TRANSFORMASI dan pembaharuan ekonomi merupakan agenda utama ekonomi bagi Malaysia memacu pertumbuhan yang mampan, menarik pelaburan dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya. Sebahagian besar agenda transformasi dan pembaharuan ekonomi yang diperlukan oleh Malaysia sehingga 2030 digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Antara agenda transformasi dan pembaharuan tersebut termasuklah dasar berkaitan mempercepatkan peralihan ekonomi bernilai tinggi, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu, merapatkan jurang pembangunan wilayah, memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana, mengukuhkan pembangunan modal insan serta memperkukuh kesejahteraan sosial.
RMK-12 juga memberikan penekanan untuk mengatasi keperluan mendesak ekonomi seperti mengeluarkan Malaysia dari perangkap negara berpendapatan menengah dan menangani kos sara hidup telah didokumen dalam rancangan Malaysia untuk tempoh lima tahun ini.
Transformasi dan pembaharuan tidak terhad kepada dasar malah yang lebih penting adalah transformasi dan pembaharuan kaedah pelaksanaan, pengukuran dan penilaian program dan inisiatif diambil. Kegagalan dan ketidakcekapan dasar-dasar terdahulu adalah sebahagian besarnya disumbang oleh kaedah pelaksanaan. Sejauh manakah transformasi dan pembaharuan ini dilaksanakan oleh kerajaan pada masa kini?
Sebagai contoh, kaedah menangani kos sara hidup pada ketika ini. Kaedah yang digunakan oleh kerajaan pada ketika ini adalah tidak pragmatik dan terangkum, tidak cukup dengan menjalankan penjenamaan seperti Menu Rahmah dan penguatkuasaan harga.
Menangani peningkatan kos sara hidup memerlukan pertimbangan di antara perbelanjaan dan tahap pendapatan. Ini termasuklah meningkatkan gaji minimum, melaksanakan program kebajikan sosial bersasar dan menggalakkan inisiatif perumahan mampu milik. Selain itu, meningkatkan akses penjagaan kesihatan dan pendidikan serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Pada pengamatan saya, kerajaan pada masa ini terarah kepada penggunaan instrumen dasar fiskal seperti subsidi dan bantuan kewangan untuk menangani kos sara hidup.
Instrumen dasar monetari dilihat lebih berpihak kepada aktiviti perniagaan berbanding menangani masalah kewangan rakyat. Sebarang keputusan berkaitan dasar monetari seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) perlu juga dikaji impak kepada perbelanjaan dan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
Pembaharuan pendidikan adalah amat penting dalam melahirkan modal insan yang dapat menyokong pertumbuhan dan perubahan ekonomi masa hadapan. Negara menghadapi masalah kuantiti dan kualiti pendidikan yang merisaukan.
Kadar ketidakpadanan kemahiran dan kadar gaji graduan yang rendah, kadar purata pendidikan persekolahan yang rendah dan saiz graduan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak selari dengan perubahan pasaran antara permasalahan yang perlu ditangani segera. Semuanya disentuh dalam RMK-12 tetapi ia menuntut pelaksanaan di semua peringkat.
Kita juga difahamkan, sejumlah besar dalam kalangan pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lepas, apakah ini merupakan ketidakpercayaan para pelajar terhadap sistem pendidikan negara? Maka sewajarnya kita bersama pemikir dan warga pendidikan perlu melihat persoalan ini secara serius demi kepentingan sistem pendidikan negara.
COVID-19
Reformasi pendidikan dari peringkat rendah sehingga tinggi adalah penting untuk pembangunan holistik modal insan. Pendidikan memainkan peranan asas dalam membentuk individu, memupuk pertumbuhan intelek, emosi dan sosial mereka.
Dengan melaksanakan pembaharuan yang mengutamakan pendidikan berkualiti, akses sama rata dan pembelajaran sepanjang hayat, tenaga kerja yang lengkap dapat diwujudkan.
Untuk memacu transformasi ekonomi dengan berkesan, adalah penting mempunyai ‘pemandu’ yang cekap dan berpengetahuan dalam bidang yang mereka terajui. Pemandu yang berwibawa boleh membawa idea-idea segar dan membangunkan pelan strategik.
Kesinambungan dasar yang baik tanpa mengira siapa menerajui kerajaan adalah penting untuk kemajuan dan kestabilan berterusan. Apabila dasar yang berkesan dikekalkan, ia memupuk persekitaran kondusif untuk pertumbuhan ekonomi, keyakinan pelabur dan pembangunan sosial. Ia memastikan bahawa kesan positif daripada inisiatif masa lalu tidak terganggu, mengukuhkan ekonomi bertumbuh dan merealisasikan matlamat jangka panjang.
Paradoks dasar-politik (policy-political paradox) perlu diminimumkan dan dalam situasi ideal, ia perlu dielakkan. Paradoks dasar-politik merujuk kepada timbal balik yang wujud antara pembuat dasar yang baik dan pertimbangan politik yang mempengaruhi keputusan dasar.
Dasar yang baik harus berdasarkan analisis, penyelidikan dan memfokuskan pada matlamat jangka panjang serta kepentingan awam. Ia harus direka bentuk untuk menangani cabaran masyarakat, menggalakkan pembangunan mampan dan mencapai hasil diinginkan.
Semasa Barisan Nasional (BN) masih memacu tampuk pemerintah negara, banyak dasar tidak popular yang saya sifatkan amat baik untuk pelan jangka panjang negara ditentang oleh pihak pembangkang seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dijadikan sebagai agenda politik mereka.
Pemansuhan GST dilihat merugikan negara apabila kita berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19. Kerajaan terdahulu terpaksa menggunakan wang daripada Kumpulan Wang Amanah Negara untuk membeli vaksin.
Sistem percukaian GST dilihat banyak memberi kebaikan kepada agenda pembangunan negara khususnya kepada kesejahteraan rakyat, namun telah digadai semata-mata demi kepentingan politik pihak tertentu.
Pertimbangan politik ini kadangkala boleh memesongkan penggubal dasar daripada meneruskan pilihan dasar terbaik atau menghalang pelaksanaan reformasi yang diperlukan.
Menyelesaikan paradoks dasar-politik memerlukan kepada penentuan titik keseimbangan antara pembuatan dasar yang berkesan dan pertimbangan politik.
Ia melibatkan galakan budaya membuat keputusan berasaskan bukti, memupuk ketelusan dan melibatkan pihak berkepentingan untuk membina konsensus.
Akhirnya, menavigasi paradoks ini adalah penting untuk memastikan keputusan dasar adalah berdasarkan tiga teras utama Keluarga Malaysia, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran demi kesejahteraan tanah air tercinta. – UTUSAN
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.











