HANYA beberapa bulan lalu, media melaporkan keadaan banjir yang melanda hampir keseluruhan negara sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kerajaan terpaksa menanggung berbilion ringgit. Kini tumpuan beralih pada isu gelombang haba yang semakin membimbangkan. Ramai khuatir impaknya terhadap kesihatan mereka. Gelombang haba boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan manusia misalnya dehidrasi, masalah kulit, gangguan pernafasan malah strok haba yang boleh menyebabkan kematian.
Menurut Agensi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), menjelang 2050, hampir 2.2 bilion kanak-kanak akan mengalami kesan teruk akibat frekuensi gelombang haba tinggi. Sudah terang lagi bersuluh, cuaca ekstrem umpama tiada kesudahan ini adalah peringatan bahawa isu perubahan iklim tidak boleh dipandang enteng lagi. Perjanjian Paris 2015 dipersetujui oleh negara-negara ahli termasuk Malaysia untuk memastikan suhu bumi berada di bawah 1.5 darjah Celsius kerana kenaikan melebihi tahap ini berisiko mencetuskan kesan perubahan iklim lebih teruk terhadap manusia, hidupan liar dan ekosistem.
Adalah penting menilai semula tindakan kita dan bertanya kepada diri, inikah keadaan bumi yang akan ditinggalkan untuk anak dan cucu kelak? Kajian UNICEF Malaysia pada 2020 menunjukkan peratusan golongan muda yang cakna tentang isu-isu alam sekitar adalah tinggi dan mereka juga sedar perubahan iklim ini merupakan satu krisis. Sebagai seorang anak muda, saya berasa kecewa melihat usaha melindungi bumi ini seperti tidak setanding kecemasan isu alam sekitar yang semakin lama semakin meruncing umpama peribahasa, lain bengkak, lain bernanah.
Terdapat banyak cara praktikal boleh kita semua menyumbang untuk memerangi isu perubahan iklim. Pertama, perlu menjadi lebih peka terhadap amalan gaya hidup seperti tabiat penggunaan harian. Menurut beberapa laporan media, Malaysia didapati membuang lebih 30,000 tan sisa plastik ke laut setiap tahun dan berada di tangga ketiga sebagai penyumbang kepada pencemaran plastik di lautan selepas Filipina dan India.
Pencemaran laut akibat sisa plastik juga membahayakan hidupan marin dan menyumbang kepada pemanasan global dengan membebaskan gas rumah hijau dan bahan kimia toksik ke dalam air. Selain itu, pengeluaran plastik juga memerlukan jumlah tenaga tinggi, kebanyakannya datang daripada bahan api fosil yang turut menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau dan pemanasan global.
Mulakan dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Caranya, bawa beg guna semula, botol air dan penyedut minuman bersama ke mana sahaja kita pergi. Saya terkilan melihat di banyak pasar raya, trend pembungkusan sayur-sayuran dan buah-buahan dijual secara berasingan menggunakan plastik dengan alasan untuk kemudahan pengguna. Dengan mengurangkan sisa plastik, bukan sahaja dapat membantu melindungi alam sekitar tetapi secara tidak langsung memberi mesej kepada industri pembuatan plastik bahawa pilihan dan permintaan masyarakat sedang berubah ke arah lebih mampan.
Langkah lain boleh diambil adalah mengamalkan penggunaan pengangkutan awam lebih kerap atau berkongsi kereta (car pool), berbasikal dan berjalan kaki. Ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga boleh menjimatkan wang untuk bahan api dan bayaran tempat letak kereta.
AKTA PERUBAHAN IKLIM
Kenanga Research mengunjurkan permintaan penggunaan elektrik meningkat pada 2023 berbanding jangkaan pertumbuhan di bawah Tempoh Kawal Selia (RP3) dalam rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR). Oleh itu, biasakan tabiat mematikan lampu dan peralatan apabila tidak menggunakannya. Gunakan peralatan elektrik cekap tenaga, cara ini juga boleh membantu mengurangkan jejak karbon.
Tabiat pemakanan seseorang juga dapat mempengaruhi jejak karbon melalui pilihan makanan dan cara penyediaannya. Amalkan pemakanan berasaskan tumbuhan dan kurangkan penggunaan daging selain memilih makanan daripada sumber tempatan dan dihasilkan secara organik.
Bagaimanapun, tidak cukup jika hanya individu yang melakukan perubahan. Tindakan kerajaan dan swasta juga diperlukan untuk mencapai kemajuan lebih berkesan dalam usaha mengatasi isu perubahan iklim.
Langkah kerajaan untuk mengurangkan sisa plastik dengan mengharamkan beg plastik untuk tujuan runcit menjelang 2025 adalah langkah terpuji.
Namun, jika hanya tekanan untuk mengurangkan sisa plastik datang daripada kerajaan, ia mungkin tidak mencukupi untuk menghasilkan perubahan berkekalan. Kerajaan khususnya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga wajar bekerjasama dengan pelbagai pihak terutama sektor swasta dalam menyediakan alternatif bagi penggunaan beg plastik, misalnya mempromosikan penggunaan beg biodegradasi.
Penekanan juga perlu diberikan kepada punca lain yang menyumbang kepada krisis iklim seperti pembakaran bahan bakar fosil dan penebangan hutan. Besarlah harapan saya agar kerajaan dapat segera meluluskan Akta Perubahan Iklim. Ini untuk menghalang pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri ibarat memiliki nafsu tidak bertepi sehingga tergamak membinasakan khazanah alam.
Kita juga perlu menilai dengan kritis salah satu amalan diajar sejak di zaman persekolahan, iaitu kitar semula. Walaupun amalan ini sudah tentu lebih baik daripada membuang, ia harus dipertimbangkan jika masih pilihan terbaik. Ini kerana tidak semua barang pelupusan boleh dikitar semula, lebih-lebih lagi yang sudah tercemar kerana boleh menyukarkan lagi prosesnya.
Sebagai penduduk bumi, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tindakan bermakna dengan menjadi pemangkin kepada perubahan dan menyokong transformasi yang sistemik serta mengutamakan kelestarian dan pembangunan mampan. Bersama-sama kita memperjuangkan perlindungan alam sekitar dan memupuk hubungan harmonis antara manusia dengan alam semula jadi. – UTUSAN
PENULIS ialah aktivis belia alam sekitar; pengasas bersama projek Ocean Hope Youth Climate Champions Consultant, Agensi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia; dan pelajar ijazah kedoktoran di Universiti Putra Malaysia (UPM).










