pelbagai gelaran.

Saban hari kita mendengar berita tentang pelbagai masalah dalaman dihadapi oleh parti-parti. Betul atau tidak, hanya mereka yang tahu kebenarannya. Pelbagai versi cerita turut kita dengar tentang perebutan kuasa dari kem berbeza yang mahu merampas kepimpinan parti masing-masing.

Walau apa jua, rakyat mengharapkan parti yang berjaya membentuk kerajaan-kerajaan negeri nanti akan bekerja untuk rakyat dan bukannya asyik mencetuskan pelbagai kontroversi. Rakyat tidak mahu pemimpin yang hanya sibuk berpolitik. Tunaikanlah janji yang ditabur sebelum PRN. Bagi yang kalah, jadilah pembangkang yang amanah.

Sebagai pelajar, saya berharap kerajaan Pusat dan kerajaan negeri memberi lebih perhatian demi memperkasakan pelajar yang berminat untuk belajar dan bukannya hanya memikirkan penyelesaian kepada masalah keciciran. Bantulah kami untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara.

Bukan ahli sukan sahaja yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan, tetapi lebih penting lagi ialah rakyat jelata yang menyumbang semula kepada negara dan industri. Usaha keras serta pengorbanan para pelajar untuk menimba ilmu dalam mencari ruang dan peluang pekerjaan harus dihargai juga. Kemahiran yang diperoleh inilah yang akan kami salurkan dalam usaha untuk memajukan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×