SEHINGGA tahun ini, direkodkan masih ada sejumlah 43 negara di dunia yang mengamalkan pemerintahan beraja. Kita seharusnya bersyukur kerana Malaysia adalah salah satu negara di antaranya.
Menyentuh tentang perlunya bersyukur adalah kerana masyarakat kita masih berpegang utuh kepada nilai tradisi yang telah berputik sejak zaman kerajaan Melayu Awal. Walaupun institusi beraja adalah satu bentuk asimilasi budaya dari tamadun India, namun konsep ini kemudiannya dimurnikan dengan kebudayaan masyarakat Melayu dan nilai-nilai Islam.
Dalam masyarakat Melayu, institusi beraja mempunyai kedudukan yang sangat penting. Berada di puncak dalam struktur sosial masyarakat Melayu, raja-raja Melayu dijunjung sebagai simbol kedaulatan dan berperanan sebagai tonggak kerajaan. Apa tidaknya, perkataan kerajaan itu sendiri terbit daripada perkataan ‘raja’ yang jelas menunjukkan perkaitan erat antara raja dan kerajaan-kerajaan Melayu.
Di kaca mata rakyat jelata, raja-raja Melayu merupakan tokoh yang memiliki personaliti hebat dengan nilai keperibadian tinggi seperti bijaksana, adil dan saksama serta berwibawa. Mereka percaya raja-raja Melayu-lah yang selayaknya mengetuai pentadbiran kerajaan dan melindungi kepentingan dan kebajikan mereka.
Hubungan antara institusi beraja dan rakyat sangat kuat sehingga kini.
Perkara ini pernah diutarakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu Seri Paduka menjadi Pemangku Raja Pahang. Dalam Majlis Perasmian Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang pada 2017, Seri Paduka mengungkapkan, “Raja-raja Melayu dengan orang-orang Melayu tidak boleh dipisahkan, ibarat aur dengan tebing, seperti isi dengan kuku, bagai dakwat dengan kertas.”
Hubungan erat antara raja-raja Melayu dan masyarakat Melayu diterjemahkan dalam bentuk ketaatan. Rakyat menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada institusi beraja dengan harapan segala kebajikan dan kepentingan mereka dipelihara oleh pemerintah. Apabila negara mencapai kemerdekaan, kaum-kaum lain seperti Cina, India, Ceylon dan Pakistan yang mengambil keputusan untuk tinggal dan menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu turut menzahirkan ketaatan dan kesetiaan mereka terhadap institusi beraja. Mereka menerima institusi beraja sepenuh hati atas dasar kepercayaan terhadap kewibawaan dan keutuhannya.
TULANG BELAKANG
Pentingnya institusi beraja di negara ini jelas tergambar dengan kelahiran institusi Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diperkukuhkan lagi dalam Perlembagaan Malaysia 1963 serta pengisytiharan Rukun Negara pada 1970. Jelaslah bahawa kedudukan institusi beraja sangat penting sehingga menjadi tulang belakang negara ini.
Namun, apa yang menyedihkan ialah masih ada segelintir yang masih tidak menghormati dan memperlekehkan kedudukan institusi beraja. Baru-baru ini, dilaporkan seorang pemimpin politik telah mengeluarkan kenyataan kurang menyenangkan tentang institusi beraja. Dakwaan bahawa raja-raja Melayu sanggup menyerahkan negeri untuk terus kekal berkuasa tidak seharusnya dilemparkan sedemikian.
Walaupun negara kita memberikan kebebasan bersuara, namun kebebasan tersebut tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10 Fasal 1(a), dinyatakan setiap warganegara mempunyai kebebasan bersuara, selagi tidak menyentuh atau mempersoalkan isu-isu seperti kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kedaulatan raja-raja Melayu yang termaktub dalam Perkara 10 Fasal 4. Maka sebagai warganegara yang patuh, kita seharusnya menghormati Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara dan lunas-lunas yang termaktub di dalamnya.
Timbul juga persoalan terhadap tindakan pemimpin politik tersebut.
Mengapakah perlu dipertikaikan tentang raja-raja Melayu sedangkan teras pemerintahan negara kita sendiri berteraskan institusi beraja? Jangan kita lupa, institusi raja adalah warisan negara sejak berabad lamanya dan menjadi identiti negara. Jangan kita menjadi seperti ulat lupakan daun. Sumbangan dan jasa institusi beraja terlalu banyak dan mewarnai sejarah negara ini.
Sewaktu pihak British memperkenalkan Malayan Union, seramai lapan raja Melayu telah berangkat ke London untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap gagasan tersebut. Bahkan raja-raja Melayu bersatu bersama rakyat dan menghulurkan derma dan bantuan serta memboikot pelantikan Gabenor Malayan Union ketika itu. Akhirnya, Malayan Union dibubarkan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.
Ketika negara ini melalui proses kemerdekaan, raja-raja Melayu turut melibatkan diri dengan memberikan sokongan padu dan sanggup ‘melepaskan’ status untuk melahirkan sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan demi kepentingan negara dan rakyat.
Apa yang ingin dikatakan ialah sebagai warganegara, tidak mengira bangsa, agama ataupun kedudukan setinggi manapun, sewajibnya menghormati institusi beraja di negara ini. Keharmonian dan kesejahteraan akan terus mekar sekiranya kita terus mendukung sistem beraja dan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.










