ISTILAH zhongwen atau putonghua merujuk kepada bahasa persuratan dan pertuturan masyarakat Cina di seluruh dunia. Dari segi bilangan pengguna, tidak syak lagi bahasa Cina mempunyai paling banyak penuturnya. China mempunyai jumlah penduduk sebanyak 1.4 billion. 80 peratus penduduknya bertutur bahasa Cina ataupun putonghua.
Disebabkan kemunculan China sebagai kuasa politik dan ekonomi global paling penting, maka pembelajaran bahasa Cina semakin menyemarak dalam kalangan bangsa bukan Cina di serata dunia. Bagaimanapun, dari segi pengaruh dan taburan penggunaan bahasa, bahasa Inggeris masih terbukti sebagai bahasa nombor satu di dunia.
Di sini, saya ingin berkongsi lima sebab bahasa Cina atau zhongwen dipelajari ramai di seluruh dunia:
Bilangan penutur bahasa Cina yang sangat banyak
Statistik rasmi menunjukkan kira-kira satu bilion penduduk China bertutur putonghua, iaitu bahasa kebangsaan negara mereka. Tambahan lagi, hampir 50 juta orang keturunan Cina yang menetap di negara-negara lain seperti di Asia Tenggara, Amerika Utara dan Eropah juga fasih bertutur bahasa Cina. Dengan lain kata, kira-kira 13 peratus daripada 7.8 bilion penduduk dunia berbahasa Cina.
Nelson Mandela, pemimpin politik unggul dari Afrika Selatan pernah berkata, “Jika anda bercakap dengan orang dalam bahasa yang difahaminya, maka ia akan masuk ke dalam kepalanya. Jika anda bercakap dengan orang dalam bahasa ibundanya, maka ia akan terus sampai ke dalam hatinya.”
Maka dengan memiliki kemahiran bertutur bahasa Cina, seseorang dapat menawan hati bangsa Cina kerana bahasa itu adalah bahasa ibunda mereka. Orang yang menguasai bahasa Cina juga dapat berkomunikasi secara berkesan dengan satu bilion penutur bahasa Cina di seluruh dunia.
Tamadun Cina meliputi sejarah yang sangat panjang
Sejarah China dilaporkan telah melalui masa melebihi 5,000 tahun. Ia merupakan sebuah tamadun tua yang masih bertahan hingga sekarang. Sejarah China mengalami pelbagai zaman pemerintahan berbeza dan mempunyai kegemilangan politik agak unik. Terdapat juga ramai tokoh politik dan ahli falsafah unggul dalam sejarah China. Misalnya, aliran pemikiran kongzi, iaitu konfusianisme yang wujud 2,500 tahun dahulu masih mempengaruhi pembentukan fikiran dan kelakuan kaum Cina hari ini.
Karya kesusasteraan dan warisan budaya Cina juga amat mengagumkan. Oleh itu, kebolehan berbahasa Cina akan membuka pintu kepada bangsa lain untuk mendekati dan menghayati budaya Cina.
Penguasaan putonghua membantu dalam perdagangan, pelancongan dan pendidikan
Kini, China ialah ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. China merupakan negara perkilangan terpenting di dunia. Kebanyakan barangan siap yang dipasarkan di gedung-gedung perniagaan di dunia dihasilkan di China.
Oleh itu, pengimport-pengimport dari negara lain membanjiri pasar borong di China untuk mencari barangan yang sesuai dengan pasaran negara masing-masing.
Para peniaga Melayu dari Malaysia kini juga mengimport barangan buatan China terus dari Guangzhou dan Yiwu. Dengan menguasai putonghua, usahawan kita dapat berurus niaga secara lancar dengan pembekal di sana.
Tambahan pula di bawah inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR), syarikat-syarikat China banyak melabur di negara-negara sedang membangun dalam sektor pembangunan infrastruktur seperti rangkaian kereta api, lebuh raya dan pelabuhan.
Ekorannya, pelancong dari China turut membanjiri negara-negara ASEAN. Kemasukan pelancong ini banyak menjana sumber pendapatan kepada sektor pelancongan tempatan. Dengan itu, penduduk tempatan merasakan mempelajari bahasa Cina amat penting kerana membantu mereka mengecap peluang ekonomi baharu.
Penguasaan bahasa Cina juga membolehkan pelancong yang berkunjung ke China mudah mendekati masyarakat tempatan. Malah, pelajar antarabangsa juga dapat melanjutkan pengajian tinggi ke universiti-universiti di China.
Menerima cabaran mempelajari bahasa sukar dikuasai
Bahasa Cina ialah bahasa berbentuk nadaan, iaitu mempunyai empat nada sebutan. Lain nada sebutan, lain maknanya. Tambahan lagi, tulisan bahasa Cina menggunakan stroke (gaya) berbeza. Bahasa Cina juga mempunyai banyak kosa kata yang sangat dekat maksudnya.
Pelajar asing mungkin akan pening kepala apabila belajar bahasa Cina. Akan tetapi, kalau seseorang itu berminat tinggi dan suka menerima cabaran untuk mempelajari sesuatu bahasa baharu, maka bahasa Cina barangkali merupakan satu pilihan yang bagus.
Bahasa Cina sebenarnya tidak terlalu sukar untuk dikuasai
Walaupun bahasa Cina dikatakan agak sukar untuk dikuasai, akan tetapi ia bukan terlalu rumit jika dibandingkan dengan pembelajaran bahasa-bahasa lain. Dari segi tatabahasa, bahasa Cina tidak mempunyai konjugasi yang mengelirukan. Satu kosa kata digunakan untuk semua keadaan. Kata kerjanya juga tidak bertukar bentuk mengikut masa, bilangan atau orang. Di samping itu, kebanyakan tulisan Cina hanya memiliki satu sebutan.
Menurut data Kementerian Pendidikan (KPM), terdapat lebih 100,000 murid bukan Cina belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) pada 2020. Bahasa Cina juga merupakan bahasa kedua paling digemari di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Bahkan, semakin ramai orang bukan Cina menunjukkan minat tinggi dalam mempelajari bahasa Cina.
Mengikut tinjauan, terdapat kira-kira 30 juta orang bukan keturunan Cina di seluruh dunia mempelajari bahasa Cina pada 2004. Angka statistik ini meningkat empat kali ganda kepada 120 juta orang pada 2015.
Kesimpulannya, menguasai bahasa Cina hanya akan membawa banyak kebaikan walaupun proses pembelajarannya mungkin agak mencabar. Yang penting, kemahiran menguasai bahasa Cina dapat meningkatkan daya saing seseorang dalam apa jua bidang diceburinya. – UTUSAN
PENULIS ialah graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Cina dari Universiti Xiamen, Kampus Malaysia.











