UMNO-DAP bahan kempen paling popular PRN - Utusan Malaysia

UMNO-DAP bahan kempen paling popular PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerjasama antara UMNO dan DAP dijangka menjadi bahan kempen pa­ling hangat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, me­langkaui isu-isu tempatan yang sekadar membe­lenggu negeri masing-masing.

Ini kerana, PRN kali ini menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) be­kerjasama dalam pilihan raya buat kali pertama dalam sejarah, selepas lebih enam bulan bersama-sama mentadbir dalam Kerajaan Perpaduan.

Sejak kerjasama itu terjalin, hubungan antara UMNO dan DAP sering menjadi perhatian termasuk di Perhimpunan Agung UMNO kerana sejarah silam kedua-dua parti ini sebagai musuh dalam politik.

Antara isu yang dibangkitkan ketika ini adalah penerimaan akar umbi UMNO terhadap DAP, sokongan UMNO terhadap DAP dalam pilihan raya serta isu perkauman dan agama susulan kerjasama UMNO dan DAP.

Ia memberi kelebihan besar kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai blok pembangkang terbesar untuk meraih undi terutama dalam kalangan pengundi Melayu di keenam-enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muh­yiddin Yassin sendiri membangkitkan isu kerjasama UMNO dan DAP ketika melancarkan Jentera Pemuda PN Selangor baru-baru ini.

“Saya pernah jadi ahli UMNO lebih daripada 50 tahun walaupun saya dipecat keluar. Tidak pernah dalam sejarah kami dalam UMNO dulu mengatakan kami boleh bekerjasama dengan DAP. Kenapa? Kerana ideologi­nya berbeza.

“DAP tidak sokong dasar diperjuang oleh parti kita. Ma­salah hak istimewa, agama Islam, soal orang Melayu dan sebagainya memang tidak terlintas oleh saya, satu hari UMNO akan bersama dengan PH yang di dalamnya ada DAP,” katanya.

Rentetan itu, isu berkaitan perkauman dan agama akan turut menjadi kempen popular pada PRN kali ini, terutama terhadap Kerajaan Persekutuan yang sering dituduh tidak meng­utamakan hak orang Melayu dan tidak Islamik.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baru-baru ini menegaskan kerajaan ditadbirnya tetap mengutamakan kebajikan masyarakat Me­layu dan umat Islam.

“Di Perlis, saya diberitahu kalau Anwar jadi Perdana Menteri pelajar-pelajar akan kembali pakai skirt. Ada yang percaya. Kalau Anwar jadi Perdana Menteri sistem akan jadi liberal, LGBT akan disahkan, lelaki boleh berkahwin dengan lelaki. Fitnah ini untung apa?

“Sekarang ini, sudah tujuh bulan saya bersama kerajaan. Peruntukan bagi Islam bertambah, saya bantu juga yang miskin. Kalau sekolah daif itu sekolah Melayu, Cina, Tamil yang banyak susah kita bantu,” katanya.

PH dan BN pula dijangka membangkitkan beberapa isu seperti penolakan politik perkauman yang dimainkan oleh PN, prestasi PN sebagai kerajaan terdahulu serta kes mahkamah melibatkan pemimpin parti.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ia bagi memburukkan Pas dan PN serta menimbulkan ketakutan kepada masyarakat bukan Melayu.

Katanya, ia akan memberikan kesan kepada PN sehingga menyebabkan orang bukan Melayu tidak mengundi mereka walaupun beliau menegaskan, PN tidak pernah membezakan agama, kaum dan warna kulit malah lantang dalam memperjuangkan nasib mereka yang tertindas.

Di sebalik itu, PH, BN dan PN dijangka mengetengahkan beberapa lagi isu lain sebagai bahan kempen bagi menarik pengundi muda dalam PRN kali ini.

Ia boleh dilihat apabila Anwar sering mengadakan pertemuan dengan mahasiswa universiti manakala PN banyak mengadakan himpunan pemuda di keenam-enam negeri tersebut.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini, pengundi muda banyak menumpukan kepada isu tertentu seperti peluang pekerjaan, isu bekalan air bersih dan isu integriti pe­mimpin dan parti.

Ia termasuk isu wakil rakyat bersih, aura kepimpinan, karisma calon, keupayaan mentadbir serta kesetiaan kepada parti.

Dijangka 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun layak mengundi enam PRN kali ini, meliputi hampir separuh daripada lebih 9.6 juta keseluruhan pengundi di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Berdasarkan rekod pemilih Induk Ogos 2020 iaitu data sama diguna ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, Selangor merupakan negeri teramai pengundi muda iaitu 1.8 juta dan diikuti Kedah (811,207), Kelantan (777,263), Pulau Pinang (539,769), Terengganu (523,833) dan Negeri Sembilan (423,423). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×